Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 3 >> 

Keturunan Harun

1Inilah keturunan Harun dan Musa pada waktu TUHAN berfirman kepada Musa di Gunung Sinai.

2Inilah nama anak-anak Harun: Nadab, yang sulung, Abihu, Eleazar, dan Itamar.

3Itulah nama anak-anak Harun, iaitu imam yang diurapi dan ditahbiskan untuk menyandang jawatan imam.

4Akan tetapi, Nadab dan Abihu mati setelah mereka mempersembahkan api yang tidak dibenarkan itu di hadapan TUHAN di Gurun Sinai. Mereka tidak mempunyai anak maka Eleazar dan Itamar yang menyandang jawatan imam semasa Harun, iaitu ayah mereka, masih hidup.

Penugasan bani Lewi

5TUHAN berfirman kepada Musa,

6“Bawalah suku Lewi menghadap Imam Harun, supaya mereka melayani dia.

7Mereka harus menunaikan segala tugas untuk Harun dan untuk seluruh umat itu di depan Khemah Pertemuan dengan melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci.

8Mereka harus menguruskan segala kelengkapan Khemah Pertemuan dan menunaikan segala tugas untuk orang Israel dengan melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci.

9Serahkanlah bani Lewi kepada Harun dan anak-anaknya. Seluruh bani Lewi dalam kalangan orang Israel hendaklah diserahkan kepadanya.

10Hendaklah kamu menugaskan Harun dan anak-anaknya untuk menyandang jawatan imam. Hendaklah orang awam yang berani mendekati khemah itu dihukum mati.”

11TUHAN berfirman kepada Musa,

12“Sesungguhnya, Aku mengambil bani Lewi dalam kalangan orang Israel sebagai ganti semua anak sulung, iaitu yang lahir pertama daripada rahim antara orang Israel. Jadi, bani Lewi ialah kepunyaan-Ku,

13kerana semua anak sulung ialah kepunyaan-Ku. Pada waktu Aku menewaskan semua anak sulung di Tanah Mesir, Aku mentahbiskan bagi-Ku semua yang sulung di Israel, baik manusia mahupun haiwan. Semua itu kepunyaan-Ku. Akulah TUHAN.”

14TUHAN berfirman kepada Musa di Gurun Sinai,

15“Hitunglah bani Lewi menurut keluarga dan kaum mereka. Hendaklah kamu menghitung bilangan semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas.”

16Maka Musa menghitung mereka menurut firman TUHAN yang diperintahkan kepadanya.

17Inilah nama anak-anak Lewi: Gerson, Kehat, dan Merari.

18Nama anak-anak Gerson mengikut nama keturunan kaum mereka: Libni dan Simei.

19Anak-anak Kehat mengikut nama keturunan kaum mereka: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel.

20Anak-anak Merari mengikut nama keturunan kaum mereka: Mahli dan Musi. Inilah kaum-kaum bani Lewi menurut keluarganya.

21Daripada Gerson terdirilah kaum Libni dan kaum Simei. Itulah keturunan kaum Gerson.

22Menurut penghitungan, jumlah semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 7,500 orang.

23Keturunan kaum Gerson itu berkhemah di belakang Khemah Suci, di sebelah barat.

24Pemimpin keluarga Gerson ialah Elyasaf anak Lael.

25Di dalam Khemah Pertemuan, bani Gerson berkewajipan menguruskan Khemah Suci, khemah berserta penudungnya, tirai pintu Khemah Pertemuan,

26kain yang memagari laman dalaman, tirai pintu laman dalaman yang mengelilingi Khemah Suci dan mazbah berserta tali-talinya, serta semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu.

27Daripada Kehat terdirilah kaum Amram, kaum Yizhar, kaum Hebron, dan kaum Uziel. Itulah keturunan kaum Kehat,

28dan mereka berkewajipan menguruskan tempat suci. Menurut penghitungan, jumlah semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 8,600 orang.

29Kaum-kaum bani Kehat itu berkhemah di sebelah selatan Khemah Suci.

30Pemimpin keluarga daripada keturunan kaum Kehat ialah Elisafan anak Uziel.

31Kewajipan mereka ialah menguruskan tabut, meja, kaki pelita, mazbah-mazbah, kelengkapan tempat suci yang digunakan untuk menyelenggarakan ibadat, tirai, dan semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu.

32Pada waktu itu, pemimpin tertinggi bani Lewi ialah Eleazar, anak Imam Harun. Dia mengawasi orang yang berkewajipan menguruskan tempat suci.

33Daripada Merari terdirilah kaum Mahli dan kaum Musi. Itulah keturunan kaum Merari.

34Menurut penghitungan, jumlah semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 6,200 orang.

35Pemimpin keluarga daripada keturunan kaum Merari ialah Zuriel anak Abihail. Mereka berkhemah di sebelah utara Khemah Suci.

36Kewajipan yang dipercayakan kepada bani Merari ialah menguruskan papan-papan Khemah Suci, kayu-kayu palangnya, tiang-tiangnya, alas-alasnya, segala kelengkapannya, dan semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu,

37juga tiang-tiang di sekeliling laman dalaman dengan alas, pasak, serta talinya.

38Mereka yang berkhemah di depan Khemah Suci, iaitu di sebelah timur, di depan Khemah Pertemuan, arah matahari terbit, ialah Musa dan Harun berserta anak-anaknya. Mereka berkewajipan menguruskan tempat suci dan menunaikan tugas bagi orang Israel. Selain mereka, hendaklah orang awam yang berani mendekati khemah itu dihukum mati.

39Jumlah semua bani Lewi yang dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN, menurut kaum-kaum mereka, iaitu semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas, ialah 22,000 orang.

40TUHAN berfirman kepada Musa, “Hitunglah semua anak sulung lelaki orang Israel yang berumur satu bulan ke atas dan buatlah daftar nama mereka.

41Kemudian khususkanlah bani Lewi bagi-Ku – Akulah TUHAN – sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel, demikian juga haiwan bani Lewi sebagai ganti semua yang sulung antara haiwan orang Israel.”

42Musa pun menghitung semua anak sulung dalam kalangan orang Israel, seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya.

43Menurut daftar nama orang yang berumur satu bulan ke atas, jumlah semua anak sulung lelaki ialah 22,273 orang.

44Lalu TUHAN berfirman kepada Musa demikian,

45“Khususkanlah bani Lewi sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel, juga haiwan bani Lewi sebagai ganti haiwan mereka. Bani Lewi ialah kepunyaan-Ku. Akulah TUHAN.

46Sebagai wang tebusan bagi 273 anak sulung orang Israel yang melebihi jumlah bani Lewi,

47ambillah lima syikal daripada setiap orang menurut syikal rasmi Khemah Suci yang beratnya dua puluh gera,

48lalu berikanlah wang itu kepada Harun dan anak-anaknya sebagai tebusan bagi orang yang berlebihan itu.”

49Musa pun mengumpulkan wang tebusan daripada orang di luar jumlah yang ditebus oleh bani Lewi.

50Jadi, daripada anak-anak sulung orang Israel itu dia menerima 1,365 syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci.

51Kemudian Musa memberikan wang tebusan itu kepada Harun dan anak-anaknya selaras dengan firman TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.



 <<  Bilangan 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel