Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 5 >> 

1Maka selesailah segala pekerjaan yang dilaksanakan Salomo untuk Rumah TUHAN. Salomo membawa masuk barang persembahan suci Daud, ayahnya, iaitu perak, emas, dan segala alat kelengkapan itu, lalu menaruhnya di dalam perbendaharaan Rumah Allah.

Tabut perjanjian Allah dibawa masuk ke Bait Allah

2Lalu Salomo mengumpulkan tua-tua Israel dan semua ketua suku, pemimpin kaum keluarga bani Israel untuk menghadapnya di Yerusalem supaya mereka mengangkut tabut perjanjian TUHAN dari Kota Daud, iaitu Sion.

3Lalu berkumpullah semua orang Israel menghadap raja pada hari perayaan pada bulan ketujuh.

4Setelah semua tua-tua Israel datang, orang Lewi pun mengusung tabut itu.

5Mereka mengangkut tabut, Khemah Pertemuan, dan segala kelengkapan suci yang ada di dalam khemah itu. Semua itu diangkut oleh imam bani Lewi.

6Raja Salomo dan seluruh umat Israel yang telah berkumpul di hadapannya berdiri di depan tabut itu, dan mengorbankan domba serta lembu yang tidak terhitung dan tidak terbilang banyaknya.

7Kemudian para imam membawa tabut perjanjian TUHAN masuk ke tempatnya di ruang dalaman bait itu, iaitu Tempat Yang Maha Suci, dan tabut itu diletakkan di bawah sayap kerubin.

8Jadi, kerubin-kerubin itu mengembang sayap di atas tempat tabut itu dan menudungi tabut dan kayu-kayu pengusungnya dari atas.

9Kayu-kayu pengusung itu sedemikian panjang, sehingga hujung-hujungnya terlihat dari Tempat Suci di hadapan ruang dalaman, tetapi tidak terlihat dari luar. Di situlah tempatnya sampai hari ini.

10Tidak ada yang lain di dalam tabut itu kecuali dua loh yang diletakkan Musa di dalamnya, ketika TUHAN mengikat perjanjian dengan orang Israel di Horeb, setelah mereka keluar dari Mesir.

11Para imam pun keluar dari Tempat Suci. Semua imam yang hadir telah menyucikan diri mereka, tanpa mengikut giliran regu masing-masing.

12Semua penyanyi daripada bani Lewi, iaitu Asaf, Heman, Yedutun, serta anak-anak daripada saudara-saudara mereka, berdiri di sebelah timur mazbah dengan mengenakan linen halus sambil memegang ceracap, gambus, serta kecapi. Bersama-sama mereka ada seratus dua puluh orang imam peniup nafiri.

13Para peniup nafiri dan penyanyi itu serentak memperdengarkan suara untuk memuji dan mengucap syukur kepada TUHAN. Dengan diiringi nafiri, ceracap, dan alat-alat muzik yang lain, para penyanyi mengangkat suara sambil memuji TUHAN, demikian, “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya!” Tiba-tiba awan memenuhi bait itu, iaitu Bait TUHAN,

14dan para imam tidak dapat berdiri untuk menyelenggarakan ibadat disebabkan awan itu, kerana kemuliaan TUHAN memenuhi Rumah Allah.



 <<  2 Tawarikh 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel