Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yosua 18 >> 

Pembahagian Negeri Kanaan yang Selebihnya

1Setelah menduduki negeri Kanaan, semua umat Israel berkumpul di Silo, lalu memasang Khemah TUHAN.

2Masih ada tujuh suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.

3Oleh itu Yosua berkata kepada umat Israel, "Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang telah diberikan TUHAN, Allah nenek moyang kamu kepada kamu?

4Lantiklah tiga orang daripada setiap suku. Aku akan menyuruh mereka ke seluruh tanah ini untuk meninjau dan mencatat batas-batas tanah yang hendak dimiliki mereka. Selepas itu mereka harus kembali kepadaku.

5Tanah itu akan dibahagi menjadi tujuh bahagian: suku Yehuda akan tetap di wilayahnya di sebelah selatan dan suku Yusuf di wilayahnya di sebelah utara.

6Catatlah keadaan tujuh kawasan tanah itu, lalu berikannya kepadaku. Aku akan membuang undi untuk mengetahui bahagian mana yang diperuntukkan TUHAN, Allah kita bagi setiap suku.

7Tetapi suku Lewi tidak akan mendapat bahagian tanah bersama-sama kamu, kerana bahagian mereka adalah mengabdi kepada TUHAN sebagai imam. Suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur sudah mendapat tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan Musa, hamba TUHAN, kepada mereka."

8Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, "Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu."

9Kemudian semua orang yang dipilih itu menjelajahi seluruh tanah. Mereka mencatat cara pembahagian tujuh bahagian itu, dan juga membuat senarai kota-kota di situ. Selepas itu mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo.

10Yosua membuang undi untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka, lalu memberikan sebahagian tanah kepada setiap suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.

Wilayah untuk Suku Benyamin

11Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf.

12Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen.

13Sempadan itu menuju ke lereng di sebelah selatan Lus (yang juga disebut Betel), lalu turun ke Atarot-Adar, di gunung di sebelah selatan Bet-Horon-Hilir.

14Kemudian sempadan itu menghala ke selatan dari sebelah barat gunung itu, lalu menuju ke kota Kiryat-Baal (atau Kiryat-Yearim). Kota ini milik suku Yehuda. Itulah sempadan barat wilayah itu.

15Sempadan di sebelah selatan bermula dari pinggir kota Kiryat-Yearim lalu menghala ke mata air Me-Neftoah.

16Sempadan itu turun ke kaki gunung yang berhadapan dengan Lembah Hinom, di hujung bahagian utara Lembah Refaim. Kemudian sempadan itu menghala ke selatan melalui Lembah Hinom sampai ke rabung di selatan di tanah orang Yebusi, lalu menghala ke mata air En-Rogel.

17Dari situ sempadan itu menghala ke utara, ke En-Semes, lalu ke Gelilot yang bertentangan dengan Genting Adumim. Kemudian sempadan itu turun ke Batu Bohan (Bohan ialah anak lelaki Ruben)

18dan melintas di sebelah utara rabung yang berhadapan dengan Lembah Yordan. Kemudian sempadan itu turun ke lembah

19dan melalui sebelah utara rabung Bet-Hogla, lalu berakhir di teluk kecil di bahagian utara Laut Mati, tempat Sungai Yordan bermuara. Itulah sempadan selatan wilayah itu.

20Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah sempadan wilayah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin.

21Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-Hogla, Emek-Kezis,

22Bet-Araba, Zemaraim, Betel,

23Haawim, Para, Ofra,

24Kefar-Haamonai, Ofni, dan Geba; semuanya dua belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya.

25Selain itu termasuk juga kota Gibeon, Rama, Beerot,

26Mizpa, Kefira, Moza,

27Rekem, Yirpeel, Tarala,

28Zela, Elef, Yebus (atau Yerusalem), Gibea dan Kiryat-Yearim; semuanya empat belas buah kota bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya. Itulah tanah yang diterima sebagai milik oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yosua 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel