Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 16 >> 

Pemberontakan Korah, Datan, dan Abiram

1Korah anak Yizhar anak Kehat anak Lewi bersama-sama anak-anak Eliab, iaitu Datan dan Abiram, serta On anak Pelet, ketiga-tiganya daripada bani Ruben, menghasut orang

2untuk memberontak dan melawan Musa dengan disertai dua ratus lima puluh orang ternama daripada orang Israel, iaitu para pemimpin umat yang dipilih oleh jemaah.

3Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. Kata mereka kepada kedua-duanya, “Kamu sudah berlebih-lebihan! Sesungguhnya, seluruh umat memang orang suci, dan TUHAN hadir di tengah-tengah mereka. Mengapakah kamu meninggikan diri terhadap jemaah TUHAN?”

4Apabila Musa mendengar hal itu, disembamkan mukanya ke tanah.

5Lalu katanya kepada Korah dan seluruh pengikutnya, “Esok pagi TUHAN akan memberitahukan siapa milik-Nya dan siapa yang suci, kemudian Dia akan mengizinkan orang yang dipilih-Nya itu untuk mendekat kepada-Nya.

6Buatlah begini: wahai Korah dan seluruh pengikutnya, pada esok hari ambillah perdupaan,

7lalu di hadapan TUHAN letaklah api di dalamnya dan dupa di atasnya. Orang yang dipilih TUHAN, dialah yang suci. Kamu sudah terlanjur, wahai bani Lewi!”

8Kata Musa lagi kepada Korah, “Dengarlah, wahai bani Lewi!

9Terlalu kecilkah bagimu bahawa kamu telah dikhususkan oleh Allah Israel daripada kalangan umat Israel untuk dibolehkan kamu tampil dekat kepada-Nya, melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci TUHAN, serta bertugas melayani umat?

10Dia telah mengizinkan kamu berserta semua saudaramu bani Lewi untuk tampil dekat kepada-Nya, tetapi sekarang kamu mahu menuntut jawatan imam pula!

11Dengan demikian, kamu dan seluruh pengikutmu telah bermuafakat melawan TUHAN. Siapakah Harun itu sehingga kamu bersungut-sungut kepadanya?”

12Kemudian Musa menyuruh orang memanggil Datan dan Abiram, anak-anak Eliab, tetapi jawab mereka, “Kami tidak mahu datang.

13Belum cukupkah bahawa kamu telah memimpin kami keluar dari negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu untuk membunuh kami di gurun, sehingga sekarang kamu mahu menjadikan dirimu tuan penguasa atas kami pula?

14Apatah lagi kamu tidak membawa kami ke negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu! Kamu pun tidak memberikan kepada kami harta pusaka berupa ladang dan kebun anggur. Masihkah kamu mahu mengelabui mata orang ini? Kami tidak mahu datang!”

15Musa menjadi sangat marah lalu berkatalah dia kepada TUHAN, “Janganlah kiranya Engkau pedulikan persembahan mereka. Tidak pernah kuambil daripada mereka seekor keldai pun, dan tidak pernah kubuat jahat terhadap seorang pun daripada mereka.”

16Musa berkata kepada Korah, “Esok kamu dan seluruh pengikutmu harus menghadap TUHAN. Ya, kamu dan mereka, dan juga Harun.

17Masing-masing harus membawa perdupaannya, menaruh dupa di atasnya, dan mempersembahkannya di hadapan TUHAN – dua ratus lima puluh perbaraan. Demikian pula kamu dan Harun harus membawa perbaraan kamu masing-masing.”

18Mereka pun membawa perbaraan masing-masing, menaruh api di dalamnya, dan juga dupa di atasnya. Setelah itu, mereka berdiri di depan pintu Khemah Pertemuan bersama dengan Musa dan Harun.

19Ketika Korah mengumpulkan seluruh umat menentang kedua-duanya di depan pintu Khemah Pertemuan, tampaklah kemuliaan TUHAN di hadapan seluruh umat itu.

20TUHAN pun berfirman kepada Musa dan Harun,

21“Pisahkanlah dirimu daripada umat ini, kerana mereka akan Kulenyapkan sekejap lagi.”

22Tetapi kedua-duanya bersujud dan berkata, “Ya Allah, Allah atas roh semua manusia! Jika seorang sahaja yang berdosa, akankah Engkau murka terhadap seluruh umat ini?”

23Firman TUHAN kepada Musa,

24“Katakanlah kepada umat itu, ‘Pergilah jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram.’ ”

25Kemudian pergilah Musa mendapatkan Datan dan Abiram, diikuti tua-tua Israel.

26Katanya kepada umat itu, “Pergilah jauh dari khemah orang fasiq ini. Jangan sentuh sesuatu pun milik mereka, supaya jangan kamu binasa kerana segala dosa mereka.”

27Maka jemaah itu pun pergi jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram. Datan dan Abiram keluar, lalu berdiri di depan pintu khemah mereka berserta isteri, anak-anak lelaki, juga anak-anak yang masih kecil-kecil.

28Kata Musa, “Dengan yang berikut ini kamu akan tahu bahawa TUHAN telah mengutus aku untuk melakukan segala pekerjaan ini dan bahawa hal ini bukan berasal daripada niat hatiku sendiri.

29Jika orang ini mati secara lazim seperti yang dialami setiap manusia, atau jika ajal menjemput mereka seperti ajal menjemput setiap manusia, maka TUHAN tidak mengutus aku.

30Akan tetapi, jika TUHAN membuat sesuatu yang baru, dan tanah mengangakan mulutnya serta menelan mereka bersama dengan segala sesuatu yang dimiliki mereka hinggakan mereka turun hidup-hidup ke alam kubur, maka kamu akan tahu bahawa orang ini telah menista TUHAN.”

31Sebaik sahaja Musa selesai mengucapkan semua kata itu, terbelahlah tanah di bawah kaki orang itu.

32Bumi mengangakan mulutnya dan menelan mereka bersama-sama seisi rumah mereka, juga semua pengikut Korah berserta segala harta benda mereka.

33Demikianlah mereka turun hidup-hidup ke alam kubur berserta semua yang ada pada mereka. Bumi pun tertutup semula dan mereka binasa daripada tengah-tengah jemaah itu.

34Apabila mendengar teriakan mereka itu, seluruh orang Israel yang ada di sekeliling mereka berlarian sambil berkata, “Jangan-jangan kita juga ditelan bumi!”

35Setelah itu, turunlah api daripada TUHAN menghanguskan 250 orang yang mempersembahkan dupa itu.

36TUHAN berfirman kepada Musa,

37“Suruhlah Eleazar, anak Imam Harun, memungut semua perdupaan dari tempat kebakaran itu lalu serakkanlah abu arangnya jauh-jauh, kerana semua perdupaan itu suci.

38Hendaklah semua perdupaan mereka, iaitu orang berdosa lalu kehilangan nyawa masing-masing itu, ditempa tipis-tipis menjadi salutan bagi tempat pembakaran korban, kerana mereka sudah mempersembahkannya di hadapan TUHAN sehingga semuanya menjadi suci. Hal itu akan menjadi tanda bagi orang Israel.”

39Kemudian Imam Eleazar mengambil kesemua perdupaan daripada gangsa yang telah dipersembahkan oleh orang yang telah hangus itu, lalu menempanya menjadi bahan yang menyaluti tempat pembakaran korban.

40Hal itu menjadi tanda pengingat bagi orang Israel supaya jangan seorang pun selain keturunan Harun berani tampil dekat untuk membakar dupa di hadapan TUHAN, dan supaya jangan mereka jadi seperti Korah dan pengikutnya, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Eleazar dengan perantaraan Musa.

41Namun demikian, keesokan harinya seluruh kalangan umat Israel bersungut-sungut kepada Musa dan Harun. Kata mereka, “Kamu telah membunuh umat TUHAN.”

42Seluruh umat berkumpul melawan Musa dan Harun. Tetapi ketika mereka berpaling ke arah Khemah Pertemuan, tampak awan menutupi Khemah itu dan kemuliaan TUHAN pun terlihat.

43Maka pergilah Musa dan Harun ke depan Khemah Pertemuan.

44Firman TUHAN kepada Musa,

45“Pergilah jauh daripada umat ini, kerana mereka akan Kulenyapkan sekejap lagi.” Maka sujudlah kedua-duanya.

46Musa berkata kepada Harun, “Ambillah perdupaanmu, taruhlah di dalamnya api daripada tempat pembakaran korban, dan taruhlah dupa di atasnya. Setelah itu, bawalah dengan segera ke tempat kalangan umat itu dan adakanlah pendamaian bagi mereka, kerana kemurkaan TUHAN telah berkobar-kobar dan wabak mulai berlaku.”

47Maka Harun mengambil perdupaan, seperti yang dikatakan Musa, lalu berlari ke tengah-tengah jemaah itu. Tampak wabak sudah mulai melanda bangsa itu. Diletakkannya dupa di dalam perdupaan itu dan diadakannya pendamaian bagi bangsa itu.

48Dia berdiri dalam kalangan yang mati dan yang hidup, lalu berhentilah wabak itu.

49Mereka yang mati kerana wabak itu sejumlah 14,700 orang semuanya, belum termasuk orang yang mati dalam hal kemungkaran Korah.

50Sesudah wabak itu berhenti, Harun kembali menemui Musa di depan pintu Khemah Pertemuan.



 <<  Bilangan 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel