Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 36 >> 

Perkahwinan anak perempuan dan hak warisnya

1Ketua keluarga daripada kaum bani Gilead anak Makhir anak Manasye, salah satu antara keturunan kaum Yusuf, datang dan berbicara di hadapan Musa serta para pemimpin, iaitu para ketua keluarga orang Israel.

2Kata mereka, “TUHAN telah memerintahkan tuanku untuk memberikan tanah itu kepada orang Israel sebagai harta pusaka melalui cabutan undi. TUHAN juga telah memerintahkan tuanku untuk memberikan harta pusaka Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya.

3Akan tetapi, jika mereka menikah dengan seseorang lelaki daripada mana-mana suku orang Israel yang lain, maka warisan mereka itu tentunya akan diambil daripada harta pusaka leluhur kami lalu ditambahkan pada harta pusaka suku yang akan dimasuki oleh mereka. Dengan demikian akan berkuranganlah harta pusaka yang dicabut undi kepada kami.

4Lalu apabila tiba Tahun Pembebasan bagi orang Israel, harta pusaka mereka akan ditambahkan kepada harta pusaka suku yang dimasuki mereka, walhal harta pusaka suku leluhur kami berkurang kerana warisan mereka itu diambil orang suku lain.”

5Kemudian, Musa memberikan perintah kepada orang Israel berdasarkan perintah TUHAN, katanya, “Benarlah seperti yang dikatakan oleh suku bani Yusuf itu.

6Inilah perintah TUHAN mengenai anak-anak perempuan Zelafehad, ‘Mereka boleh menikah dengan siapa sahaja yang baik menurut mereka, tetapi hanya daripada kalangan kaum suku leluhur mereka.

7Oleh yang demikian, harta pusaka orang Israel tidak boleh beralih daripada suku ke suku, kerana orang Israel harus tetap berada pada harta pusaka suku leluhur masing-masing.

8Hendaklah setiap anak perempuan dalam kalangan suku-suku orang Israel yang mewarisi harta pusaka menikah dengan seorang daripada kaum suku leluhurnya, supaya orang Israel dapat mewarisi harta pusaka leluhur masing-masing.

9Harta pusaka itu tidak boleh beralih daripada satu suku ke suku yang lain, kerana suku orang Israel harus tetap berada pada harta pusaka masing-masing.’ ”

10Maka seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, demikianlah dilakukan oleh anak-anak perempuan Zelafehad.

11Anak perempuan Zelafehad iaitu Mahla, Tirza, Hogla, Milka, dan Noa, menikah dengan anak-anak lelaki daripada saudara ayah mereka.

12Mereka menikah dengan orang daripada kaum bani Manasye anak Yusuf, maka dengan demikian, harta pusaka mereka tetap berada dalam tangan suku kaum leluhur mereka.

13Itulah perintah dan peraturan yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa kepada orang Israel di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho.



 <<  Bilangan 36 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel