Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hosea 5 >> 

Ancaman terhadap orang Israel

1“Dengarlah ini, wahai para imam! Berikanlah perhatian, wahai keturunan kaum Israel! Pasanglah telingamu, wahai keluarga raja, kerana hukuman itu ditujukan kepadamu! Kamu telah menjadi perangkap di Mizpa dan jaring yang terbentang di atas Gunung Tabor.

2Para pemberontak itu semakin jauh terbenam dalam kehinaan, maka Aku akan mengazab mereka semua.

3Aku mengenal Efraim, dan Israel tidak tersembunyi daripada-Ku. Sekarang ini engkau telah bertindak kufur, wahai Efraim, dan Israel telah mencemarkan dirinya.”

4Segala kemungkaran mereka tidak mengizinkan mereka kembali kepada Allah mereka, kerana roh kekufuran ada dalam diri mereka dan mereka tidak mengenal TUHAN.

5Keangkuhan Israel menjadi saksi terhadap diri sendiri. Israel dan Efraim akan tersandung oleh kesalahan mereka sendiri, Yehuda pun akan tersandung bersama-sama mereka.

6Mereka akan pergi mencari hadirat TUHAN dengan membawa seluruh kawanan haiwan ternakan mereka. Namun demikian, mereka tidak akan menjumpai Dia; Dia telah menarik diri daripada mereka.

7Mereka berlaku khianat terhadap TUHAN, kerana mereka melahirkan anak yang haram. Sekarang, perayaan bulan baru akan memakan habis mereka dan ladang mereka.

Israel mencari pertolongan tetapi sia-sia

8“Tiuplah sangkakala di Gibea dan nafiri di Rama. Teriakkanlah tanda bahaya di Bet-Awen. Engkau diburu, wahai Benyamin!

9Efraim akan menjadi tandus pada hari penghukuman. Dalam kalangan suku Israel Aku memberitahukan apa yang pasti.

10Para pembesar Yehuda seperti kalangan yang memindahkan batas tanah. Aku akan mencurahkan murka-Ku atas mereka seperti air.

11Efraim tertindas, hancur dihukum, kerana kuat azamnya untuk mengikuti perintah manusia.

12Aku akan seperti gegat bagi Efraim, seperti kelapukan yang menimpa keturunan kaum Yehuda.

13Apabila Efraim melihat penyakitnya dan Yehuda melihat lukanya, pergilah Efraim ke Asyur dan mengutus orang kepada Raja Jareb yang suka bertengkar. Tetapi dia tidak dapat menyembuhkan kamu dan tidak dapat mengubati lukamu.

14Aku ini seperti singa bagi Efraim dan seperti singa muda bagi keturunan kaum Yehuda. Aku, Aku sendiri akan mencabik-cabik mereka lalu pergi. Aku akan melarikan mangsa tanpa ada yang dapat melepaskannya.”

Taubat pura-pura pihak orang Israel

15“Aku akan kembali ke tempat-Ku sehingga mereka mengakui kesalahan mereka dan mencari wajah-Ku. Dalam kesesakan mereka itu, masing-masing akan bersungguh-sungguh mencari hadirat-Ku.”



 <<  Hosea 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel