Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 2 >> 

Mimpi Raja Nebukadnezar

1Pada tahun yang kedua dalam zaman pemerintahannya, Raja Nebukadnezar mendapat mimpi lantas hatinya amat resah dan dia susah tidur.

2Raja memanggil para ahli ilmu ghaib, para ahli mantera, para tukang faal, dan orang Kasdim untuk memberitahunya apa yang dimimpinya itu. Maka datanglah mereka dan berdiri di hadapan raja.

3Kata raja kepada mereka, “Aku mendapat mimpi, dan hatiku resah kerana ingin memahami mimpi itu.”

4Kata orang Kasdim kepada raja dalam bahasa Aram, “Dirgahayu Raja! Ceritakanlah mimpi itu kepada hambamu ini, maka kami akan memberitahukan tafsirannya.”

5Jawab raja kepada orang Kasdim itu, “Keputusanku sudah bulat: Jika kamu tidak memberitahukan kepadaku mimpi itu dengan tafsirannya, maka kamu akan dikerat-kerat dan rumahmu akan dijadikan timbunan puing.

6Tetapi jika kamu memberitahukan mimpi itu dengan tafsirannya, maka kamu akan menerima pemberian, hadiah, dan kehormatan besar daripadaku. Oleh sebab itu, beritahukanlah kepadaku mimpi itu dengan tafsirannya!”

7Mereka menjawab sekali lagi, “Biarlah Raja menceritakan mimpi itu kepada hamba-hambanya ini, maka kami akan memberitahukan tafsirannya.”

8Kata raja, “Aku tahu pasti bahawa kamu hendak melengah-lengahkan masa, kerana kamu melihat bahawa keputusanku sudah bulat,

9yakni jika kamu tidak memberitahukan kepadaku mimpi itu, maka kamu akan dijatuhi satu hukuman yang sama. Kamu telah bersepakat untuk menyampaikan kata-kata dusta dan busuk supaya keadaan akan berubah. Oleh sebab itu ceritakanlah kepadaku mimpi itu, maka aku akan tahu bahawa kamu dapat pula memberitahukan tafsirannya.”

10Jawab orang Kasdim itu kepada raja, “Tidak ada seorang pun di bumi ini yang sanggup memenuhi permintaan Raja! Tidak pernah raja mana-mana pun yang besar dan berkuasa meminta yang demikian daripada ahli ilmu ghaib, ahli mantera, atau orang Kasdim mana pun!

11Hal yang diminta Raja itu terlalu sukar. Tidak ada yang dapat memberitahukannya kepada Raja kecuali tuhan-tuhan yang tidak tinggal dalam kalangan manusia.”

12Apabila mendengar hal itu, raja menjadi gusar dan sangat murka. Lalu dia memberikan perintah untuk membinasakan semua orang bijak di Babel.

13Maka titah raja dikeluarkan agar orang bijak dibunuh sehingga Daniel dan teman-temannya pun dicari untuk dibunuh.

14Pada waktu itu Daniel menjawab dengan penuh arif dan hemat kepada Ariokh, pemimpin pengawal raja yang telah bersiap untuk membunuh orang bijak di Babel.

15Dia bertanya kepada Ariokh, panglima raja itu, “Mengapakah titah yang dikeluarkan raja begitu keras?” Lalu Ariokh menjelaskan hal itu kepada Daniel.

16Maka Daniel pergi memohon kepada raja supaya dia diberi masa untuk memberitahukan tafsiran mimpi itu kepada raja.

17Setelah itu, Daniel pulang ke rumahnya dan menyampaikan hal itu kepada para temannya iaitu Hananya, Misael, dan Azarya.

18Dia menyuruh mereka memohon rahmat daripada Allah semesta langit sehubungan dengan rahsia itu, supaya Daniel dan teman-temannya tidak turut dibinasakan dengan orang bijak yang lain di Babel.

19Kemudian rahsia itu diungkapkan kepada Daniel dalam penglihatan pada malam hari. Lalu Daniel memuji Allah semesta langit.

20Kata Daniel, “Segala puji bagi nama Allah selama-lamanya, kerana hikmah dan kekuatan milik-Nya!

21Dia mengubah waktu dan musim, Dia memecat dan melantik raja-raja. Dia mengurniakan hikmah kepada orang bijak dan pengetahuan kepada orang yang memiliki pengertian.

22Dia menyingkapkan hal-hal yang dalam dan tersembunyi. Dia mengetahui apa yang ada di dalam gelap, dan cahaya menetap dalam-Nya.

23Ya Allah nenek moyangku, aku mengucap syukur dan memuji Engkau, kerana Engkau mengurniakan kepadaku kebijaksanaan dan kekuatan. Sekarang ini Engkau telah memberitahukan kepadaku apa yang kami mohonkan daripada-Mu, kerana Engkau telah menyatakan kepada kami perihal raja.”

24Oleh sebab itu Daniel pergi menemui Ariokh, yang telah dilantik oleh raja untuk membinasakan orang bijak di Babel. Dia pergi dan berkata demikian kepadanya, “Jangan binasakan orang bijak di Babel! Bawalah hamba menghadap raja. Hamba akan memberitahukan tafsiran mimpi itu kepada raja.”

25Maka Ariokh segera membawa Daniel untuk menghadap raja. Dia berkata demikian kepada raja, “Hamba telah menemukan salah seorang buangan daripada bani Yehuda yang dapat memberitahukan tafsiran mimpi itu kepada Raja.”

26Tanya raja kepada Daniel, yang juga dinamai Beltsazar, “Sanggupkah engkau memberitahukan kepadaku mimpi yang telah kulihat itu dengan tafsirannya?”

27Jawab Daniel kepada raja, “Rahsia yang ditanyakan Raja tidak dapat diberitahukan kepada Raja oleh orang bijak, ahli mantera, ahli ilmu ghaib, dan jurufaal.

28Akan tetapi, di syurga ada Allah yang sanggup menyingkapkan rahsia. Dia telah memberitahukan kepada Raja Nebukadnezar apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Inilah mimpi tuanku dan penglihatan yang didapati tuanku sewaktu tuanku berbaring di peraduan.

29Ketika Tuanku Raja berbaring di peraduan, timbullah fikiran tuanku tentang apa yang akan terjadi pada hari-hari yang akan datang. Lalu Dia yang sanggup menyingkapkan rahsia memberitahukan kepada tuanku apa yang akan terjadi.

30Bagi hamba, rahsia itu telah diungkapkan kepada hamba bukan kerana hamba mempunyai kebijaksanaan lebih daripada semua orang yang hidup, melainkan demi Tuanku Rajalah tafsiran mimpi itu diberitahukan supaya tuanku dapat memahami fikiran dalam hati tuanku.

31Tuanku Raja, dalam penglihatan tuanku kelihatan sebuah patung yang amat besar. Patung yang berkilau-kilau secara luar biasa itu tegak di hadapan tuanku, dan rupanya menakutkan.

32Kepala patung itu daripada emas mutu tinggi, dada dan lengannya daripada perak, perut dan pahanya daripada gangsa,

33betisnya daripada besi, kakinya separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat.

34Ketika tuanku melihatnya tiba-tiba ada sebuah batu terbelah, tetapi bukan oleh tangan manusia. Batu itu menimpa patung itu pada kedua-dua belah kakinya yang daripada besi dan tanah liat, lalu memecahkannya.

35Setelah itu, besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas itu pecah bersama-sama dan menjadi seperti sekam di tempat pembantingan pada musim kemarau. Angin menerbangkan kesemuanya sehingga tidak ditemukan lagi bekas apa-apa pun daripadanya. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi gunung besar yang memenuhi seluruh bumi.

36Inilah mimpi itu, dan sekarang kami hendak menyampaikan tafsirannya kepada Raja.

37Tuanku Raja sememangnya raja segala raja. Allah semesta langit telah mengurniakan kepada tuanku kerajaan, kekuasaan, kekuatan, dan kemuliaan.

38Anak-anak manusia, binatang-binatang liar, dan burung-burung di udara – di mana-mana pun mereka tinggal – telah diserahkan-Nya ke dalam tangan tuanku. Dia membuat tuanku berkuasa atas semuanya. Kepala daripada emas itu ialah tuanku.

39Setelah tuanku akan muncul suatu kerajaan lain yang lebih lemah daripada kerajaan tuanku, lalu kerajaan lain daripada gangsa, yakni yang ketiga, yang akan menguasai seluruh bumi.

40Kemudian akan ada kerajaan keempat yang kuat seperti besi, kerana besi memecahkan dan meremukkan segala sesuatu. Seperti besi yang menghancurkan segala sesuatu, kerajaan ini akan memecahkan dan menghancurkan semua yang lain.

41Sebagaimana tuanku lihat kaki dan jari-jarinya separuh daripada tanah liat tukang periuk dan separuh daripada besi, demikianlah kerajaan itu akan terbahagi. Tetapi kekuatan besi akan tetap ada di dalamnya, sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat.

42Sebagaimana jari-jari kaki itu separuh daripada besi dan separuh daripada tanah liat, demikianlah kerajaan itu sebahagiannya kuat dan sebahagiannya rapuh.

43Sebagaimana tuanku lihat besi itu bercampur dengan tanah liat, demikianlah mereka akan bercampur dalam perkahwinan, tetapi tetap tidak dapat padu antara satu dengan yang lain, seperti besi tidak dapat bercampur dengan tanah liat.

44Pada zaman raja-raja itulah Allah semesta langit akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak akan binasa untuk selama-lamanya, dan pemerintahannya tidak akan beralih kepada bangsa lain. Kerajaan itu akan memecahkan dan meniadakan semua kerajaan lainnya, tetapi kerajaan itu sendiri akan tegak untuk selama-lamanya.

45Sebagaimana tuanku lihat bahawa sebuah batu terbelah daripada gunung, tetapi bukan oleh tangan manusia, lalu memecahkan besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu, demikianlah Allah Yang Maha Besar telah memberitahukan kepada Raja apa yang akan terjadi pada kemudian hari. Mimpi itu benar dan tafsirannya pun dapat dipercayai.”

46Lalu Raja Nebukadnezar sujud memberi hormat kepada Daniel. Dia memberikan perintah supaya persembahan dan wangi-wangian diberikan kepadanya.

47Kata raja kepada Daniel, “Sesungguhnya, Allahmu sememangnya Allah segala allah, Tuhan segala raja, dan Dia menyingkap segala rahsia, kerana engkau telah sanggup menyingkapkan rahsia ini.”

48Kemudian raja menjadikan Daniel orang besar dan mengurniakan kepadanya pemberian yang amat banyak. Dia menjadikan Daniel penguasa atas seluruh Wilayah Babel dan ketua atas semua orang bijak di Babel.

49Daniel memohon kepada raja sehingga Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dilantik menjadi pemerintah bagi pentadbiran di Wilayah Babel, sementara Daniel sendiri tinggal di istana raja.



 <<  Daniel 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel