Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 22 >> 

Perkhabaran tentang Yerusalem

1Inilah perkhabaran TUHAN tentang Lembah Penglihatan. Hai penduduk Yerusalem, mengapa kamu semua mengadakan perayaan di bumbung rumah?

2Tidak patut seluruh kota berpesta dan bersorak gembira. Orang kamu yang mati dalam perang ini bukan mati kerana bertempur.

3Semua pemimpin kamu lari dan ditawan sebelum mereka sempat membidikkan sebatang anak panah pun.

4Tinggalkanlah aku seorang diri untuk meratapi semua orangku yang telah mati. Jangan cuba menghibur aku.

5Inilah masa kecemasan, kekalahan, dan kekacauan di Lembah Penglihatan. TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah mendatangkan malapetaka itu. Tembok-tembok kota kita sudah roboh, dan tangisan orang minta tolong bergema di bukit-bukit.

6Orang Siria datang dengan kuda dan kereta kuda, orang Elam bersenjatakan busur dan panah, dan orang Kir menyiapkan perisai mereka.

7Lembah-lembah Yehuda yang subur itu penuh dengan kereta kuda, dan pasukan berkuda siap di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem.

8Seluruh pertahanan Yehuda runtuh. Pada waktu itu kamu mengeluarkan senjata dari gedung senjata.

9Kamu mendapati retak-retak di tembok kota Yerusalem yang perlu diperbaiki. Kamu memeriksa semua rumah di Yerusalem dan merobohkan sesetengahnya supaya kamu mendapat batu untuk memperbaiki tembok kota. Untuk menyimpan air,

10(22:9)

11kamu membina kolam air di dalam kota bagi menampung air yang mengalir dari kolam yang lama. Tetapi kamu tidak memperhatikan Allah yang sejak dahulu telah merancangkan segala perkara itu dan yang menyebabkan semuanya berlaku.

12Pada waktu itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh kamu menangis dan meratap, mencukur rambut dan memakai kain guni.

13Tetapi sebaliknya kamu bergembira dan berpesta. Kamu menyembelih domba dan lembu, makan daging, dan minum wain, sambil berkata, "Marilah kita makan dan minum, kerana esok kita akan mati."

14TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, "Kejahatan mereka itu tidak sekali-kali akan diampunkan seumur hidup mereka. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman."

Amaran kepada Sebna

15TUHAN Raja Yang Maha Kuasa menyuruh aku pergi kepada Sebna, pengurus istana, dan berkata kepadanya,

16"Pada sangkamu engkau ini siapa? Apa hakmu sehingga engkau memahat lubang kuburmu sendiri di bukit batu?

17Mungkin engkau seorang pembesar, tetapi TUHAN akan mencekam dan membuang engkau.

18Dia akan menggulung-gulung engkau lalu melontarkan engkau seperti bola ke sebuah negeri yang besar. Engkau akan mati di sana, di samping kereta kuda yang engkau bangga-banggakan itu. Engkau telah memalukan keluarga tuanmu.

19TUHAN akan memecat engkau daripada jawatanmu dan menurunkan engkau daripada kedudukan yang tinggi."

20TUHAN berfirman kepada Sebna, "Pada waktu itu, Aku akan memanggil hamba-Ku, Elyakim anak Hilkia.

21Aku akan mengenakan pakaian kebesaran dan ikat pinggangmu padanya, dan memberikan segala kuasamu kepadanya. Dia akan menjadi seperti bapa kepada penduduk Yerusalem dan Yehuda.

22Aku akan memberikan kuasa penuh kepadanya di bawah raja keturunan Raja Daud. Dia akan memegang kunci kerajaan. Apa-apa yang dibukanya, tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun; dan apa-apa yang ditutupnya, tidak dapat dibuka oleh sesiapa pun.

23Aku akan mengukuhkan kedudukannya seperti pasak penyangkut yang dipasang kuat. Seluruh keluarganya akan dihormati kerana dia.

24Tetapi semua anggota keluarga dan tanggungannya akan menjadi beban baginya. Mereka akan bergantung kepadanya seperti periuk belanga bergantung pada sebuah pasak penyangkut.

25Pada waktu itu pasak penyangkut yang telah dipasang kuat-kuat itu akan terlepas dan jatuh. Maka itulah kesudahan segala sesuatu yang bergantung kepadanya." TUHAN telah berfirman.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel