Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 19 >> 

Pemusnahan Sodom dan Gomora

1Maka malaikat berdua itu sampai di Sodom pada petang hari. Lut yang pada waktu itu sedang duduk di pintu gerbang Sodom terlihat mereka. Dia pun bangkit serta mendapati mereka lalu sujud.

2Katanya, “Tuan-tuan, kumohon semoga tuan-tuan bersinggahlah di rumah hambamu ini, dan bermalamlah. Basuhlah kaki tuan-tuan, esok pagi tuan-tuan dapat melanjutkan perjalanan.” Jawab mereka, “Tak perlu susah-susah, kerana kami akan bermalam di kawasan lapang sahaja.”

3Namun demikian, Lut beria-ia mendesak mereka sehingga mereka singgah juga dan masuk ke rumahnya. Dia menjamu mereka. Dibuatnya roti yang tidak beragi, lalu mereka pun makan.

4Akan tetapi, sebelum mereka tidur orang lelaki dari seluruh penjuru Kota Sodom, daripada yang muda sampai yang tua, datang mengepung rumah itu.

5Mereka memanggil Lut dan berkata kepadanya, “Di manakah dua orang lelaki yang bertamu denganmu malam ini? Bawalah mereka keluar kepada kami, supaya kami dapat meniduri mereka.”

6Lalu keluarlah Lut mendapatkan mereka di depan pintu, tetapi ditutupnya pintu itu di belakangnya.

7Katanya, “Hai saudara-saudaraku, aku minta sangat-sangat, janganlah berbuat kekejaman itu.

8Dengarlah, aku mempunyai dua orang anak perempuan yang belum pernah ditiduri lelaki. Biarlah kubawa mereka keluar kepadamu. Layanilah mereka menurut apa yang kamu pandang baik. Hanya, jangan lakukan apa-apa terhadap mereka itu yang datang bernaung di bawah atap rumahku.”

9Kata mereka, “Nyahlah kamu jauh-jauh!” Kata mereka pula, “Lelaki ini datang menetap di sini sebagai pendatang, tetapi kini dia mahu menjadi hakim! Sekarang, kamu akan kami perlakukan lebih keras daripada kami perlakukan mereka.” Lalu dengan kasar mereka menolak kuat Lut, sehingga cukup dekat untuk memecahkan pintu.

10Tetapi malaikat berdua itu menghulurkan tangan serta menarik Lut masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu.

11Kemudian mereka membutakan mata kalangan lelaki yang ada di depan pintu rumah itu, daripada yang kecil sampai yang besar, sehingga mereka kepayahan mencari-cari pintu.

12Berkatalah kedua-duanya kepada Lut, “Siapakah lagi keluargamu di sini? Bawalah keluar dari tempat ini menantu, anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, atau siapa sahaja keluargamu di kota ini,

13kerana kami akan memusnahkan tempat ini. Sesungguhnya, begitu hebat jeritan terhadap kota ini di hadapan TUHAN sehingga TUHAN mengutus kami untuk memusnahkannya.”

14Maka keluarlah Lut lalu berbicara dengan kedua-dua bakal menantunya yang akan memperisteri anak-anak gadisnya. Katanya, “Bersiaplah, keluarlah dari tempat ini, kerana TUHAN akan memusnahkan kota ini!” Tetapi kedua-dua bakal menantu Lut itu menganggap Lut cuma sedang memperolok-olokkan mereka.

15Ketika fajar menyingsing, kedua-dua malaikat itu mendesak Lut, kata mereka, “Cepat! Bawalah isterimu dan kedua-dua anak perempuanmu yang ada di sini, supaya kamu tidak ikut dilenyapkan kerana kedurjanaan kota ini.”

16Tetapi Lut masih berlengah-lengah, maka kedua-dua malaikat pun memegang tangannya, tangan isterinya, dan tangan kedua-dua anak perempuannya, kerana TUHAN berbelas kasihan kepada mereka. Mereka dibawa ke luar dan dilepaskan di luar kota.

17Setelah mereka membawa keluarga itu keluar, berkatalah seorang daripada malaikat itu, “Larilah, selamatkanlah nyawamu! Jangan menoleh ke belakang dan jangan berhenti di mana-mana pun di lembah ini. Larilah ke pergunungan, supaya kamu tidak dilenyapkan.”

18Tetapi kata Lut kepada mereka, “Janganlah begitu, ya tuan.

19Memang tuan telah mengasihani hambamu ini, dan tuan sudah menunjukkan kebaikan yang besar kepada hamba dengan menyelamatkan nyawa hamba. Tetapi hamba tidak sanggup lari ke pergunungan itu, jangan-jangan hamba dipintasi malapetaka itu lalu mati.

20Lihat, kota di sana itu cukup dekat untuk dituju, apatah lagi kota itu kecil. Izinkan hamba lari ke sana supaya nyawa hamba terselamat. Bukankah kota itu kecil?”

21Katanya kepada Lut, “Baiklah, dalam hal ini pun permintaanmu kuterima. Aku tidak akan menelungkupkan kota yang kausebutkan itu.

22Larilah segera ke sana, kerana aku tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kamu sampai di sana.” Itulah sebabnya kota itu dinamai Zoar.

Allah memusnahkan Sodom

23Matahari baru sahaja terbit di atas bumi ketika Lut sampai di Zoar.

24Lalu TUHAN menghujani Sodom dan Gomora dengan belerang dan api. Dari langitlah TUHAN turunkan belerang dan api itu.

25Dia menelungkupkan kota-kota itu bahkan seluruh lembah, seluruh penduduk, serta tumbuh-tumbuhan di tanah.

26Tetapi isteri Lut menoleh ke belakang lalu menjadi sebatang tiang garam.

27Abraham bangun pagi-pagi lalu pergi ke tempat dia berdiri di hadapan TUHAN.

28Dilayangkannya pandang ke arah Sodom dan Gomora serta seluruh lembah itu. Tampak asap membumbung dari tanah itu, seperti asap dari sebuah relau.

29Pada waktu Allah memusnahkan kota-kota di lembah itu, Dia mengingat perjanjian-Nya dengan Abraham. Oleh sebab itu Dia menyuruh Lut keluar dari tengah-tengah kehancuran itu sewaktu Dia menelungkupkan kota-kota raya tempat Lut tinggal.

Asal usul bangsa Moab dan Amon

30Kemudian, dari Zoar, Lut bersama-sama dua orang anak perempuannya pergi lalu tinggal di pergunungan kerana dia berasa takut untuk tinggal di Zoar. Maka menetaplah Lut di dalam sebuah gua bersama-sama dua orang anak perempuannya itu.

31Pada suatu waktu, anak perempuannya yang lebih tua berkata kepada adiknya, “Ayah kita sudah tua, dan tidak ada lelaki di negeri ini yang akan mengahwini kita, seperti kebiasaan di seluruh bumi.

32Marilah kita beri ayah kita minum air anggur lalu kita tidur dengannya, supaya kita dapat melanjutkan keturunan ayah kita.”

33Maka mereka membuat ayah mereka minum air anggur yang memabukkan pada malam itu. Lalu masuklah anak yang sulung dan tidur dengan ayahnya. Tetapi ayahnya tidak sedar, baik ketika anaknya itu berbaring mahupun ketika anaknya itu bangkit.

34Keesokan harinya, berkatalah si kakak kepada adiknya, “Dengarlah, semalam aku meniduri ayah. Mari kita memabukkan dia dengan air anggur lagi malam ini dan masuklah kamu dan tidur dengannya supaya kita dapat melanjutkan keturunan ayah kita.”

35Maka mereka membuat ayah mereka minum air anggur lagi pada malam itu, lalu bangunlah anak yang lebih muda dan tidur dengan ayahnya. Tetapi ayahnya tidak sedar, baik ketika anaknya itu berbaring mahupun ketika anaknya itu bangkit.

36Maka kedua-dua anak perempuan Lut itu pun mengandung hasil perbuatan ayah mereka.

37Anak yang sulung melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Moab. Dialah bapa leluhur orang Moab yang ada sekarang ini.

38Anak yang bongsu pun melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Ben-Ami. Dia bapa leluhur bani Amon yang ada sekarang ini.



 <<  Kejadian 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel