Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 30 >> 

TUHAN Akan Menghukum Mesir

1TUHAN berfirman lagi kepadaku,

2"Hai manusia fana, bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Berserulah dan merataplah begini: Hari TUHAN sudah dekat!

3Hari itu sudah hampir, apabila TUHAN akan bertindak. Hari itu gelap dan susah bagi bangsa-bangsa.

4Peperangan akan berlaku di Mesir, dan kesengsaraan menimpa Etiopia. Banyak orang di Mesir akan terbunuh; negeri itu akan dijarah, dan dibiarkan menjadi runtuhan.

5Askar-askar yang diupah dari Etiopia, Lidia, Libia, Arab, Kub, dan bahkan daripada umat-Ku sendiri, akan terbunuh dalam peperangan itu."

6TUHAN berfirman, "Dari Migdol di sebelah utara sampai ke Aswan di sebelah selatan, semua pembela Mesir akan gugur dalam peperangan. Tentera Mesir yang sombong itu akan musnah. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.

7Negeri itu akan menjadi negeri yang paling tandus dan lengang di dunia. Kota-kotanya akan menjadi runtuhan sama sekali.

8Selepas Aku membakar Mesir dan membunuh semua pembelanya, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.

9Pada hari itu, apabila Mesir telah musnah, Aku akan mengirim para utusan dengan kapal-kapal untuk mengejutkan orang Etiopia yang tidak curiga itu sehingga mereka ketakutan. Hari itu sudah dekat!"

10TUHAN Raja berfirman, "Aku akan menggunakan Raja Nebukadnezar dari Babilonia untuk menghancurkan kekayaan Mesir.

11Dia dan tenteranya yang ganas akan memusnahkan negeri itu. Mereka akan menyerang Mesir dengan pedang, sehingga negeri itu penuh dengan mayat.

12Aku akan mengeringkan Sungai Nil dan menyerahkan Mesir ke dalam kekuasaan orang jahat. Orang asing akan memusnahkan seluruh negeri itu. Aku, TUHAN, telah berfirman."

13TUHAN Raja berfirman, "Aku akan memusnahkan berhala-berhala dan dewa-dewa di Memphis. Tiada lagi raja yang akan memerintah di Mesir dan Aku akan menggentarkan semua orang.

14Aku akan menjadikan bahagian selatan Mesir tandus dan lengang, dan Aku akan membakar kota Soan di sebelah utara. Aku akan menghukum Tebe, ibu kota itu,

15dan memusnahkan kekayaannya. Aku akan melampiaskan kemurkaan-Ku kepada Pelusium, kota pertahanan Mesir.

16Aku akan membakar Mesir, dan Pelusium pun akan sengsara. Tembok kota Tebe akan dirobohkan dan kota itu akan dilanda banjir.

17Pemuda-pemuda kota Heliopolis dan Bubastis akan mati dalam peperangan, dan penduduk yang lain akan ditawan.

18Kota Tahpanhes akan menjadi gelap pada hari Aku menaklukkan Mesir dan memusnahkan kuasanya yang sangat dibanggakannya. Mesir akan diliputi awan, dan penduduk semua kotanya akan ditawan.

19Apabila Aku menghukum Mesir dengan cara demikian, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN."

Kuasa Raja Mesir Dipatahkan

20Pada hari ketujuh, bulan pertama, tahun kesebelas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,

21"Hai manusia fana, Aku telah mematahkan lengan raja Mesir. Tiada sesiapa pun yang membalut lengannya agar pulih dan kuat semula untuk memegang pedang.

22Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman: Aku musuh raja Mesir. Aku akan mematahkan kedua-dua belah lengannya, baik yang masih kuat mahupun yang telah patah itu. Lalu pedang akan jatuh dari tangannya.

23Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia.

24Kemudian Aku akan menguatkan lengan raja Babilonia dan meletakkan pedang-Ku di tangannya. Tetapi Aku akan mematahkan lengan raja Mesir sehingga dia akan mengerang dan mati di hadapan raja Babilonia.

25Aku akan melemahkan raja Mesir, tetapi Aku akan menguatkan raja Babilonia. Apabila Aku meletakkan pedang-Ku di tangan raja Babilonia, dan dia mengacungkan pedang itu ke arah Mesir, semua orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

26Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir ke seluruh dunia. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 30 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel