Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 31 >> 

Pembalasan terhadap orang Midian dan Bileam

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Lakukanlah pembalasan terhadap orang Midian ke atas segala perbuatan mereka terhadap orang Israel. Setelah itu, kamu akan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurmu.”

3Kata Musa kepada bangsa itu, “Hendaklah kamu persenjatai beberapa orang daripada kalangan kamu untuk berperang. Hendaklah mereka serang Midian demi menjalankan pembalasan TUHAN terhadap Midian.

4Hendaklah kamu hantar seribu orang daripada setiap suku di Israel untuk berperang.”

5Maka dikerahkanlah ribuan orang Israel yang sanggup berperang, seribu orang dari setiap suku. Jadi, jumlah seluruhnya dua belas ribu orang.

6Musa pun menghantar mereka, iaitu seribu orang daripada setiap suku itu, untuk berperang bersama-sama Pinehas, anak Imam Eleazar, yang membawa kelengkapan tempat suci serta segala nafiri yang memberikan isyarat semboyan di tangannya.

7Lalu seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, berperanglah mereka melawan orang Midian, dan membunuh setiap lelaki.

8Mereka juga berjaya membunuh kelima-lima orang raja orang Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Malahan riwayat Bileam anak Beor juga ditamatkan mereka dengan pedang.

9Para warga perempuan Midian berserta anak-anak mereka ditawan oleh orang Israel. Semua haiwan, ternakan, dan segala harta benda mereka juga dijarah.

10Selain itu, semua kota tempat kediaman mereka dan semua perkhemahan Midian dibakar.

11Orang Israel mengambil segala jarahan serta rampasan itu, termasuk juga haiwan dan para tawanan,

12lalu membawa semua itu kepada Musa, Imam Eleazar, dan umat Israel di perkhemahan mereka yang terletak di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho.

13Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat itu pergi menyongsong mereka di luar perkhemahan.

14Akan tetapi, Musa menjadi marah dengan ketua-ketua pasukan, iaitu para pemimpin pasukan setiap seribu orang dan para pemimpin pasukan setiap seratus orang yang pulang daripada peperangan.

15Kata Musa kepada mereka, “Jadi, kamu membiarkan semua perempuan hidup?

16Ingat, atas nasihat Bileam, merekalah yang menyebabkan orang Israel berbuat mungkar terhadap TUHAN berhubungan dengan perkara Peor, sehingga wabak melanda umat TUHAN.

17Sekarang, matikanlah semua anak lelaki mereka, juga semua perempuan yang pernah bersetubuh dengan lelaki.

18Tetapi biarkanlah hidup semua anak perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki, dan ambillah mereka bagimu.

19Berkhemahlah di luar perkhemahan tujuh hari lamanya, hendaklah sesiapa pun yang telah membunuh orang serta menyentuh mayat orang yang tewas itu menyucikan diri pada hari ketiga dan ketujuh. Hal ini berkuat kuasa baik bagi kamu mahupun orang tawananmu.

20Sucikanlah juga setiap pakaian, setiap barang yang terbuat daripada kulit, daripada bulu kambing, serta daripada kayu.”

21Maka berkatalah Imam Eleazar kepada pejuang yang telah pergi berperang, “Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

22Hendaklah emas, perak, tembaga, besi, timah putih, dan timah hitam,

23iaitu segala sesuatu yang tahan api disucikan dalam api supaya menjadi suci. Tetapi kemudian hendaklah barang-barang itu juga disucikan dengan air pembersih kecemaran. Manakala semua yang tidak tahan api hendaklah kamu celup ke dalam air.

24Cucilah pakaianmu pada hari ketujuh, maka kamu akan menjadi suci. Sesudah itu barulah kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”

Pembahagian jarahan

25TUHAN berfirman kepada Musa,

26“Hendaklah kamu, Imam Eleazar, dan ketua-ketua kaum keluarga umat itu menghitung jumlah rampasan yang telah diangkut, baik manusia mahupun haiwan.

27Bahagikanlah rampasan itu menjadi dua bahagian, separuh untuk pasukan perang yang telah pergi bertempur, dan separuh lagi untuk seluruh umat.

28Daripada pejuang yang pergi bertempur, pungutlah ufti bagi TUHAN, iaitu satu daripada setiap lima ratus bilangan manusia, lembu, keldai, serta domba.

29Ambillah itu daripada separuh bahagian milik mereka, lalu serahkanlah kepada Imam Eleazar sebagai persembahan khusus kepada TUHAN.

30Sementara itu, dari separuh bahagian milik orang Israel ambillah satu daripada setiap lima puluh bilangan manusia, lembu, keldai, domba, serta segala haiwan, lalu serahkanlah kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci TUHAN.”

31Maka Musa dan Imam Eleazar melakukan seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

32Jumlah baki barang rampasan daripada jarahan yang diambil oleh pasukan perang itu ialah 675,000 ekor domba,

3372,000 ekor lembu,

34dan 61,000 ekor keldai.

35Jumlah perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki ialah 32,000 orang.

36Separuh bahagian yang menjadi milik orang yang pergi berperang berjumlah 337,500 ekor domba.

37Daripada domba itu, 675 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.

38Daripada lembu sejumlah 36,000 ekor, dan 72 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.

39Daripada keldai sejumlah 30,500 ekor, 61 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.

40Jumlah orang ialah 16,000, dan 32 orang daripada jumlah ini diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.

41Kemudian Musa menyerahkan kepada Imam Eleazar ufti yang menjadi persembahan khusus bagi TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

42Separuh bahagian lagi ialah milik orang Israel, yang dipisahkan Musa daripada bahagian orang yang telah berperang.

43Separuh bahagian milik umat itu berjumlah 337,500 ekor domba,

4436,000 ekor lembu,

4530,500 ekor keldai,

46dan 16,000 orang manusia.

47Daripada separuh bahagian milik orang Israel itu, Musa mengambil satu dari setiap lima puluh bilangan manusia dan juga binatang, lalu menyerahkannya kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

48Kemudian orang yang mengetuai ribuan tentera itu, iaitu para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang, datang menghadap Musa.

49Mereka berkata kepada Musa, “Hamba-hambamu ini telah menghitung jumlah pejuang yang ada di bawah pimpinan kami. Tiada seorang pun hilang daripada kalangan kami.

50Oleh sebab itu, kami membawa persembahan berupa barang-barang emas yang didapati oleh mereka masing-masing untuk dipersembahkan kepada TUHAN, iaitu gelang kaki, gelang tangan, cincin, anting-anting, dan gelang lengan supaya diadakan pendamaian bagi nyawa kami di hadapan TUHAN.”

51Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada mereka. Semuanya ialah barang tempaan.

52Seluruh emas persembahan khusus yang diserahkan kepada TUHAN oleh para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang itu ialah 16,750 syikal beratnya.

53Para pejuang itu memang telah mengambil rampasan bagi diri masing-masing.

54Setelah Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada para pemimpin pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang, mereka membawanya masuk ke Khemah Pertemuan sebagai tanda peringatan bagi orang Israel di hadapan TUHAN.



 <<  Bilangan 31 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel