Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Bilangan 6 >> 

Peraturan bagi seorang yang bernazar

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Jika seorang lelaki atau perempuan telah bernazar secara khusus, iaitu mengucapkan nazar sebagai seorang penazar untuk mengasingkan dirinya bagi TUHAN,

3maka hendaklah dia menjauhkan dirinya daripada meminum air anggur dan minuman yang memabukkan. Dia tidak boleh minum cuka daripada anggur ataupun cuka minuman yang memabukkan, tidak boleh minum pelbagai air buah daripada buah anggur, juga tidak boleh makan buah anggur, baik yang segar mahupun yang kering.

4Selama dia mengasingkan dirinya itu, dia tidak boleh makan sesuatu apa pun yang berasal daripada pokok anggur, baik bijinya mahupun kulitnya.

5Sepanjang tempohnya sebagai seorang penazar, pisau cukur tidak boleh mengenai kepalanya. Hendaklah dia suci hingga dia selesai mengasingkan dirinya bagi TUHAN, dan hendaklah dia membiarkan rambut di kepalanya memanjang.

6Selama tempoh dia mengasingkan dirinya bagi TUHAN, dia tidak boleh mendekati mayat.

7Dia tidak boleh menajiskan diri dengan mendekati jenazah ayahnya, ibunya, saudara lelakinya, atau saudara perempuannya sekalipun, jika mereka meninggal, kerana di kepalanya ada tanda bahawa dia mengasingkan dirinya bagi Allah.

8Selama pengasingan dirinya sebagai penazar itu, dia suci bagi TUHAN.

9Jika seseorang tiba-tiba mati di sisinya sehingga ternajis kepalanya yang disucikan itu, maka hendaklah dia mencukur rambutnya pada hari penyuciannya, iaitu hari ketujuh.

10Pada hari kelapan, hendaklah dia membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati kepada imam di pintu Khemah Pertemuan.

11Hendaklah imam menyediakan seekor untuk menjadi korban penghapus dosa dan seekor lagi menjadi korban bakaran, lalu mengadakan pendamaian bagi orang itu atas sebab dosanya kerana berada dekat mayat. Hendaklah pada hari itu juga dia menyucikan kepalanya.

12Hendaklah dia mengasingkan dirinya semula bagi TUHAN selama dia bernazar dan hendaklah dia membawa seekor domba jantan berumur setahun sebagai korban penebus kesalahan. Hari-hari yang dahulu dia bernazar dianggap batal atas sebab pengasingan dirinya sudah ternajis.

13Inilah peraturan bagi seorang penazar. Apabila selesainya tempoh pengasingan diri, hendaklah dia dibawa ke pintu Khemah Pertemuan.

14Hendaklah dia mempersembahkan kepada TUHAN seekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran, seekor domba betina berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan yang tidak bercacat cela sebagai korban kedamaian.

15Hendaklah dia juga mempersembahkan sebakul roti tidak beragi, kuih daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, roti nipis tidak beragi yang disapukan minyak zaitun, bersama dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.

16Kemudian imam harus membawa kesemua itu ke hadirat TUHAN dan mempersembahkan korban penghapus dosa serta korban bakarannya.

17Hendaklah imam juga mempersembahkan domba jantan itu sebagai korban kedamaian bagi TUHAN bersama dengan sebakul roti yang tidak beragi, dan selanjutnya mempersembahkan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya.

18Kemudian, hendaklah penazar itu mencukur rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai seorang penazar itu di depan pintu Khemah Pertemuan. Hendaklah dia juga mengambil rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai penazar itu lalu meletakkannya di dalam api di bawah korban kedamaian.

19Hendaklah imam mengambil bahu domba jantan yang sudah direbus, sebiji kuih tidak beragi dari dalam bakul, dan sekeping roti tipis tidak beragi, lalu meletakkannya di telapak tangan penazar setelah dia mencukur rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai penazar itu.

20Kemudian hendaklah imam mengunjukkan semua itu di hadapan TUHAN sebagai persembahan unjukan. Itulah yang menjadi bahagian suci bagi imam bersama dengan dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus. Setelah itu, barulah penazar itu boleh minum air anggur.”

21Itulah peraturan bagi seorang penazar, yang menazarkan persembahannya kepada TUHAN kerana kedudukannya sebagai penazar, belum termasuk hal lain yang mampu dipersembahkannya. Berdasarkan nazar yang diucapkannya, hendaklah demikian itu juga yang dilakukannya, selaras dengan peraturan bagi para penazar.’ ”

Pemberian restu oleh imam

22TUHAN berfirman kepada Musa,

23“Katakanlah kepada Harun dan kepada anak-anaknya, ‘Beginilah kamu harus memberkati orang Israel. Katakanlah kepada mereka,

24“TUHAN memberkati kamu dan melindungi kamu.

25TUHAN menyinari kamu dengan wajah-Nya dan memberi kamu kasih kurnia.

26TUHAN menghadapkan wajah-Nya kepada kamu dan memberi kamu kedamaian.” ’

27“Demikianlah mereka harus menyebutkan nama-Ku ke atas orang Israel, maka Aku akan memberkati mereka.”



 <<  Bilangan 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel