Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 29 >> 

Surat Yeremia kepada Orang Yahudi di Babilonia

1Aku menulis surat kepada para imam, nabi, pemimpin bangsa, dan kepada semua orang lain di Yerusalem yang telah ditawan oleh Raja Nebukadnezar dan dibawa ke Babilonia.

2Aku menulis surat itu setelah Raja Yoyakhin, bonda baginda, para pegawai istana, para pemimpin orang Yehuda dan Yerusalem, para tukang, dan pekerja mahir dibawa ke pembuangan.

3Aku memberikan surat itu kepada Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia, yang diutus oleh Raja Zedekia dari Yehuda, kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Surat itu berbunyi,

4"Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada semua orang yang telah dibiarkan-Nya ditawan oleh Raja Nebukadnezar, lalu dibawa dari Yerusalem ke Babilonia:

5‘Menetaplah di situ. Dirikanlah rumah kamu. Bukalah ladang dan nikmatilah hasilnya.

6Berkahwinlah supaya kamu mendapat anak, dan biarlah anak kamu juga berkahwin supaya mereka pun mendapat anak. Jumlah kamu mesti bertambah dan tidak boleh berkurang.

7Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.

8Aku TUHAN, Allah Israel, memberikan amaran kepada kamu supaya tidak membiarkan diri ditipu oleh nabi-nabi yang tinggal di tengah-tengah kamu atau oleh sesiapa pun yang berkata bahawa mereka dapat meramalkan masa depan. Jangan pedulikan mimpi mereka.

9Mereka menggunakan nama-Ku ketika berdusta kepada kamu. Aku tidak menyuruh mereka. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.’

10TUHAN berfirman, ‘Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang.

11Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan.

12Barulah kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu.

13Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati.

14Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku. Aku akan mengembalikan kamu ke tanah kamu. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan dari setiap tempat Aku mencerai-beraikan kamu. Aku akan membawa kamu pulang ke negeri asal kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’

15Kamu berkata bahawa TUHAN telah memberi kamu nabi-nabi di Babilonia.

16Dengarlah apa yang difirmankan TUHAN tentang raja yang memerintah negeri yang diperintah oleh Daud dahulu, dan tentang penduduk kota ini, iaitu sanak saudara kamu yang tidak dibawa ke pembuangan bersama-sama kamu.

17TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan memperlakukan mereka seperti buah ara yang terlalu busuk sehingga tidak dapat dimakan.

18Aku akan mengejar mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga semua bangsa di seluruh dunia ngeri melihat keadaan mereka. Di mana-mana Aku mencerai-beraikan mereka, orang akan ngeri dan takut melihat apa yang telah berlaku kepada mereka. Mereka akan diejek, dan nama mereka digunakan sebagai kutuk.

19Semua hal itu berlaku kepada mereka kerana mereka tidak menurut perkhabaran-Ku yang Aku sampaikan terus-menerus kepada mereka melalui para nabi, hamba-hamba-Ku. Mereka tidak mahu mendengarkan perkhabaran-Ku itu.

20Kamu semua yang telah Kubuang ke Babilonia, dengarlah apa yang Aku, TUHAN, firmankan.’

21TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman tentang Ahab anak Kolaya, dan tentang Zedekia anak Maaseya, yang menggunakan nama TUHAN untuk menyampaikan dusta kepada kamu. TUHAN berfirman bahawa Dia akan menyerahkan mereka kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar dari Babilonia, yang akan membunuh mereka di hadapan kamu.

22Apabila orang yang telah dibawa dari Yerusalem ke Babilonia, hendak mengutuk seseorang, mereka akan berkata, ‘Semoga TUHAN memperlakukan engkau seperti Zedekia dan Ahab, yang telah dibakar hidup-hidup oleh raja Babilonia.’

23Begitulah kesudahan mereka kerana mereka melakukan dosa-dosa besar di Israel: mereka berzina, dan menggunakan nama TUHAN untuk berdusta. Perbuatan itu bertentangan dengan kehendak TUHAN. Dia tahu apa yang dilakukan mereka, dan Dia sendiri menjadi saksi yang melawan mereka. TUHAN telah berfirman."

Surat Semaya

24TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel memberikan perkhabaran kepadaku untuk Semaya, orang Nehelam, kerana Semaya telah mengirim surat dengan menggunakan namanya sendiri kepada semua penduduk Yerusalem, kepada Imam Zefanya anak Maaseya dan kepada semua imam yang lain. Surat yang ditulis oleh Semaya kepada Zefanya berbunyi demikian,

25(29:24)

26"TUHAN telah melantik engkau menjadi imam untuk menggantikan Yoyada, dan sekarang engkaulah pegawai tertinggi di Rumah TUHAN. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang mengaku dirinya nabi, dibelenggu dengan rantai besi pada lehernya.

27Mengapa engkau tidak bertindak terhadap Yeremia orang Anatot itu, yang telah berlaku sebagai nabi di kalangan bangsa kita?

28Dia telah memberitahu orang kita di Babilonia bahawa mereka masih lama tinggal di sana sebagai orang tawanan; lalu mereka harus mendirikan rumah, menetap di sana, membuka ladang, dan makan hasilnya."

29Surat itu dibacakan oleh Imam Zefanya kepadaku.

30Oleh itu TUHAN menyuruh aku

31mengirim berita tentang Semaya kepada semua orang Israel yang dibuang ke Babilonia. Berita itu demikian: "Semaya telah berucap kepada kamu seolah-olah dia seorang nabi; padahal Aku, TUHAN, tidak menyuruh dia. Oleh sebab dia telah menyebabkan kamu percaya kepada dusta,

32dan menyuruh kamu melawan Aku, maka Aku akan menghukum dia dan keturunannya. Dia tidak akan mempunyai keturunan yang tinggal di kalangan kamu. Dia tidak akan hidup untuk melihat hal-hal baik yang akan Kulakukan untuk umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 29 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel