Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 25 >> 

Ibarat tentang sepuluh anak dara

1“Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.

2Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.

3Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.

4Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak.

5Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.

6Pada waktu tengah malam terdengar seruan, ‘Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!’

7Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.

8Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.’

9Tetapi yang bijak menjawab, ‘Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.’

10Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.

11Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!’

12Tetapi pengantin lelaki berkata, ‘Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.’ ”

13“Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya.”

Ibarat tentang wang emas

14“Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.

15Kepada yang seorang dia memberikan lima talenta, kepada seorang lagi dua, kepada yang seorang lagi satu, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu, dia pun bertolak.

16Hamba yang menerima lima talenta itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima talenta lagi.

17Demikian juga yang menerima dua talenta, dia mendapat laba dua talenta lagi.

18Tetapi yang menerima satu talenta menggali lubang di tanah dan menyembunyikan wang tuannya di situ.

19Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.

20Hamba yang menerima lima talenta dahulu membawakan lima talenta lagi sambil berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku lima talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima talenta lagi dengannya.’

21Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’

22Yang telah menerima dua talenta pula datang lalu berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku dua talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua talenta lagi dengannya.’

23Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’

24Kemudian hamba yang menerima satu talenta itu datang lalu berkata, ‘Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

25Jadi aku takut, lalu kusorokkan satu talenta tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.’

26Tetapi tuannya menjawab, ‘Hai hamba yang zalim dan malas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

27Oleh itu, sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam tabung, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.’

28‘Sekarang, ambillah talenta itu daripadanya dan berikannya kepada yang mempunyai sepuluh talenta itu.

29Demikianlah, kepada setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih lagi, sehingga dia penuh kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya pun akan diambil.

30Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ ”

Hukuman

31“Apabila Anak Manusia datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.

32Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.

33Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.

34Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.

35Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;

36Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.’

37Orang yang benar itu pun bertanya, ‘Tuhan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?

38Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?

39Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?’

40Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.’

41Selepas itu, Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, ‘Nyahlah dari sisi-Ku, kamu yang terlaknat, ke dalam api kekal yang telah disediakan untuk Iblis dan para malaikatnya;

42kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.

43Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.’

44Mereka akan berkata, ‘Tuhan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?’

45Dia akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.’

46Mereka itu akan menanggung hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.”



 <<  Matius 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel