Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 21 >> 

Pelbagai peraturan demi kesucian para imam

1TUHAN berfirman kepada Musa, “Berbicaralah kepada para imam, iaitu anak-anak Harun, dan katakanlah kepada mereka, ‘Seorang imam tidak boleh menajiskan dirinya dengan menyentuh sesiapa pun yang mati daripada kalangan umat sebangsanya,

2kecuali para saudara terdekat yang sedarah sedaging dengannya seperti ibunya, ayahnya, anak lelakinya, anak perempuannya, saudara lelakinya,

3atau saudara perempuannya yang masih perawan dan yang belum bersuami. Dengan mereka itu dia boleh menajiskan diri.

4Sebagai seorang ketua dalam kalangan bangsanya, dia tidak boleh menajiskan diri sehingga dirinya tercemar.

5Para imam tidak boleh menggondolkan kepala mereka, mencukur tepi janggut mereka, ataupun membuat torehan pada tubuh mereka.

6Sebaliknya, hendaklah mereka suci untuk Allah mereka dan tidak boleh mencemarkan nama Allah mereka, kerana merekalah yang mempersembahkan korban bakaran untuk TUHAN, iaitu santapan Allah mereka. Oleh itu, mereka haruslah suci.

7Mereka tidak boleh memperisteri seorang perempuan sundal atau perempuan yang ternoda atau perempuan yang sudah diceraikan oleh suaminya, kerana imam itu suci untuk Allah mereka.

8Hendaklah kamu tahbiskan dia kerana dialah yang mempersembahkan santapan berupa korban kepada Allahmu. Hendaklah dia suci buat kamu kerana Aku, TUHAN yang menyucikan kamu, sememangnya kudus.

9Jika anak perempuan seorang imam menjadi pelacur lantas mencemarkan dirinya, dia mencemarkan ayahnya, dan hendaklah dia dibakar dengan api.

10Orang yang menjadi imam besar dalam kalangan saudaranya, iaitu yang kepalanya sudah dicurahi minyak tahbis dan yang sudah dilantik untuk mengenakan pakaian suci, tidak boleh menguraikan rambutnya dan tidak boleh mengoyakkan pakaiannya.

11Dia tidak boleh mendekati mayat sesiapa pun, bahkan tidak boleh menajiskan diri dengan jenazah ayahnya atau ibunya.

12Dia tidak boleh keluar dari tempat suci dan tidak boleh mencemari tempat suci Allahnya, kerana minyak pentahbisan Allahnya ada padanya. Akulah TUHAN.

13Hendaklah dia memperisteri seorang perawan.

14Tidak boleh dia memperisteri seorang balu, perempuan yang sudah diceraikan, perempuan yang ternoda, atau perempuan sundal. Dia hanya diperkenankan memperisteri seorang perawan dalam kalangan bangsanya,

15supaya jangan dia mencemarkan keturunannya antara umatnya, kerana Akulah TUHAN yang menyucikannya.’ ”

16TUHAN berfirman kepada Musa,

17“Katakanlah kepada Harun, ‘Sesiapa pun antara keturunanmu turun-temurun yang cacat tubuhnya tidak boleh tampil untuk mempersembahkan santapan berupa korban kepada Allahnya.

18Sebab tiada sesiapa pun yang memiliki cacat tubuh boleh tampil: sama ada orang buta, orang tempang, orang yang cacat mukanya, orang yang cacat teruk atau terlalu panjang anggota tubuhnya,

19orang yang patah kakinya atau yang patah tangannya,

20orang yang belakangnya bongkok melengkung, orang kerdil, orang yang ada selaput pada matanya, orang yang berkudis, orang yang berkurap, atau orang yang rosak buah zakarnya.

21Tiada seorang pun daripada keturunan Imam Harun yang cacat tubuhnya boleh tampil untuk mempersembahkan korban bakaran untuk TUHAN. Tubuhnya cacat maka dia tidak boleh tampil untuk mempersembahkan santapan berupa korban kepada Allahnya.

22Dia boleh memakan santapan Allahnya itu, baik yang teramat suci mahupun yang suci.

23Akan tetapi tubuhnya cacat, maka dia tidak boleh masuk ke balik tabir dan tidak boleh mendekati mazbah atau tempat pembakaran korban, supaya jangan dia mencemari tempat suci-Ku kerana Akulah TUHAN yang menyucikan mereka.’ ”

24Demikianlah dikatakan Musa kepada Harun, kepada anak-anaknya, dan kepada seluruh orang Israel.



 <<  Imamat 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel