Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 4 >> 

Hamba Kristus

1Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba Kristus yang diamanahkan dengan rahsia-rahsia Allah.

2Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai.

3Aku tidak peduli baik diadili oleh kamu mahupun orang lain; malah diriku sendiri pun tidak aku adili.

4Aku tidak berasa bersalah, tetapi ini tidak bererti aku tidak bersalah. Yang berhak mengadili aku hanya Tuhan sendiri.

5Oleh itu, janganlah menghakimi seseorang sama ada dia bersalah atau tidak sebelum sampai waktunya. Tunggulah hingga Tuhan datang kembali dan mendedahkan segala rahsia yang diselubungi kegelapan, segala niat yang terpendam dalam hati manusia. Ketika itulah setiap orang akan mendapat penilaian yang sewajarnya daripada Allah.

6Saudara-saudaraku! Untuk kebaikanmu, segala ini telah kukerjakan dalam diriku dan Apolos supaya dengan mengikut teladan kami, kamu dapat mengerti kata-kata hikmah ini: “Janganlah melampaui apa yang telah tersurat.” Dengan demikian, kamu tidak memegahkan seseorang daripada yang lain.

7Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada yang lain? Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima? Jadi, jika kamu memang menerimanya, mengapakah kamu bermegah, seolah-olah apa yang ada padamu itu bukan kurnia-Nya?

8Ya, kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Kamu memang sudah kaya-raya! Tanpa kami pun kamu sudah menjadi raja! Namun demikian, kamu tidak begitu. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja. Dapatlah kami memerintah bersamamu.

9Pada pandanganku, Allah memberikan kedudukan paling rendah kepada kami para rasul; tak ubah seperti orang yang dijatuhi hukum mati bagi tontonan dunia, para malaikat dan manusia.

10Kerana Kristus, kami menjadi orang yang bodoh; tetapi kerana Kristus, kamu menjadi orang bijak. Kami lemah, namun kamu kuat! Kami dihina, sedangkan kamu dimuliakan!

11Hingga saat ini kami lapar dan dahaga, berpakaian lusuh, didera, tiada tempat tinggal yang tetap.

12Kami bertungkus lumus menyara hidup. Kami membalas sumpah seranah dengan berkat restu, dan bersabar ketika dianiaya.

13Kami membalas caci maki dengan kata-kata yang baik. Kami dianggap sampah masyarakat, sampah dunia hingga sekarang.

14Aku menulis demikian kepadamu bukanlah untuk memalukanmu, tetapi untuk menasihatimu sebagai anak-anakku yang kusayangi.

15Walaupun kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh dalam Kristus, bapamu tidaklah ramai. Sebabnya dalam Kristus Yesus, aku seperti bapamu yang telah membawa Injil kepadamu.

16Oleh itu, aku menyeru kamu, ikutlah teladanku.

17Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius, anakku yang dikasihi dan setia dalam Tuhan. Dia akan mengingatkan kamu tentang jalan hidup yang kuikut dalam Kristus Yesus, iaitu jalan hidup yang telah kuajarkan kepada jemaah di serata tempat.

18Ada antara kamu yang bersikap angkuh kerana menyangka aku tidak akan mengunjungimu.

19Kiranya diizinkan Tuhan, aku akan mengunjungimu tidak lama lagi dan melihat bukan hanya apa yang dikatakan oleh orang yang angkuh itu tetapi apa kuasa mereka.

20Kerana kerajaan Allah bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi terdiri daripada kuasa.

21Mana yang kamu pilih? Agar aku datang kepadamu dengan rotan, atau dengan kasih sayang dan lemah lembut?



 <<  1 Korintus 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel