Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 13 >> 

Amnon dan Tamar

1Beberapa lama selepas itu anak Daud, Absalom, mempunyai seorang adik perempuan kandung bernama Tamar yang cantik dan Amnon, anak Daud, jatuh cinta kepadanya.

2Amnon sedemikian tergoda sehingga dia jatuh sakit kerana Tamar, saudaranya yang sebapa itu, masih perawan. Nampaknya, sukar sekali bagi Amnon untuk melakukan sesuatu terhadapnya.

3Amnon mempunyai seorang sahabat yang sangat cerdik, namanya Yonadab. Dia anak Simea, abang Daud.

4Yonadab bertanya kepadanya, “Wahai anak raja, mengapa engkau begitu merana pagi demi pagi? Tidakkah engkau mahu memberitahu aku?” Jawab Amnon kepadanya, “Aku jatuh cinta pada Tamar, adik perempuan Absalom, saudaraku itu.”

5Lalu kata Yonadab kepadanya, “Berbaringlah di tempat tidurmu dan berpura-puralah sakit. Apabila ayahmu datang menjenguk kamu, katakanlah kepadanya, ‘Izinkanlah Tamar, adikku, datang memberi aku makanan serta menyiapkan makanan di hadapan mataku, sehingga aku dapat melihatnya dan makan daripada tangannya.’ ”

6Maka berbaringlah Amnon dan berpura-pura sakit. Ketika raja datang menjenguknya, Amnon berkata kepada raja, “Izinkanlah Tamar, adikku, datang membuatkan aku penganan juadah di hadapan mataku, supaya aku makan daripada tangannya.”

7Lalu Daud menyuruh orang ke istananya menemui Tamar dengan pesan, “Pergilah ke rumah Amnon, abangmu, dan siapkanlah makanan untuknya.”

8Maka pergilah Tamar ke rumah Amnon, abangnya, yang sedang berbaring. Diambilnya adunan, diramasnya, lalu dibuatnya penganan juadah di hadapan matanya, dan dipanggangnya.

9Setelah itu, diangkatnya kuali lalu dikeluarkannya isinya di depan Amnon. Namun demikian, dia tidak mahu makan. Kata Amnon, “Suruhlah semua orang keluar meninggalkan aku.” Maka keluarlah semua orang meninggalkan dia.

10Kemudian kata Amnon kepada Tamar, “Bawalah makanan itu ke dalam bilik, supaya aku makan daripada tanganmu.” Tamar pun mengambil penganan juadah yang telah disiapkannya itu dan membawanya masuk ke bilik Amnon, abangnya.

11Ketika perempuan itu menghidangkannya kepadanya untuk dimakan, Amnon memegang dia dan berkata kepadanya, “Mari, tidurlah dengan aku, adikku.”

12Jawab gadis itu kepadanya, “Tidak, abangku, jangan perkosa aku, kerana hal semacam itu tidak patut dilakukan di Israel. Jangan kaulakukan perbuatan bodoh ini.

13Sebabnya ke manakah akan kubawa aibku? Engkau sendiri akan dianggap sebagai seorang yang bodoh di Israel. Sekarang, bicaralah dengan raja, tentu dia tidak akan menahan diriku daripadamu.”

14Meskipun begitu, Amnon tidak mahu mendengar kata-katanya. Dia lebih kuat daripada Tamar, sehingga dia memperkosa Tamar dan menidurinya.

15Setelah itu, Amnon berasa sangat benci kepada perempuan itu, bahkan kebenciannya pada perempuan itu melebihi cintanya yang dahulu. Lalu kata Amnon kepadanya, “Bangun, nyahlah!”

16Jawab perempuan itu kepadanya, “Jangan! Kerana jika engkau menyuruh aku pergi, maka kejahatan yang kaulakukan ini jauh lebih besar daripada kejahatan yang telah kaulakukan terhadapku tadi.” Tetapi Amnon tidak mahu mendengarkannya.

17Dia kemudian memanggil pelayannya dan berkata, “Keluarkanlah perempuan ini dari sini dan kuncilah pintu di belakangnya!”

18Pada waktu itu Tamar memakai baju panjang berlengan, kerana demikianlah pakaian anak-anak perempuan raja yang masih perawan. Pelayan Amnon membawa Tamar keluar dan mengunci pintu di belakangnya.

19Tamar menaruh abu di kepalanya dan mengoyak-ngoyakkan baju panjang berlengan yang dipakainya itu. Dia meletakkan tangan di atas kepalanya, lalu berjalan sambil menjerit-jerit.

20Maka bertanyalah Absalom, abangnya, kepadanya, “Adakah Amnon, abangmu, menyentuh engkau? Sekarang tenanglah, adikku. Dia abangmu, jangan kaumasukkan perkara ini dalam hati.” Lalu Tamar mengasingkan diri, dan tinggal di rumah Absalom, abangnya.

21Ketika Raja Daud mendengar semua hal itu, dia menjadi sangat marah.

22Absalom tidak mahu bicara sepatah kata pun dengan Amnon, tentang yang baik ataupun yang buruk. Dia membenci Amnon kerana Amnon telah memperkosa adiknya, Tamar.

Amnon dibunuh, Absalom melarikan diri

23Setelah dua tahun berlalu, Absalom mengadakan pengetaman bulu domba di Baal-Hazor, berdekatan dengan Efraim. Lalu Absalom mengundang semua anak raja.

24Kemudian Absalom datang menghadap raja dan berkata, “Hambamu ini mengadakan pengetaman bulu domba. Kumohon raja dan para pegawainya berkenan berangkat bersama-sama hambamu ini.”

25Kata raja kepada Absalom, “Jangan, anakku. Tidak perlu kami semua pergi, nanti kami menyusahkan engkau.” Absalom mendesaknya, tetapi raja tetap tidak mahu pergi. Dia hanya memohonkan berkat untuknya.

26Jadi, Absalom berkata, “Kalau tidak, izinkanlah Amnon, abangku, pergi bersama kami.” Kata raja kepadanya, “Untuk apa dia pergi bersamamu?”

27Tetapi Absalom mendesaknya, sehingga dia mengizinkan Amnon dan semua anak raja pergi bersamanya.

28Kemudian Absalom memberikan perintah kepada para pelayannya demikian, “Perhatikan! Pada masa hati Amnon begitu girang dengan air anggur, dan pada masa aku berkata kepadamu, ‘Ajar Amnon,’ bunuhlah dia. Jangan takut! Aku yang memberimu perintah, bukan? Bertindaklah dengan berani dan jadilah orang yang perkasa.”

29Pelayan-pelayan Absalom pun memperlakukan Amnon sebagaimana diperintahkan Absalom. Maka bangkitlah semua anak raja, masing-masing menunggangi baghalnya lalu melarikan diri.

30Sementara mereka masih dalam perjalanan, sampailah berita kepada Daud yang mengatakan, “Absalom telah membunuh semua anak raja. Tiada seorang pun daripada mereka yang selamat.”

31Maka bangkitlah raja, lalu mengoyakkan pakaiannya dan membaringkan diri di lantai. Semua pegawainya berdiri di sisinya dengan pakaian yang terkoyak-koyak juga.

32Tetapi Yonadab, anak Simea, abang Daud, angkat bicara. Katanya, “Jangan tuanku sangka bahawa semua anak raja yang muda itu tewas dibunuh. Hanya Amnon yang mati, kerana Absalom memang sudah berniat demikian sejak hari Amnon memperkosa Tamar, adiknya.

33Sekarang, janganlah Tuanku Raja menyimpan berita itu dalam hati dan berfikir bahawa semua anak raja sudah mati, kerana hanya Amnon yang mati.”

34Sementara itu Absalom melarikan diri. Ketika orang muda yang bertugas untuk menjaganya melayangkan pandangan dan memperhatikan, dilihatnya ramai orang datang dari arah jalan di belakangnya, iaitu dari lereng gunung.

35Lalu Yonadab berkata kepada raja, “Lihat, anak-anak raja datang, tepat seperti yang hambamu katakan tadi.”

36Baru sahaja dia selesai bercakap, datanglah anak-anak raja sambil menangis dengan suara nyaring. Maka raja berserta para pegawainya pun menangis meraung-raung.

37Absalom melarikan diri dan pergi ke daerah Talmai anak Amihur, raja Gesur. Setiap hari Daud berdukacita kerana anaknya itu.

38Setelah melarikan diri dan pergi ke Gesur, Absalom tinggal di sana tiga tahun lamanya.

39Raja Daud rindu bertemu dengan Absalom kerana kesedihannya atas kematian Amnon sudah terlipur.



 <<  2 Samuel 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2020
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran