Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ibrani 9 >> 

Ibadat di bumi dan di syurga

1Perjanjian pertama itu mempunyai rukun-rukun ibadat dan tempat suci di bumi.

2Suatu khemah telah disediakan: di bahagian pertama terdapat kaki pelita, meja dan persembahan roti; ini disebut Tempat Yang Suci.

3Di balik tirai kedua ialah bahagian khemah yang disebut Tempat Yang Maha Suci.

4Di situ terdapat mazbah perasapan emas, tabut perjanjian yang bersalut emas, bokor emas yang berisi manna, tongkat Harun yang bertunas, dan loh-loh perjanjian.

5Di atasnya terdapat kerubin kemuliaan yang menaungi penutup pendamaian. Perkara ini tidak dapat diperkatakan satu persatu sekarang.

6Setelah segala ini disediakan, imam-imam sentiasa masuk ke bahagian pertama khemah itu dan menyempurnakan ibadat.

7Tetapi ke bahagian kedua, imam besar masuk seorang diri setahun sekali sahaja, tidak boleh tidak membawa darah, yang dipersembahkannya untuk dosa dirinya dan untuk dosa orang lain yang dilakukan akibat kejahilan.

8Roh Kudus membayangkan bahawa jalan masuk ke Tempat Yang Maha Suci tidak dinyatakan selagi bahagian pertama khemah masih tetap berdiri.

9Ini melambangkan zaman ini, ketika persembahan dan korban dipersembahkan tetapi tidak menjadikan orang yang menjalankan ibadat itu sempurna dari segi hati nurani.

10Semua ini hanya soal makanan dan minuman, pelbagai upacara pembasuhan iaitu rukun-rukun lahiriah yang dikenakan hingga sampai masa pembaharuan.

Kristus Pengantara manusia

11Tetapi Kristus datang sebagai Imam Besar bagi perkara-perkara baik yang akan datang, dengan khemah yang lebih besar dan lebih sempurna, yang bukan buatan manusia, bukan sebahagian daripada kejadian alam.

12Bukan dengan darah kambing atau anak lembu, tetapi dengan darah-Nya sendiri, Dia masuk ke dalam Tempat Yang Maha Suci, sekali untuk selama-lamanya, kerana Dia mendapatkan penebusan yang kekal.

13Jika darah lembu jantan dan kambing serta abu lembu betina muda yang direnjiskan ke atas orang bernajis dapat menyucikan jasadnya secara lahiriah,

14lebih-lebih lagilah darah Kristus, yang melalui Roh kekal mempersembahkan diri-Nya tanpa cela kepada Allah, menyucikan hati nuranimu daripada perbuatan yang mati supaya kamu dapat beribadat kepada Allah yang hidup.

15Itulah sebabnya Dia menjadi Pengantara bagi perjanjian baru, melalui kematian, untuk menebus kesalahan di bawah perjanjian pertama, supaya mereka yang dipanggil dapat menerima janji warisan yang kekal.

16Apabila ada wasiat, semestinya ada kematian pewasiat.

17Wasiat berkuat kuasa selepas kematian seseorang, kerana langsung tiada kuasanya selagi pewasiat masih hidup.

18Perjanjian pertama itu pun tidaklah ditentukan tanpa darah.

19Setelah Musa menyampaikan segala ajaran kepada semua orang menurut hukum Taurat, dia mengambil darah anak lembu dan kambing, dengan air, bulu domba berwarna merah, dan hisop, lalu merenjiskannya ke atas kitab serta semua orang,

20sambil berkata: “Ini darah bagi perjanjian yang telah diperintahkan Allah kepadamu.”

21Selepas itu, dia merenjiskan juga darah ke atas khemah dan segala alat ibadat.

22Menurut hukum Taurat hampir segala-galanya disucikan dengan darah, dan tanpa tumpahan darah tidak ada pengampunan.

23Salinan segala yang terdapat di syurga perlu disucikan dengan ini, tetapi segala yang di syurga itu sendiri memerlukan korban yang lebih mulia.

24Kristus tidaklah masuk ke tempat suci yang dibuat dengan tangan manusia, iaitu salinan tempat suci sejati. Dia telah masuk ke syurga itu sendiri, di hadirat Allah untuk kita.

25Dia tidak perlu mempersembahkan diri-Nya berkali-kali, sebagaimana Imam Besar masuk ke Tempat Yang Maha Suci setiap tahun dengan membawa darah makhluk lain.

26Andainya demikian, terpaksalah Dia menderita berkali-kali sejak permulaan dunia. Dia tampil sekali sahaja, sewaktu akhir zaman ini, untuk menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya.

27Sebagaimana manusia ditentukan mati sekali, dan selepas itu dihakimkan,

28begitulah Kristus telah dikorbankan sekali untuk dosa semua manusia. Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan, Dia akan datang bagi kali kedua, bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka.



 <<  Ibrani 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel