Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 26 >> 

Yeremia Dibawa ke Pengadilan

1Sebaik sahaja Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda,

2TUHAN berfirman kepadaku, "Pergilah berdiri di halaman Rumah-Ku dan berucaplah kepada orang dari kota-kota Yehuda yang datang beribadat di situ. Isytiharkanlah semua yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan kurangi sepatah kata pun.

3Mungkin bangsa itu mahu mendengar, lalu berhenti berbuat jahat. Jika demikian, Aku tidak akan melaksanakan rancangan-Ku. Aku tidak akan membinasakan mereka kerana perbuatan jahat mereka."

4TUHAN menyuruh aku berkata kepada mereka, "Demikianlah firman TUHAN, ‘Aku, TUHAN, telah memberikan perintah supaya kamu mesti taat kepada-Ku dan mematuhi hukum yang telah Kuberikan kepada kamu.

5Kamu mesti juga mendengarkan apa yang dikatakan oleh hamba-Ku, iaitu para nabi yang terus-menerus Kuutus kepada kamu. Tetapi kamu tidak pernah mendengarkan mereka.

6Jika kamu tetap membantah, Aku akan memperlakukan Rumah-Ku ini seperti Aku telah memperlakukan Silo, sehingga semua bangsa di dunia menggunakan nama kota Yerusalem sebagai kutuk.’"

7Para imam, nabi, dan segenap rakyat mendengar segala yang aku katakan di Rumah TUHAN.

8Segera setelah aku selesai mengisytiharkan segala perkhabaran TUHAN seperti yang diperintahkan-Nya, mereka menangkap aku sambil berseru, "Engkau mesti dibunuh!

9Mengapa engkau berani berkata demi nama TUHAN bahawa Rumah-Nya ini akan menjadi seperti Silo, dan bahawa kota ini akan dimusnahkan dan menjadi tempat yang tidak didiami lagi?" Kemudian orang ramai berkerumun di sekeliling aku.

10Ketika para pemimpin Yehuda mendengar apa yang telah berlaku, mereka tergesa-gesa keluar dari istana lalu pergi ke Rumah TUHAN, dan duduk di Pintu Gerbang Baru.

11Para imam dan nabi berkata kepada pemimpin-pemimpin itu dan kepada rakyat, "Orang ini patut dihukum mati kerana dia telah mengeluarkan kata-kata yang menentang kota kita. Kamu sendiri telah mendengarnya."

12Kemudian aku berkata, "TUHAN telah menyuruh aku mengisytiharkan segala perkhabaran yang menentang Rumah TUHAN dan kota ini seperti yang telah kamu dengar.

13Oleh itu kamu harus mengubah cara hidup dan perbuatan kamu; taatilah TUHAN, Allah kamu, supaya Dia membatalkan rancangan-Nya untuk menimpakan bencana atas kamu.

14Bagi diriku, aku dalam kuasa kamu! Lakukanlah apa sahaja yang adil dan benar menurut pendapat kamu.

15Tetapi ingatlah, jika kamu membunuh aku, kamu dan penduduk kota ini berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah. TUHAN yang mengutus aku untuk memberikan amaran itu kepada kamu."

16Kemudian para pemimpin dan rakyat berkata kepada para imam dan nabi itu, "Orang ini berucap demi nama TUHAN, Allah kita; dia tidak patut dihukum mati."

17Selepas itu beberapa orang antara orang tua-tua bangsa itu maju ke hadapan dan berkata kepada semua orang yang berkumpul di situ,

18"Ketika Raja Hizkia menjadi raja Yehuda, Nabi Mikha dari Moresyet memberitahu rakyat firman TUHAN Yang Maha Kuasa, ‘Sion akan dibajak seperti ladang, Yerusalem akan menjadi timbunan runtuhan, dan bukit Rumah TUHAN akan menjadi hutan.’

19Raja Hizkia dan penduduk Yehuda tidak membunuh Mikha. Sebaliknya, Raja Hizkia takut akan TUHAN dan minta belas kasihan-Nya. Oleh itu TUHAN membatalkan rancangan-Nya untuk menimpakan bencana kepada mereka. Sekarang pula, kita hampir mendatangkan bencana yang dahsyat kepada diri kita sendiri."

20Seorang lelaki lain yang bernama Uria anak Semaya dari Kiryat-Yearim, juga pernah berucap demi nama TUHAN untuk menentang kota dan bangsa ini, seperti yang dilakukan oleh Yeremia.

21Ketika Raja Yoyakim bersama dengan askar-askar dan para pegawainya mendengar ucapan Uria itu, raja berusaha untuk membunuh dia. Tetapi Uria mendengar hal itu, lalu dia lari ketakutan dan pergi ke Mesir.

22Tetapi Raja Yoyakim menyuruh Elnatan anak Akhbor bersama dengan beberapa orang lain pergi ke Mesir untuk menangkap Uria.

23Mereka membawa dia kembali kepada Raja Yoyakim. Kemudian raja menyuruh orang membunuh dia, lalu mayatnya dibuang di tanah perkuburan orang awam.

24Tetapi aku mendapat pertolongan Ahikam anak Safan, oleh itu aku tidak diserahkan kepada rakyat untuk dibunuh.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 26 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel