Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 45 >> 

Yusuf berdamai dengan saudaranya

1Ketika Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi di hadapan semua orang yang berdiri dekatnya, dia pun berseru, “Arah semua orang keluar meninggalkan aku!” Maka tiada seorang pun ada bersama-samanya ketika dia memperkenalkan dirinya yang sebenarnya kepada para saudaranya.

2Lalu dia menangis dengan suara yang kuat, sehingga terdengar oleh orang Mesir serta seisi istana Firaun.

3Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?” Tetapi para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya.

4Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Datanglah lebih dekat kepadaku.” Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, “Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir.

5Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara.

6Selama dua tahun ini bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada lima tahun lagi tempoh orang tidak akan membajak atau menuai.

7Maka Allah mengirimku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar.

8Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan yang dipertuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir.

9Segeralah kembali kepada ayah dan katakan kepadanya, ‘Beginilah kata anakmu Yusuf, “Allah telah mengangkat aku untuk menjadi tuan atas seluruh Mesir. Datanglah kepadaku, jangan berlengah lagi!

10Ayah akan tinggal di Tanah Gosyen, dekat dengan aku – ayah, anak-anak dan cucu-cucu ayah, segala kawanan ternakan ayah, serta segala harta benda ayah.

11Aku akan mengadakan segala keperluan ayah di sana, kerana tempoh berlakunya kebuluran ini masih ada lima tahun lagi. Jangan sampai kemiskinan dan ketandusan menimpa ayah dan seluruh keluarga ayah serta segala harta benda ayah.” ’

12“Sesungguhnya, matamu sendiri dan mata Benyamin, adikku, melihat sendiri bahawa mulut akulah yang mengatakan hal ini kepadamu.

13Oleh sebab itu beritahulah ayah tentang segala kemuliaanku di Mesir dan segala sesuatu yang telah kamu lihat, dan bersegeralah membawa ayah ke mari.”

14Kemudian Yusuf memeluk leher Benyamin, adiknya, dan menangis. Benyamin pun menangis di bahu dan lehernya.

15Yusuf mencium kesemua saudaranya dan menangis dalam pelukan mereka. Setelah itu, barulah para saudaranya bercakap dengannya.

16Ketika hal kedatangan para saudara Yusuf dikhabarkan di istana Firaun, perkara itu disambut dengan baik oleh Firaun dan para pegawainya.

17Kata Firaun kepada Yusuf, “Katakanlah kepada para saudaramu, ‘Lakukanlah hal ini: Siapkan muatan haiwan pengangkut bebanmu dan berangkatlah pulang ke Tanah Kanaan.

18Jemputlah ayahmu serta keluargamu dan datanglah kepadaku. Aku akan memberikan kepadamu tanah yang terbaik di Tanah Mesir, dan kamu akan menikmati kesuburan negeri ini.’

19Kamu juga kuperintahkan untuk mengatakan demikian kepada mereka, ‘Lakukanlah hal ini: Bawalah beberapa buah gerabak dari Tanah Mesir untuk para anakmu dan para isterimu. Jemputlah ayahmu dan datanglah ke mari.

20Jangan berasa sayang meninggalkan barang-barangmu, kerana apa yang terbaik di seluruh Tanah Mesir pun akan menjadi milikmu.’ ”

21Maka para anak Israel pun berbuat demikian. Yusuf memberikan kepada mereka beberapa buah gerabak sebagaimana yang diperintahkan oleh Firaun, serta bekal untuk kegunaan dalam perjalanan.

22Selain itu, dia memberikan sepasang persalinan untuk masing-masing, tetapi Benyamin diberinya tiga ratus keping wang perak dan lima pasang persalinan.

23Untuk ayahnya pula dikirimnya sepuluh ekor keldai jantan yang memuat barang-barang terbaik dari Mesir serta sepuluh ekor keldai betina yang memuat gandum, roti, dan makanan untuk ayahnya selama dalam perjalanannya kelak.

24Kemudian Yusuf melepaskan pemergian para saudaranya. Ketika mereka berangkat, berpesanlah dia kepada mereka, “Semoga jangan ada perkelahian sesama sendiri sewaktu dalam perjalanan!”

25Maka pergilah mereka dari Mesir lalu sampai di Tanah Kanaan, tempat Yakub, ayah mereka.

26Mereka memberitahunya, “Yusuf masih hidup! Bahkan dialah yang menjadi pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir!” Hati Yakub tetap dingin kerana dia tidak mempercayai mereka.

27Namun demikian, ketika mereka menyampaikan kepadanya semua yang diucapkan Yusuf kepada mereka, dan setelah dilihatnya gerabak yang dikirim oleh Yusuf untuk menjemputnya, barulah bangkit semula semangat Yakub, ayah mereka itu.

28Maka berkatalah Israel, “Cukuplah sudah! Anakku Yusuf masih hidup! Aku hendak pergi melihat dia sebelum aku mati.”



 <<  Kejadian 45 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel