Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 40 >> 

Kata-Kata Pengharapan

1"Hiburkanlah umat-Ku, hiburkanlah mereka!" firman Allah kamu.

2"Galakkanlah penduduk Yerusalem. Beritahulah mereka bahawa sudah cukup mereka menderita, dan dosa mereka sudah Kuampunkan." Aku telah menghukum mereka dengan sepenuhnya kerana dosa mereka.

3Terdengar suara orang berseru, "Sediakanlah jalan bagi TUHAN di padang gurun! Siapkanlah jalan di padang pasir bagi Allah kita!

4Timbusilah tiap-tiap lembah; ratakanlah tiap-tiap gunung. Bukit-bukit akan menjadi dataran, dan tanah yang lekak-lekuk akan diratakan.

5Lalu keagungan TUHAN akan dinyatakan, dan segenap umat manusia akan menyaksikannya. TUHAN sendiri telah menjanjikannya."

6Terdengar suara orang berseru, "Isytiharkanlah berita ini!" "Berita apa yang harus kuisytiharkan?" aku bertanya. "Isytiharkanlah bahawa manusia bagaikan rumput; mereka seperti bunga yang tidak tahan lama.

7Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, apabila TUHAN menghembuskan angin yang panas. Manusia juga sama seperti rumput.

8Rumput menjadi kering dan bunga pun layu, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya."

9Hai Yerusalem, naiklah ke atas gunung yang tinggi dan isytiharkanlah berita baik! Hai Sion, berserulah dengan suara yang lantang dan umumkanlah berita baik! Berserulah dan jangan takut. Beritahulah kota-kota di Yehuda bahawa Allah mereka akan datang!

10TUHAN Raja datang untuk memerintah dengan kekuasaan, Dia akan membawa umat yang telah diselamatkan-Nya.

11Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba.

Allah Israel Tiada Bandingnya

12Siapakah dapat menyukat air laut dengan lekuk tangannya, atau mengukur langit dengan jengkal? Siapakah yang dapat menyukat tanah bumi ini dengan cawan, atau menimbang berat gunung dan bukit dengan dacing?

13Siapakah dapat mengarahkan TUHAN, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia?

14Dengan siapakah Dia berunding supaya mendapat pengetahuan dan pengertian? Siapakah yang memberi Dia petunjuk untuk bertindak dengan adil?

15Bagi TUHAN, bangsa-bangsa seperti setitis air dalam timba, seperti sebutir debu pada neraca; pulau-pulau sama ringan dengan debu halus.

16Semua binatang di hutan Lebanon tidak cukup untuk dijadikan korban untuk menyenangkan hati Allah kita, dan pokok-pokok di sana tidak cukup untuk dijadikan kayu api.

17Bangsa-bangsa tidak bererti bagi-Nya, seolah-olah tidak wujud di hadapan-Nya.

18Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah? Siapakah yang kamu anggap serupa dengan Dia?

19Dia tidak sama dengan patung yang dibuat oleh tangan manusia, yang disaluti emas oleh tukang emas, lalu ditegakkan di atas alas perak.

20Orang yang tidak mampu membeli perak atau emas, memilih kayu yang tidak mudah reput. Dia mencari tukang yang pandai untuk membuat patung yang tidak akan jatuh.

21Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu diberitahu sejak dahulu? Bukankah Allah yang mencipta bumi?

22Dialah yang menguasai seluruh bumi; penduduk bumi kelihatan kecil seperti belalang. Dia membentangkan langit seperti kain, dan memasangnya seperti khemah untuk didiami.

23Dia menjatuhkan pemerintah yang berkuasa, dan meniadakan kuasa mereka.

24Mereka itu seperti tanaman muda, yang baru tumbuh akarnya. Apabila TUHAN menghembuskan angin, mereka kering dan diterbangkan seperti jerami.

25Dengan siapakah dapat kamu samakan Allah Yang Maha Suci? Adakah sesiapa yang seperti Dia?

26Pandanglah ke langit dan perhatikanlah! Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dia yang menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang! Kuasa-Nya amat besar -- tidak satu bintang pun yang hilang!

27Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu?

28Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu. Tiada sesiapa pun dapat menyelami fikiran-Nya.

29Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya.

30Orang muda pun menjadi letih dan lesu; anak muda pun jatuh kerana keletihan.

31Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 40 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel