Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 104 >> 

1Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Ya Allahku, Engkau Maha Besar; Engkau penuh kehormatan dan keagungan.

2Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian; Engkau merentangkan angkasa seperti tirai.

3Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan. Dia menjadikan awan pedati-Nya; Dia berjalan di atas sayap angin.

4Dia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh, para hamba-Nya nyala api.

5Engkau yang meletakkan asas bumi; supaya tidak berganjak selama-lamanya.

6Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian; perairan itu berdiri di atas gunung.

7Apabila Kaumurkai, ia lari, mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi;

8perairan itu telah naik ke atas pergunungan, ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya.

9Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya; supaya ia tidak kembali meliputi bumi.

10Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau.

11Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya.

12Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok.

13Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya.

14Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia – untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi:

15air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia.

16Pokok-pokok TUHAN segar dan subur, pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya.

17Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar.

18Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung.

19Dia menentukan bulan untuk menandakan musim, matahari tahu bila waktu untuknya terbenam.

20Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam, masa untuk binatang-binatang hutan merayau.

21Singa-singa muda mengaum mencari mangsa dan memohon makannya daripada Allah.

22Apabila matahari terbit; mereka berhimpun lalu baring di gua mereka.

23Manusia keluar ke tempat kerjanya, dan memerah tenaga hingga lewat petang.

24Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu.

25Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya – makhluk hidup yang kecil dan besar.

26Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana.

27Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan.

28Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik.

29Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu.

30Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi.

31Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya; semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya –

32Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap.

33Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup.

34Semoga renunganku baik di sisi-Nya, aku akan bersukacita kerana TUHAN.

35Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi dan orang zalim tiada lagi. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Pujilah TUHAN!



 <<  Mazmur 104 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel