Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 10 >> 

Petrus dan Kornelius

1Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali.

2Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah.

3Pada suatu hari kira-kira jam kesembilan, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, “Hai Kornelius!”

4Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, “Ya Tuan, ada apa Tuan?” Malaikat itu berkata, “Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.

5Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.

6Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.”

7Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah daripada kalangan orang yang bertugas melayaninya.

8Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.

Penglihatan Petrus

9Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira jam keenam.

10Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.

11Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.

12Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung di langit.

13Dia terdengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”

14Petrus berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”

15Suara itu berkata pula kepadanya, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.”

16Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.

17Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruh oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon. Mereka berdiri di muka pintu.

18Lalu mereka berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.

19Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Kudus berkata kepadanya, “Ada tiga orang mencarimu.

20Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.”

21Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, “Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?”

22Mereka berkata, “Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.”

23Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.

Petrus di rumah Kornelius

24Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.

25Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;

26tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, “Bangkitlah; aku ini pun seorang manusia juga.”

27Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ.

28Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapa pun sebagai haram atau najis.

29Oleh itu, apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?”

30Kornelius berkata, “Empat hari lalu, kira-kira jam kesembilan, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar.

31Dia berkata, ‘Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.

32Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’

33Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadirat Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.”

34Petrus pun berkata, “Sesungguhnya, aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih.

35Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya.

36Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel ialah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Yesus Kristus, Tuhan semua manusia.

37Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh Yudea mulai dari Galilea, selepas baptisan yang dikhabarkan oleh Yohanes.

38Perkhabaran itu tentang Yesus orang Nazaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai Kristus dan memberi-Nya Roh Kudus serta kuasa. Dia telah pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus.

39Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib;

40tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia;

41bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati.

42Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati.

43Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.”

44Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Kudus turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu.

45Orang yang percaya kepada Yesus daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Kudus kepada bangsa-bangsa asing juga.

46Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata,

47“Lihatlah, mereka telah menerima Roh Kudus seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka dibaptiskan dengan air?”

48Petrus pun menyuruh mereka dibaptiskan dengan nama Yesus Kristus. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.



 <<  Kisah Para Rasul 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel