Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 31 >> 

Israel Kembali ke Negeri Sendiri

1TUHAN berfirman, "Masanya akan tiba apabila Aku menjadi Allah kepada semua suku Israel, dan mereka akan menjadi umat-Ku.

2Dahulu di gurun Aku menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang terlepas daripada maut. Ketika umat Israel mencari ketenangan,

3dari jauh Aku menampakkan diri kepada mereka. Hai umat Israel, sejak dahulu Aku selalu mengasihi kamu, dan untuk seterusnya Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu.

4Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira.

5Kamu akan membuka ladang anggur di perbukitan Samaria, dan orang yang menanam anggur akan menikmati hasilnya.

6Sesungguhnya, akan tiba masanya apabila para pengawal kota berseru di perbukitan Efraim, ‘Mari kita naik ke Sion, kepada TUHAN, Allah kita.’"

7TUHAN berfirman, "Bernyanyilah dengan gembira bagi Israel, bangsa yang terutama antara semua bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian, ‘TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya; Dia telah menyelamatkan semua orang yang masih tinggal.’

8Dari utara Aku membawa mereka kembali, Aku mengumpulkan mereka dari hujung bumi. Orang buta dan orang lumpuh akan mengikut mereka, begitu juga wanita hamil dan mereka yang hampir bersalin. Mereka akan kembali sebagai bangsa yang besar.

9Sambil menangis umat-Ku akan kembali, mereka berdoa semasa Aku memimpin mereka pulang. Aku memimpin mereka ke anak-anak sungai, melalui jalan rata supaya mereka tidak tersandung. Aku seperti seorang bapa kepada Israel, Efraim ialah anak-Ku yang sulung."

10TUHAN berfirman, "Dengarlah hai bangsa-bangsa! Isytiharkanlah perkhabaran-Ku ke seberang laut. Umat-Ku yang telah Kucerai-beraikan akan Kukumpulkan dan Kupelihara seperti gembala menjaga dombanya.

11Aku telah membebaskan umat Israel, dan menyelamatkan mereka daripada bangsa yang kuat.

12Mereka akan datang ke Bukit Sion sambil menyanyi dengan gembira; mereka bersukacita kerana pemberian-Ku, iaitu gandum, wain, minyak zaitun, domba, dan lembu. Mereka seperti taman yang cukup airnya, mereka tidak akan kekurangan apa-apa.

13Pada masa itu gadis-gadis akan menari dengan gembira. Kaum lelaki, tua dan muda, akan bersukacita. Aku akan menghibur mereka dan mengubah kedukaan mereka menjadi kesukaan, kesedihan menjadi kebahagiaan.

14Para imam akan Kupuaskan dengan makanan yang berlimpah-limpah, dan memenuhi semua keperluan umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman."

Belas Kasihan TUHAN kepada Israel

15TUHAN berfirman, "Di Rama terdengar ratapan, tangisan yang penuh kepedihan. Rahel meratapi anak-anaknya; dia tidak mahu dihibur kerana mereka sudah tiada.

16Hentikan tangismu dan keringkan air matamu. Jerih payahmu untuk anak-anakmu akan diberikan ganjaran; anak-anakmu akan pulang dari negeri musuh.

17Ada harapan bagi masa depanmu; anak-anakmu akan pulang ke negeri sendiri. Aku, TUHAN, telah berfirman.

18Aku mendengar umat Israel berkata dengan penuh kesedihan, ‘Ya TUHAN, kami seperti haiwan yang belum dijinakkan, tetapi Engkau melatih kami supaya patuh. Bawalah kami kembali; kami sedia balik kepada-Mu, ya TUHAN, Allah kami.

19Kami telah berpaling daripada-Mu, tetapi kami menyesali perbuatan itu. Setelah Engkau menghukum kami, kami menundukkan kepala kerana sedih. Kami malu dan dihina kerana kami berdosa pada masa muda.’

20Hai Israel, engkau anak kesayangan-Ku, anak tercinta, buah hati-Ku. Setiap kali Aku mengancam engkau, Aku mengingat engkau dengan rindu. Aku mengasihimu; Aku akan berbelas kasihan.

21Tandailah jalan, dan pasanglah penunjuk jalan; carilah jalan yang engkau ikut dahulu. Hai umat Israel, pulanglah. Kembalilah ke kota-kotamu dahulu.

22Sampai bilakah kamu ragu-ragu, hai bangsa yang tidak setia kepada-Ku? Aku telah menciptakan sesuatu yang baru dan aneh, luar biasa seperti wanita melindungi lelaki."

Kemakmuran Umat Allah pada Masa Depan

23TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, "Apabila Aku mengembalikan umat-Ku ke negeri mereka, maka di negeri Yehuda dan di kota-kotanya akan terdengar lagi orang berkata, ‘Semoga TUHAN memberkati bukit suci di Yerusalem tempat kediaman yang khas bagi-Nya.’

24Orang akan tinggal di Yehuda dan di semua kotanya. Di sana akan ada petani, dan gembala dengan ternakan mereka.

25Aku akan menyegarkan mereka yang lelah, dan mengenyangkan mereka yang lemah kerana lapar.

26Pada masa itu orang akan berkata, ‘Setelah tidur nyenyak, aku berasa segar.’

27Aku, TUHAN, berfirman bahawa akan tiba masanya apabila Aku memenuhi negeri Israel dan Yehuda dengan manusia dan haiwan.

28Sebagaimana dahulu Aku telah berjaga untuk mencabut, meruntuhkan, menggulingkan, memusnahkan dan menghancurkan mereka, begitu juga Aku akan berjaga untuk menegakkan dan membangunkan mereka semula.

29Pada masa itu orang tidak lagi berkata, ‘Ibu bapa makan buah anggur yang masam, tetapi anak-anak yang berasa ngilu.’

30Tetapi sesiapa makan buah anggur yang masam, dia sendirilah yang akan berasa ngilu. Setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri."

31TUHAN berfirman, "Akan tiba masanya Aku membuat perjanjian yang baru dengan umat Israel dan Yehuda.

32Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka ketika Aku menuntun mereka keluar dari Mesir. Walaupun Aku seperti seorang suami kepada mereka, namun mereka mengingkari perjanjian-Ku dengan mereka.

33Inilah perjanjian baru yang akan Kubuat dengan umat Israel: Aku akan menyimpan hukum-Ku dalam batin mereka, dan menulisnya pada hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.

34Tidak seorang pun antara mereka perlu mengajar sesamanya untuk mengenal TUHAN, kerana mereka semua, besar kecil, akan mengenal Aku. Aku akan melupakan kesalahan mereka dan mengampunkan dosa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman."

35TUHAN menyediakan matahari untuk menerangi siang; Dia menyediakan bulan dan bintang untuk menerangi malam. Dia menyebabkan air laut bergelora sehingga bergemuruh, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.

36Dia berjanji bahawa selama hukum alam tidak berubah, Israel pun akan tetap ada sebagai bangsa.

37Seandainya pada suatu masa langit dapat diukur, dan dasar bumi dapat diselidiki, pada masa itulah Israel akan ditolak oleh-Nya kerana segala perbuatan mereka. TUHAN telah berfirman.

38TUHAN berfirman, "Masanya akan tiba apabila seluruh Yerusalem dibina semula sebagai kota-Ku, dari Menara Hananeel sampai ke Pintu Gerbang Sudut.

39Dari situ sempadannya menuju ke Bukit Gareb, lalu membelok ke Goa.

40Seluruh lembah itu, yang digunakan sebagai tanah perkuburan dan tempat pembuangan sampah, dan semua ladang di tepi Sungai Kidron sampai ke Pintu Gerbang Kuda ke arah timur, akan dikhaskan untuk Aku. Kota Yerusalem tidak akan diruntuhkan ataupun dimusnahkan lagi."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel