Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 5 >> 

Damai dan sukacita

1Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus.

2Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah.

3Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan.

4Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan.

5Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.

6Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq.

7Jarang sekali seseorang mahu mati untuk orang yang benar, meski untuk orang yang baik mungkin ada yang sanggup mati.

8Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita.

9Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya.

10Kerana jika semasa kita seteru Allah, kita telah didamaikan dengan-Nya melalui kematian Anak-Nya, lebih-lebih lagilah, setelah didamaikan, kita akan diselamatkan melalui kehidupan-Nya!

11Bukan ini sahaja, tetapi kita juga bersukacita dalam Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya kita telah menerima pendamaian.

Mati kerana Adam, hidup kerana Kristus

12Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa.

13Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada.

14Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang.

15Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Yesus Kristus, melimpahi manusia yang banyak!

16Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran.

17Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian perbenaran yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Yesus Kristus.

18Oleh yang demikian, sebagaimana satu pelanggaran itu membawa hukuman bagi semua manusia, maka satu perbuatan benar membawa pembenaran yang memberikan kehidupan bagi semua manusia.

19Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi orang berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar.

20Hukum Taurat telah diadakan supaya pelanggaran bertambah. Tetapi dengan bertambahnya dosa, semakin bertambahlah kasih kurnia.

21Oleh itu, sebagaimana dosa telah bertakhta dalam kematian, maka kasih kurnia akan bertakhta melalui perbenaran untuk membawakan kehidupan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.



 <<  Roma 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel