Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 47 >> 

Keluarga Yakub menetap di Gosyen

1Kemudian Yusuf pergi memberitahu Firaun, katanya, “Ayah hamba dan para saudara hamba berserta kawanan domba, kawanan lembu, dan segala harta benda mereka sudah tiba dari Tanah Kanaan. Mereka kini berada di Tanah Gosyen.”

2Yusuf membawa lima orang daripada para saudaranya untuk menghadap Firaun.

3Bertanyalah Firaun kepada para saudara Yusuf itu, “Apakah pekerjaanmu?” Jawab mereka kepada Firaun, “Hamba-hambamu ini gembala ternakan, seperti nenek moyang kami.”

4Kata mereka pula kepada Firaun, “Kami datang untuk tinggal di negeri ini sebagai pendatang, kerana bencana kebuluran di Tanah Kanaan itu begitu hebat sehingga tidak ada lagi padang rumput bagi kawanan domba hamba-hambamu ini. Sekarang, izinkanlah hamba-hambamu ini tinggal di Tanah Gosyen.”

5Lalu kata Firaun kepada Yusuf, “Ayahmu dan para saudaramu sudah datang.

6Tanah Mesir ini terbuka untukmu. Sediakanlah bagi ayahmu dan para saudaramu tempat menetap di daerah yang terbaik di negeri ini. Biarlah mereka tinggal di Tanah Gosyen. Selain itu, jika kamu tahu ada antara mereka yang berkebolehan, angkatlah mereka untuk menjadi pengawas ternakanku.”

7Kemudian Yusuf membawa Yakub, ayahnya, masuk menghadap Firaun, lalu Yakub mendoakan keberkatan bagi Firaun.

8Firaun bertanya kepada Yakub, “Berapakah umur kamu?”

9Jawab Yakub kepada Firaun, “Umur hamba sebagai pendatang di dunia ini sudah seratus tiga puluh tahun. Tempoh usia hamba singkat dan susah, tidak seperti tempoh kehidupan nenek moyang hamba ketika mereka menjadi pendatang di dunia ini.”

10Setelah itu, Yakub mendoakan keberkatan bagi Firaun lalu beredar dari situ di hadapan Firaun.

11Yusuf menyediakan tempat menetap bagi ayahnya dan para saudaranya. Dia memberikan kepada mereka tanah di daerah yang terbaik di Mesir, iaitu di Tanah Rameses, menurut perintah Firaun.

12Yusuf juga menyediakan keperluan makan secukupnya bagi ayahnya, para saudaranya, dan seisi rumah ayahnya, menurut bilangan anak-pinak masing-masing.

Yusuf menangani bencana kebuluran

13Sampailah masanya tidak ada lagi makanan di seluruh negeri itu kerana begitu hebatnya bencana kebuluran yang melanda. Tanah Mesir dan Tanah Kanaan menderita bahana bencana kebuluran itu.

14Yusuf mengumpulkan kesemua wang yang ada di Tanah Mesir serta Tanah Kanaan, iaitu wang yang dibayar orang untuk membeli gandum, lalu dibawanya wang itu ke istana Firaun.

15Setelah habis wang di Tanah Mesir serta Tanah Kanaan, datanglah semua warga Mesir kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan. Haruskah kami mati di hadapan tuan? Wang kami sudah habis!”

16Jawab Yusuf, “Jika wangmu habis, serahkanlah ternakanmu, maka aku akan memberikan kepadamu makanan sebagai ganti ternakanmu.”

17Lalu mereka membawa ternakan mereka kepada Yusuf, dan Yusuf memberikan kepada mereka makanan sebagai ganti kuda, domba, lembu, serta keldai mereka. Pada tahun itu Yusuf menampung keperluan makanan mereka dengan bayaran berupa kesemua haiwan ternakan mereka.

18Apabila tahun itu berakhir, mereka datang lagi kepada Yusuf pada tahun seterusnya lalu berkata, “Tidak dapat kami sembunyikan daripada tuanku bahawa wang kami sudah habis dan bahawa haiwan ternakan kami sudah menjadi milik tuanku. Tiada baki apa-apa lagi di hadapan tuanku selain badan kami dan tanah kami.

19Haruskah kami dan juga tanah kami mati di hadapan mata tuan? Belilah diri kami juga tanah kami sebagai ganti makanan. Biarlah kami dan tanah kami menjadi hamba Firaun. Berikanlah benih supaya kami hidup dan tidak mati, dan supaya tanah tidak menjadi tandus.”

20Oleh sebab warga Mesir menjual ladang akibat hebat sekali bencana kebuluran yang menimpa mereka, Yusuf membeli kesemua tanah di Mesir untuk Firaun lantas negeri itu menjadi milik Firaun.

21Setelah itu, Yusuf memindahkan rakyat ke kota-kota di Mesir, dari satu hujung negeri hingga ke hujung yang lain.

22Namun begitu, dia tidak membeli tanah para imam kerana para imam mempunyai peruntukan yang tetap daripada Firaun, dan mereka makan daripada peruntukan tetap yang diberikan oleh Firaun kepada mereka itu. Sebab itulah mereka tidak menjual tanah mereka.

23Berkatalah Yusuf kepada rakyat, “Pada hari ini aku telah membeli dirimu dan tanahmu untuk Firaun. Inilah benih untuk kamu mengusahakan tanah itu.

24Pada waktu menuai kelak, hendaklah kamu menyerahkan seperlima bahagian kepada Firaun, dan baki empat bahagiannya menjadi milikmu. Gunakannya untuk benih ladangmu, untuk makanan kamu dan seisi rumahmu, serta para anakmu.”

25Jawab mereka, “Tuan sudah menyelamatkan hidup kami! Asal tuan berkenan, kami mahu menjadi hamba Firaun.”

26Maka Yusuf membuat ketetapan perihal tanah di Mesir yang masih berkuat kuasa sehingga kini, iaitu bahawa seperlima bahagian daripada hasil tanah menjadi milik Firaun. Hanya tanah para imamlah yang tidak menjadi milik Firaun.

27Maka tinggallah Israel di Tanah Mesir, iaitu di Tanah Gosyen tempat mereka memiliki tanah. Mereka beranak cucu dan bilangan mereka menjadi sangat banyak.

28Yakub tinggal selama tujuh belas tahun di Tanah Mesir dan dengan itu jumlah usianya mencapai seratus empat puluh tujuh tahun.

29Ketika hari kematian Israel hampir tiba, dia memanggil anaknya, Yusuf, dan berkata kepadanya, “Jika kamu berkenan, letakkanlah tanganmu di bawah pahaku dan berjanjilah bahawa kamu akan menunjukkan kasih dan kesetiaan kepadaku. Kumohon jangan makamkan aku di Mesir.

30Setelah aku beristirahat bersama-sama nenek moyangku, bawalah jenazahku dari Mesir lalu makamkanlah di dalam makam mereka.” Jawab Yusuf, “Akan kulaksanakan pesan ayah itu.”

31Kata Yakub, “Bersumpahlah kepadaku.” Lalu Yusuf pun bersumpah kepadanya. Setelah itu, Israel bersujud di bahagian kepala tempat tidurnya.



 <<  Kejadian 47 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel