Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 16 >> 

Yerusalem yang Tidak Setia

1TUHAN berfirman lagi kepadaku,

2"Hai manusia fana, tunjukkanlah perbuatan Yerusalem yang menjijikkan itu kepadanya."

3TUHAN Raja menyuruh aku menyampaikan firman ini kepada Yerusalem, "Engkau dilahirkan di tanah Kanaan. Bapamu orang Amori dan ibumu orang Het.

4Ketika engkau dilahirkan, tiada sesiapa pun memotong tali pusatmu atau memandikan engkau atau menggosokmu dengan garam ataupun membedungi engkau dengan kain.

5Tiada sesiapa pun mengasihani engkau sehingga mahu melakukan perkara-perkara itu bagimu. Ketika engkau dilahirkan, tiada sesiapa pun mengasihimu. Engkau dibuang di padang.

6Kemudian Aku lalu dan nampak engkau menggeliat dalam darahmu sendiri, tetapi Aku tidak membiarkan engkau mati.

7Aku memelihara engkau sehingga engkau membesar seperti tanaman yang subur. Engkau tumbuh sihat dan tinggi, dan menjadi wanita muda. Buah dadamu montok dan rambutmu sudah tumbuh, tetapi engkau masih bogel.

8Ketika Aku lalu lagi, Aku sedar bahawa masamu untuk bercinta sudah tiba. Aku menutupi tubuhmu yang bogel dengan jubah-Ku. Aku berjanji akan mencintai engkau dan Aku membuat janji perkahwinan dengan engkau agar engkau menjadi milik-Ku." Demikianlah firman TUHAN Raja.

9"Kemudian Aku mengambil air dan mencuci darah yang ada pada tubuhmu. Aku menyapu minyak zaitun pada kulitmu.

10Aku memakaikan engkau pakaian bersulam, kasut kulit yang terbaik, ikat kepala daripada kain linen, dan jubah sutera.

11Aku mengenakan perhiasan gelang dan kalung padamu.

12Aku memberi engkau cincin hidung, anting-anting, dan mahkota yang indah.

13Perhiasanmu dibuat daripada emas dan perak, dan pakaianmu dibuat daripada linen, sutera, dan kain bersulam. Engkau makan roti yang dibuat daripada gandum terbaik, dengan madu dan minyak zaitun. Kecantikanmu luar biasa, sehingga engkau menjadi ratu.

14Kerana kecantikanmu, engkau menjadi termasyhur antara semua bangsa. Akulah yang menyebabkan engkau secantik itu!" Demikianlah firman TUHAN Raja.

15"Tetapi engkau menyalahgunakan kecantikanmu dan keharuman namamu. Engkau tidur dengan sesiapa sahaja yang lalu.

16Engkau menghiasi tempat pemujaanmu dengan pakaianmu, dan seperti pelacur engkau memberikan tubuhmu kepada setiap orang.

17Engkau menggunakan emas dan perak yang Kuberikan itu untuk membentuk patung-patung orang lelaki, lalu engkau berbuat cabul dengan patung itu.

18Engkau mengambil pakaian-pakaian bersulam yang Kuberikan kepadamu lalu engkau mengenakannya pada patung-patung itu. Kepada patung itu engkau mempersembahkan minyak zaitun dan kemenyan yang engkau terima daripada Aku.

19Aku memberi engkau makanan yang terbaik, iaitu gandum, minyak zaitun, dan madu, tetapi semua itu engkau gunakan sebagai persembahan untuk menyenangkan hati berhala. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.

20Lalu anak lelaki dan anak perempuan yang telah engkau lahirkan bagi-Ku, engkau persembahkan kepada berhala-berhala. Belum cukupkah engkau tidak setia kepada-Ku?

21Mengapa engkau mesti merampas anak-anak-Ku dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala?

22Selama kehidupanmu sebagai pelacur yang menjijikkan itu, engkau tidak pernah teringat pada masa kecilmu, ketika engkau bogel dan menggeliat dalam darahmu sendiri."

Kehidupan Yerusalem sebagai Pelacur

23TUHAN Raja berfirman, "Alangkah malangnya engkau! Sungguh malang! Selain segala kejahatanmu itu,

24engkau juga membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur di tepi setiap jalan.

25Engkau menodai kecantikanmu. Engkau menawarkan tubuhmu kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ, dan engkau tidak henti-henti melacur.

26Engkau melacur dengan tetanggamu orang Mesir yang bernafsu buas. Engkau melacur untuk membuat Aku murka.

27Tetapi sekarang Aku bertindak untuk menghukum engkau dan mengambil berkat yang telah Kuberikan kepadamu. Aku telah menyerahkan engkau kepada orang Filistin yang membenci engkau serta jijik terhadap perbuatanmu yang cabul itu.

28Kerana engkau tidak puas dengan yang lain, engkau mengejar orang Asyur. Engkau melacurkan diri, namun orang Asyur pun tidak dapat memuaskan nafsumu.

29Engkau juga menjadi pelacur kepada orang Babilonia, kaum pedagang itu, tetapi mereka pun tidak dapat memuaskan nafsumu."

30TUHAN Raja berfirman, "Segala perbuatanmu itu seperti perbuatan seorang pelacur yang tidak tahu malu.

31Di tiap-tiap jalan engkau membina tempat untuk menyembah berhala dan melacur. Engkau melakukan hal itu bukan untuk mendapat wang seperti pelacur.

32Engkau seperti isteri yang mengkhianati suami dan berzina dengan lelaki lain.

33Seorang pelacur menerima bayaran, tetapi engkau memberikan hadiah kepada semua kekasihmu. Engkau mengumpan orang dari mana-mana tempat supaya tidur bersama-samamu.

34Engkau ini pelacur yang luar biasa! Tiada sesiapa pun memaksa engkau menjadi pelacur. Engkau tidak dibayar, sebaliknya engkau yang memberikan bayaran. Aneh betul engkau ini!"

Hukuman Allah bagi Yerusalem

35Hai Yerusalem, engkau pelacur! Dengarlah firman TUHAN.

36Demikianlah firman TUHAN Raja, "Engkau menanggalkan pakaian, lalu seperti pelacur engkau menyerahkan tubuh kepada kekasih-kekasihmu dan segala berhalamu yang menjijikkan itu. Engkau membunuh anakmu dan mempersembahkan mereka sebagai korban kepada berhala.

37Oleh itu Aku akan mengumpulkan semua bekas kekasihmu -- baik yang engkau sukai mahupun yang engkau benci. Aku akan menyuruh mereka mengelilingi engkau, lalu Aku akan menanggalkan pakaianmu supaya mereka melihat tubuhmu yang bogel.

38Aku akan menghukum engkau kerana perzinaan serta pembunuhan yang telah engkau lakukan. Kerana Aku sangat murka, Aku menjatuhi engkau hukuman mati!

39Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka, dan mereka akan merobohkan tempat-tempat engkau melacur serta menyembah berhala. Mereka akan merampas pakaian dan perhiasanmu, sehingga engkau bogel.

40Mereka akan menghasut orang ramai supaya merejam engkau, dan mereka akan mencincang tubuhmu dengan pedang.

41Mereka akan membakar rumah-rumahmu dan membiarkan kaum wanita melihat engkau dihukum. Aku akan menghentikan pelacuranmu. Engkau tidak akan memberikan hadiah kepada kekasih-kekasihmu lagi.

42Barulah Aku tenang dan kemurkaan-Ku reda. Aku tidak akan murka ataupun cemburu lagi.

43Engkau lupa bagaimana Aku memperlakukan engkau semasa engkau kecil, dan engkau membangkitkan kemurkaan-Ku dengan segala perbuatanmu. Itulah sebabnya engkau mesti menanggung hukumannya. Mengapakah engkau berzina pula setelah melakukan segala perbuatan lain yang menjijikkan itu?" TUHAN Raja telah berfirman.

Seperti Ibunya, Begitu Juga Anaknya

44TUHAN berfirman, "Orang akan menggunakan pepatah ini terhadap dirimu, hai Yerusalem: ‘Seperti ibunya, begitu juga anaknya.’

45Sesungguhnya engkau adalah anak ibumu. Ibumu membenci suami serta anak-anaknya. Engkau serupa dengan saudara-saudara perempuanmu yang membenci suami dan anak mereka. Ibumu orang Het dan bapamu orang Amori.

46Kakakmu ialah Samaria di sebelah utara dengan pekan-pekan di sekitarnya. Adik perempuanmu itu Sodom di sebelah selatan dengan pekan-pekan di sekitarnya.

47Engkau tidak puas mengikut teladan mereka yang menjijikkan itu. Dalam masa yang singkat engkau pun berkelakuan lebih jahat daripada mereka."

48"Demi Aku, Allah yang hidup," TUHAN Raja berfirman, "adikmu, Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya, belum pernah melakukan kejahatan yang engkau lakukan bersama dengan pekan-pekan di sekitarmu.

49Sodom dan anak-anaknya sombong kerana mereka mempunyai banyak makanan serta dapat hidup dengan tenang dan aman. Tetapi mereka tidak menolong orang yang miskin dan susah.

50Mereka sombong dan degil, serta melakukan perkara-perkara yang Aku benci. Oleh itu Aku membinasakan mereka, sebagaimana yang engkau tahu.

51Dosa Samaria tidak sampai separuh daripada dosamu. Perbuatanmu lebih menjijikkan daripada segala perbuatannya. Kerana engkau sangat jahat, Samaria dan Sodom seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau.

52Sekarang engkau terpaksa menanggung aib. Dosamu jauh lebih besar daripada dosa saudara-saudaramu. Mereka seakan-akan tidak bersalah jika dibandingkan dengan engkau. Engkau harus malu dan menanggung aib, kerana saudara-saudaramu kelihatan suci."

Sodom dan Samaria Akan Dipulihkan

53TUHAN berfirman kepada Yerusalem, "Aku akan memulihkan kemakmuran Sodom dan pekan-pekan di sekitarnya; demikian juga Samaria serta pekan-pekan di sekitarnya. Engkau pun akan Kujadikan makmur.

54Engkau akan berasa malu terhadap dirimu sendiri. Kerana keadaanmu yang memalukan itu, saudara-saudaramu akan sedar betapa baiknya keadaan mereka.

55Mereka akan menjadi makmur semula, dan engkau serta pekan-pekanmu pun akan dipulihkan.

56Bukankah engkau pernah mentertawakan Sodom pada masa engkau masih sombong dahulu,

57sebelum kejahatanmu didedahkan? Sekarang engkau sama seperti dia; engkau menjadi bahan tertawaan orang Edom, Filistin, dan negeri-negeri jiran yang membenci engkau.

58Sekarang engkau mesti menderita akibat perbuatanmu yang cabul dan menjijikkan." TUHAN telah berfirman.

Perjanjian yang Kekal

59TUHAN Raja berfirman, "Aku akan memperlakukan engkau dengan sepatutnya, kerana engkau telah mengingkari janji-janjimu serta melanggar perjanjian yang Aku buat dengan engkau.

60Namun Aku akan memenuhi perjanjian yang Aku buat dengan engkau ketika engkau masih muda. Aku akan membuat perjanjian yang berlaku selama-lamanya dengan engkau.

61Barulah engkau teringat akan kelakuanmu, dan berasa malu apabila saudara-saudaramu pulang kepadamu. Aku akan membenarkan mereka menjadi seperti anak-anakmu walaupun hal itu tidak termasuk dalam perjanjian-Ku dengan engkau.

62Aku akan membaharui perjanjian-Ku dengan engkau, dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

63Aku akan mengampunkan segala kesalahanmu, tetapi engkau akan mengingatnya dan berasa terlalu malu sehingga engkau tidak berani membuka mulut." TUHAN Raja telah berfirman.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel