Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 23 >> 

Kata-kata terakhir Raja Daud

1Inilah kata-kata terakhir Daud: “Kata-kata Daud anak Isai, kata-kata orang yang disanjung tinggi, orang yang dilantik oleh Allah Yakub, dan penggubah mazmur di Israel:

2‘Roh TUHAN berbicara dengan perantaraanku dan firman-Nya ada di lidahku.

3Allah Israel berfirman, Batu Pejal Israel berfirman kepadaku, “Seseorang yang memerintah rakyat dengan adil, yang memerintah dengan takut kepada Allah,

4adalah seperti fajar menyingsing pada waktu matahari terbit pada pagi yang tidak berawan, ketika rumput muda tumbuh dari bumi oleh cahaya selepas hujan.”

5Bukankah seperti itu keluargaku di hadapan Allah? Sebabnya Dia telah mengadakan suatu perjanjian kekal denganku, teratur dalam segala-galanya dan terjamin. Bukankah Dia yang menumbuhkan segala keselamatanku dan segala hasratku?

6Tetapi orang yang rendah akhlak semuanya seperti duri yang dihamburkan, sebab mereka tidak dapat diambil dengan tangan.

7Orang yang ingin menyentuh mereka, harus diperlengkap dengan besi atau gagang tombak, dan dengan api mereka akan dibakar habis di tempat mereka.’ ”

Kesateria Raja Daud

8Inilah nama-nama kesateria gagah yang menyertai Daud: Yoseb Basebet, orang Hakhmoni, ketua kepada Tiga Perwira. Dia pernah menggunakan tombaknya melawan lapan ratus orang yang ditewaskannya dalam satu pertempuran.

9Sesudah dia, Eleazar anak Dodo, anak seorang Ahohi, termasuk seorang daripada Tiga Perwira yang menyertai Daud ketika mereka mencemuh orang Filistin yang berkumpul di sana untuk berperang, padahal orang Israel telah mundur.

10Dia bangkit dan menewaskan orang Filistin sehingga tangannya penat dan melekat pada pedangnya. TUHAN memberikan kemenangan yang besar pada hari itu. Lalu kembalilah rakyat mengikutinya sekadar untuk menjarah sahaja.

11Sesudahnya ialah Sama anak Age, orang Harari. Ketika orang Filistin berkumpul di Lehi, tempat terdapat sebidang ladang penuh kacang merah, larilah seluruh pasukan dari hadapan orang Filistin.

12Akan tetapi, Sama berdiri di tengah-tengah ladang itu, mempertahankannya, dan mengalahkan orang Filistin. Demikianlah TUHAN memberikan kemenangan yang besar.

13Pada suatu waktu, datanglah tiga orang daripada tiga puluh orang ketua mendapatkan Daud di gua Adulam pada musim menuai, sementara pasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim.

14Pada waktu itu Daud sedang berada di kubu pertahanan, sedangkan pasukan pendudukan orang Filistin berada di Betlehem.

15Lalu timbullah keinginan dalam diri Daud, katanya, “Kalaulah ada orang yang memberi aku minum air dari perigi Betlehem yang berada berdekatan dengan pintu gerbang itu!”

16Maka ketiga-tiga kesateria itu menerobos perkhemahan orang Filistin lalu menimba air daripada perigi Betlehem yang berada berdekatan dengan pintu gerbang itu. Mereka mengangkatnya dan membawanya kepada Daud. Namun demikian, dia tidak mahu meminumnya. Dia malah mencurahkannya sebagai persembahan kepada TUHAN.

17Katanya, “Janganlah aku sekali-kali berbuat demikian, ya TUHAN! Bukankah ini darah mereka yang pergi dengan mempertaruhkan nyawa mereka?” Oleh itu, dia tidak mahu meminumnya. Itulah yang dilakukan oleh ketiga-tiga orang kesateria itu.

18Abisai, adik Yoab anak Zeruya, ialah ketua atas ketiga-tiga orang itu. Dia pernah mengayunkan tombak melawan tiga ratus orang dan menewaskan kesemuanya, sehingga namanya masyhur dalam kalangan ketiga-tiga orang itu.

19Bukankah dia yang paling dihormati dalam kalangan Kumpulan Tiga Puluh itu? Itulah sebabnya dia menjadi pemimpin mereka; tetapi dia tidak dapat menyamai Tiga Perwira tersebut.

20Selanjutnya, Benaya anak Yoyada, anak seorang yang gagah perkasa dan berjasa besar daripada Kabzeel. Dia menewaskan kedua-dua orang pahlawan besar dari Moab. Dia juga pernah turun ke dalam sebuah lubang dan membunuh seekor singa pada suatu hari yang bersalji.

21Selain itu, dia pernah menewaskan seorang Mesir yang bagus perawakannya. Orang Mesir itu memegang sebatang tombak di tangannya, tetapi dia mendatanginya dengan sebatang tongkat. Dirampasnya tombak daripada tangan orang Mesir itu, lalu dibunuhnya orang itu dengan tombaknya sendiri.

22Itulah yang dilakukan oleh Benaya anak Yoyada. Dia pun termasyhur antara ketiga-tiga orang kesateria itu,

23dan termasuk yang paling dihormati antara Tiga Puluh Kesateria. Namun demikian, dia tidak dapat menyamai Tiga Perwira. Daud mengangkat dia menjadi ketua atas para pengawalnya.

24Asael, adik Yoab, ialah seorang daripada Tiga Puluh Kesateria itu. Selanjutnya ialah Elhanan anak Dodo, dari Betlehem;

25Sama, orang Harod; Elika, orang Harod;

26Heles, orang Palti; Ira anak Ikes orang Tekoa;

27Abiezer, orang Anatot; Mebunai, orang Husa;

28Zalmon, orang Ahohi; Maharai, orang Netofa;

29Heleb anak Baana, orang Netofa; Itai anak Ribai, orang Gibea daripada bani Benyamin;

30Benaya, orang Piraton; Hidai dari Lembah Gaas;

31Abialbon, orang Bet-Araba; Azmawet, orang Bahurim;

32Elyahba, orang Saalbon; daripada bani Yasen: Yonatan

33dan Sama, orang Harari; Ahiam anak Sarar orang Harari;

34Elifelet anak Ahasbai, anak orang Maakha; Eliam anak Ahitofel orang Gilo;

35Hezrai, orang Karmel; Paerai, orang Arbi;

36Yigal anak Natan, dari Zoba; Bani, orang Gad;

37Zelek, orang Amon; Naharai, orang Beerot, pembawa senjata Yoab anak Zeruya;

38Ira, orang Yetri; Gareb, orang Yetri;

39Uria, orang Het, semuanya seramai tiga puluh tujuh orang.



 <<  2 Samuel 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran