Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 38 >> 

Pembuatan mazbah korban bakaran

1Bezaleel membuat mazbah korban bakaran berbentuk empat persegi, panjangnya lima hasta, lebarnya lima hasta, dan tingginya tiga hasta, daripada kayu akasia.

2Pada keempat-empat penjurunya dibuatnya tanduk-tanduk secara bersepadu dengan tempat persembahan itu, lalu disalutnya dengan gangsa.

3Dia juga membuat segala kelengkapan mazbah itu, iaitu segala periuknya, penyodoknya, mangkuknya, cangkuk daging, dan pendupaannya, kesemuanya daripada gangsa.

4Kemudian dipasangnya rangkaian kekisi gangsa, pada mazbah itu di bawah birainya, mulai bahagian bawah hingga rangkaian kekisi itu mencapai setengah ketinggian mazbah.

5Dia membuat empat urat gegelang leburan untuk dipasang pada keempat-empat penjuru kekisi gangsa itu sebagai tempat memasukkan kayu pengusung.

6Lalu dibuatnya pengusung daripada kayu akasia dan disalutnya dengan gangsa.

7Selanjutnya dia memasukkan kayu-kayu pengusung itu ke dalam gegelang-gegelang yang ada pada sisi mazbah itu, supaya dengan kayu itu mazbah dapat diusung. Mazbah itu dibuatnya berongga dan daripada papan.

Pembuatan bejana untuk pembasuhan

8Bezaleel pun membuat bejana pembasuhan besar daripada gangsa, dengan kekakinya juga daripada gangsa yang diambil daripada cermin-cermin para pelayan perempuan yang menjalankan tugas pelayanan di pintu Khemah Pertemuan.

Pembuatan laman dalam

9Selanjutnya Bezaleel membuat laman dalam yang bahagian sebelah selatannya dipagari dengan kain linen halus yang dipintal sepanjang seratus hasta.

10Sangganya ialah dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak.

11Begitu jugalah halnya dengan bahagian sebelah utara yang dipagari kain linen sepanjang seratus hasta yang disangga oleh dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak.

12Di sebelah barat digantungkan hamparan kain linen sepanjang lima puluh hasta, disangga oleh sepuluh batang tiang lengkap dengan sepuluh buah lesung pasaknya, cangkuk-cangkuk tiang serta segala pita penghubungnya yang kesemuanya dibuat daripada perak.

13Lebar bahagian sebelah timur juga lima puluh hasta,

14dengan hamparan gantung kain linen selebar lima belas hasta di satu sisi pintu masuk, disangga oleh tiga batang tiang dengan tiga buah lesung pasaknya.

15Begitu jugalah di sisi satu lagi. Jadi, sebelah kiri dan kanan pintu masuk laman dalam itu tertutup oleh kain sepanjang lima belas hasta yang disangga oleh tiga batang tiang lengkap dengan tiga buah lesung pasaknya.

16Maka sekeliling laman dalam itu dipagari oleh kain linen halus yang dipintal.

17Semua lesung pasak bagi tiang-tiangnya dibuat daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya daripada perak. Kepala setiap tiang disaluti perak, dan semua tiang laman dalam itu dihubungkan dengan perak.

18Tabir bagi pintu masuk laman dalam ialah hasil kerja sulaman pada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, berhiaskan sulaman. Panjangnya ialah dua puluh hasta, dan tingginya serta lebarnya ialah lima hasta, sama lebarnya dengan kain yang memagari laman dalam itu.

19Tabir pintu masuk itu disangga oleh empat batang tiang, lengkap dengan empat buah lesung pasaknya daripada gangsa. Cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak, dengan kepala tiangnya juga bersalut perak.

20Semua pasak bagi Khemah Suci serta pasak untuk sekeliling laman dalam itu dibuat daripada gangsa.

Bahan-bahan bagi pembinaan Khemah Suci

21Inilah daftar segala bahan yang digunakan untuk Khemah Suci, iaitu Khemah Suci tempat loh hukum, yang tersenarai dan tersusun oleh bani Lewi di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun, atas perintah Musa.

22Bezaleel anak Uri anak Hur, daripada suku Yehuda, mengerjakan semua seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

23Dia dibantu oleh Aholiab anak Ahisamakh daripada bani Dan, seorang tukang dalam bidang mengukir, merancang, juga menyulam kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus.

24Jumlah kesemua emas yang digunakan dalam semua pekerjaan mendirikan tempat suci itu ialah dua puluh sembilan talenta dan tujuh ratus tiga puluh syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci.

25Manakala perak daripada persembahan semua orang yang terdaftar dalam kalangan umat berjumlah 100 talenta dan 1,775 syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci.

26Setiap orang memberikan persembahan sebanyak satu beka, iaitu setengah syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci. Jumlah mereka yang terdaftar, iaitu mereka yang berumur dua puluh tahun ke atas, ialah 603,550 orang.

27Seratus talenta perak digunakan sebagai perak leburan bagi lesung pasak tempat suci dan lesung pasak tiang tabir itu, yang seluruhnya berjumlah seratus. Jadi, satu talenta untuk satu lesung pasak.

28Baki sebanyak 1,775 syikal perak itu digunakan pula untuk membuat cangkuk pada tiang-tiang, untuk menyalut kepala-kepala tiang, dan membuat pita penghubungnya.

29Gangsa persembahan unjukan berjumlah 70 talenta dan 2,400 syikal.

30Daripada kesemua itu dibuat lesung pasak pintu Khemah Pertemuan, mazbah daripada gangsa lengkap dengan kekisi dan segala kelengkapan mazbah,

31dan lesung pasak di sekeliling laman dalam, lesung pasak pintu masuk laman dalam, semua pasak Khemah Suci, dan semua pasak di sekeliling laman dalam.



 <<  Keluaran 38 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel