Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 6 >> 

Pertanyaan tentang hari Sabat

1Pada hari Sabat Yesus berjalan melalui ladang gandum dan murid-murid-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.

2Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?”

3Yesus menjawab, “Tidakkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan mereka yang mengikutinya berasa lapar:

4bagaimana dia masuk ke dalam Rumah Allah lalu makan roti persembahan serta memberikan roti itu kepada mereka yang mengikutinya, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu?”

5Seterusnya Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.”

Orang yang tangannya lumpuh sebelah

6Pada suatu hari Sabat yang lain, Yesus masuk ke saumaah lalu mengajar di situ. Di situ ada seorang yang lumpuh tangan kanannya.

7Ahli-ahli Taurat dan orang Farisi cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.

8Yesus mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, “Bangunlah dan berdiri di sini.” Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.

9Yesus berkata kepada mereka, “Aku bertanya kepadamu, manakah yang wajar dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan atau membinasakan nyawa?”

10Yesus memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu langsung melakukannya dan tangannya terus sembuh.

11Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dilakukan terhadap Yesus.

Yesus memilih dua belas rasul

12Pada masa itu Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.

13Setelah hari siang, Yesus memanggil murid-murid-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:

14Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas saudaranya, Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus,

15Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,

16Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pengkhianat.

Yesus melayani keperluan orang ramai

17Yesus turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata. Di situ terdapat sebilangan besar daripada murid-Nya dan ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Yerusalem dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon

18yang datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh jahat turut datang dan mereka juga disembuhkan.

19Semua orang cuba menyentuh Yesus kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.

Kebahagiaan dan penderitaan

20Yesus memandang murid-murid-Nya lalu berkata: “Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.

21Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dipuaskan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria.

22Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Anak Manusia.

23“Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melompatlah kegembiraan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Begitu jugalah diperlakukan nenek moyang mereka terhadap para nabi.

24Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.

25Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.

26Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.”

Kasih kepada musuh

27“Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu;

28berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.

29Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga.

30Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu.

31Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka.

32Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.

33Dan jika kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat demikian.

34Jika kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.

35Tetapi kamu hendaklah mengasihi musuhmu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang zalim.

36Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.”

Menghakimi orang

37“Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.

38Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah ruah akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu.”

39Kemudian Yesus memberitahu suatu ibarat lagi. “Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam parit?

40Tiada murid yang melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.

41Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari?

42Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu’ sedangkan kamu tidak nampak sebatang kayu balak terpampang di matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu.”

Pokok dan buahnya

43“Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.

44Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.

45Orang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya.”

Dua orang pembina rumah

46“Mengapakah kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?

47Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta menurut kata-kata-Ku.

48Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.

49Akan tetapi, orang yang mendengar dan tidak menurut kata-kata-Ku umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan runtuh dan kerosakannya besar sekali.”



 <<  Lukas 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel