Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 12 >> 

Amaran tentang kemunafikan

1Oleh sebab tidak terkira ramainya orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Yesus pun berkata, terutamanya kepada murid-murid-Nya, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, iaitu sifat munafik.

2Tiada sesuatu pun yang tersembunyi tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan.

3Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan dari atas bumbung.”

Takut akan Allah

4“Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, jangan takut akan mereka yang dapat membunuh jasad dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.

5Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!

6Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tidak seekor pun dilupakan Allah.

7Malahan setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.”

8“Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah.

9Sesiapa yang menyangkal Aku di hadapan manusia akan disangkal di hadapan malaikat-malaikat Allah.

10Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni.

11Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan pemerintah atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan,

12kerana pada waktu itu Roh Kudus akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.”

Ibarat tentang orang kaya yang bodoh

13Seorang daripada orang ramai itu berkata, “Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.”

14Yesus menjawab, “Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?”

15Yesus terus menambah, “Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.”

16Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: “Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak.

17Dia berfikir dalam hatinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.’

18Dia berkata, ‘Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala gandum dan harta bendaku.

19Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.’

20Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Engkau bodoh! Pada malam ini juga, jiwamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?’ ”

21“Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.”

Kepercayaan kepada Allah

22Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai.

23Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian.

24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu!

25Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?

26Jika kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?

27Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu.

28Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu!

29Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing.

30Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu.

31Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.”

32“Janganlah takut, hai kawanan kecil, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.

33Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.

34Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.”

Hamba yang berjaga-jaga

35“Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.

36Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta.

37Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan menyuruh mereka duduk bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayan mereka.

38Diberkatilah hamba-hamba itu jika tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia.

39Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.

40Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Anak Manusia akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.”

Hamba yang setia dan hamba yang derhaka

41Petrus bertanya, “Tuhan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?”

42Tuhan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.

43Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali.

44Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu.

45Tetapi jika hamba itu berfikir dalam hatinya, ‘Tuan akan pulang lambat,’ lalu dia mula memukul hamba-hamba lelaki dan perempuan dan makan minum sehingga mabuk.

46Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya dan pada waktu yang tidak diketahuinya. Dia akan membunuh hamba itu dan menempatkannya bersama orang yang tidak setia.

47Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.

48Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.”

Yesus menyebabkan perpecahan

49“Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala!

50Aku harus mengalami suatu baptisan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai.

51Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa damai di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan perdamaian melainkan perpecahan!

52Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga.

53Bapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.”

Memahami tanda zaman ini

54Yesus berkata kepada orang ramai itu, “Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, ‘Hari mahu hujan,’ dan begitulah berlakunya.

55Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas terik,’ dan begitulah berlakunya.

56Hai munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat tanda di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami tanda-tanda zaman ini?”

Berdamailah dengan musuh

57“Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?

58Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk berdamai dengan dia sewaktu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu kepada hakim dan hakim menyerahkanmu kepada pegawai yang akan memasukkanmu ke dalam penjara.

59Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.”



 <<  Lukas 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel