Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 5 >> 

Yesus memanggil murid-Nya yang pertama

1Pada suatu hari semasa Yesus berdiri di tepi pantai Tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah.

2Dia melihat dua buah perahu di situ. Para nelayan yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka.

3Yesus naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Yesus duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.

4Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.”

5Simon menjawab, “Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Tetapi, kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala.”

6Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak.

7Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.

8Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus dan berkata, “Tinggalkan hamba, ya Tuhan, kerana hamba seorang yang berdosa!”

9Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka.

10Begitu juga Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon. Yesus berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!”

11Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Yesus.

Yesus menyembuhkan seorang yang berpenyakit kusta

12Pada suatu hari Yesus berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Yesus, dia meniarap lalu merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.”

13Lalu Yesus pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga, penyakit kustanya hilang.

14Yesus menyuruhnya, “Jangan beritahu sesiapa pun hal ini tetapi pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”

15Akan tetapi, berita tentang Yesus tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar-Nya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka.

16Tetapi Yesus beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa.

Yesus menyembuhkan seorang yang lumpuh

17Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Yerusalem. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang.

18Beberapa orang mengusung seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Yesus.

19Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Yesus.

20Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.”

21Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, “Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”

22Tetapi Yesus mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu?

23Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan’?

24Tetapi, supaya kamu tahu bahawa Anak Manusia berkuasa di bumi ini mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu dan pulanglah!”

25Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.

26Semua orang tercengang dan memuji Allah. Mereka berasa takjub sambil berkata, “Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!”

Yesus memanggil Lewi

27Kemudian Yesus keluar dan terpandang seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!”

28Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut-Nya.

29Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Yesus di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut makan bersama mereka.

30Orang Farisi dan ahli Taurat mereka bersungut-sungut kepada para murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan orang berdosa?”

31Yesus menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.

32Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.”

Pertanyaan tentang puasa

33Mereka berkata kepada Yesus, “Murid-murid Yohanes kerap kali berpuasa dan berdoa. Demikian juga murid orang Farisi. Tetapi murid-murid-Mu ini terus makan dan minum sahaja.”

34Yesus menjawab, “Dapatkah kamu membuat tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka?

35Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.”

36Yesus memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: “Tiada sesiapa pun yang mengoyak perca kain baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika dia berbuat demikian, maka dia akan mengoyakkan pakaian baru itu, dan perca kain baru itu tidak akan sepadan dengan yang lama.

37Tiada siapa menuangkan air anggur baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru itu akan memecahkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat itu pun rosak.

38Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru.

39Dan tiada siapa pun yang telah minum air anggur yang lama gemar minum air anggur yang baru kerana katanya, ‘Yang lama itu lebih baik.’ ”



 <<  Lukas 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel