Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 6 >> 

Kemungkaran penipuan dan sumpah dusta

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Jika seseorang berdosa dan melakukan kemungkaran terhadap TUHAN dengan menipu sesamanya tentang sesuatu barang yang diamanahkan untuk disimpannya, atau barang yang dirompak, atau yang disita menerusi ugutan dan penganiayaan,

3atau dia telah menemukan barang yang hilang lalu berbohong mengenai barang itu dan bersumpah dusta, yakni apa-apa pun yang dilakukan seseorang sehingga dia berdosa atas perbuatannya itu,

4jadi bersalah dan berdosalah dia, maka hendaklah dia memulangkan barang yang disitanya, barang hasil pemerasannya, barang yang disimpan dengannya, atau barang hilang yang dijumpainya,

5atau apa-apa pun yang dia bersumpah dusta atasnya. Hendaklah dia membayar ganti rugi penuh dengan tambahan sebanyak seperlima daripada nilainya. Hendaklah dia mengembalikan barang itu kepada pemiliknya pada hari dia mempersembahkan korban penebus kesalahannya.

6Sebagai pampasan, hendaklah dia membawa kepada TUHAN seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai dan diserahkan kepada imam untuk menjadi korban penebus kesalahan.

7Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi pihak orang itu di hadapan TUHAN, dan orang itu akan diampuni sehubungan dengan apa-apa pun perbuatannya yang menjadikannya bersalah.”

Arahan tentang persembahan korban bakaran

8TUHAN berfirman kepada Musa,

9“Perintahkanlah kepada Harun serta anak-anaknya demikian, ‘Inilah hukum tentang korban bakaran. Hendaklah korban bakaran itu berada di atas kayu apinya di atas mazbah sepanjang malam sehingga pagi hari, dan dengan cara demikianlah api mazbah itu diuruskan agar terus menyala.

10Apabila korban bakaran sudah habis dimakan api di atas mazbah, hendaklah imam mengenakan pakaian kain linennya, dan mengenakan seluar pendek linennya untuk menutupi auratnya lalu hendaklah dia mengambil abu dan meletakkannya di tepi mazbah.

11Lalu hendaklah dia menanggalkan pakaiannya lantas mengenakan pakaian lain dan seterusnya membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke sebuah tempat yang suci.

12Hendaklah dengan cara demikian, api di atas mazbah itu diusahakan agar terus menyala dan tidak dibiarkan padam. Tiap-tiap pagi hendaklah imam menambahkan kayu api, menyusun korban bakaran di atasnya, dan membakar lemak korban kedamaian di situ.

13Hendaklah api sentiasa menyala di atas mazbah dan tidak dibiarkan padam.

Persembahan bahan makanan orang ramai

14Inilah hukum bagi persembahan bahan makanan. Hendaklah anak-anak Harun mempersembahkannya ke hadirat TUHAN di hadapan mazbah.

15Hendaklah imam mengambil daripada persembahan bahan makanan itu segenggam tepung terbaik, minyak, dan kesemua kemenyan di atasnya. Semua itu iaitu bahagian peringatan persembahan tersebut hendaklah dibakar di atas mazbah hingga keharumannya diredai TUHAN.

16Bahagian selebihnya hendaklah dimakan tanpa ragi oleh Harun dan anak-anaknya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan.

17Bahagian itu tidak boleh dibakar dengan dimasukkan ragi. Daripada korban bakaran untuk-Ku, bahagian itulah yang Kuberikan sebagai bahagian mereka, dan bahagian itu bahagian yang teramat suci, sama seperti korban penghapus dosa dan korban penebus kesalahan.

18Semua lelaki daripada keturunan Harun berhak memakannya. Daripada korban bakaran untuk TUHAN, bahagian itu bahagian yang ditetapkan untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Apa pun yang menyentuh persembahan itu akan menjadi suci.’ ”

Persembahan bahan makanan para imam

19TUHAN berfirman kepada Musa,

20“Inilah persembahan kepada TUHAN yang perlu diserahkan oleh Harun dan anak-anaknya pada hari mereka diurapi: sepersepuluh efa tepung terbaik sebagai persembahan bahan makanan yang tetap, separuh daripadanya pada pagi hari dan separuh lagi pada petang hari.

21Hendaklah kesemuanya dicampurkan dengan minyak zaitun di atas kuali besi leper. Setelah tepung teradun dengan sebaik-baiknya dengan minyak, bawalah masuk, pecah-pecahkannya dan persembahkanlah sebagai persembahan harum yang diredai TUHAN.

22Hendaklah penyampaian persembahan itu dilakukan oleh imam daripada kalangan anak Harun yang siap diurapi yakni anak yang bakal menggantikan tempatnya. Inilah ketetapan yang berkuat kuasa turun-temurun. Hendaklah segalanya dibakar untuk TUHAN;

23dan setiap persembahan bahan makanan daripada imam hendaklah dibakar kesemuanya dan tidak boleh dimakan.”

Hukum tentang korban penghapus dosa

24TUHAN berfirman kepada Musa,

25“Beritahu Harun dan anak-anaknya, ‘Inilah hukum tentang korban penghapus dosa. Hendaklah korban penghapus dosa disembelih di hadapan TUHAN di tempat korban bakaran. Itulah persembahan yang teramat suci.

26Hendaklah imam yang mempersembahkan korban penghapus dosa itu memakannya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan.

27Apa-apa sahaja yang menyentuh daging korban itu akan menjadi suci, dan kalau sebahagian daripada darahnya terpercik pada pakaian, maka hendaklah kamu membasuh pakaian tersebut di tempat yang suci.

28Hendaklah dipecahkan belanga tanah tempat daging itu direbus. Jika daging itu direbus di dalam belanga gangsa, maka hendaklah belanga itu digosok dan dibilas dengan air.

29Semua lelaki daripada kalangan imam berhak memakan korban penghapus dosa, dan itulah persembahan yang teramat suci.

30Akan tetapi, setiap korban penghapus dosa yang sebahagian daripada darahnya dibawa masuk ke dalam Khemah Pertemuan demi mengadakan pendamaian di dalam Tempat Suci, tidak boleh dimakan. Hendaklah kesemua korban itu dibakar hingga habis.



 <<  Imamat 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel