Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ulangan 23 >> 

Orang yang tidak boleh masuk menjadi jemaah Allah

1Orang yang rosak buah pelirnya atau terpotong kemaluannya tidak boleh masuk dalam jemaah TUHAN.

2Seorang anak haram tidak boleh masuk dalam jemaah TUHAN, bahkan zuriatnya sampai keturunan kesepuluh pun tidak boleh masuk dalam jemaah TUHAN.

3Tiada bani Amon atau bani Moab yang boleh masuk dalam jemaah TUHAN, bahkan zuriat mereka sampai keturunan kesepuluh pun tidak boleh masuk dalam jemaah TUHAN untuk selama-lamanya,

4kerana mereka tidak menyambut kamu dengan roti dan air minum dalam perjalananmu setelah kamu keluar dari Mesir. Bahkan mereka mengupah Bileam anak Beor dari Petor di Aram-Mesopotamia untuk mengutuk kamu.

5Tetapi TUHAN, Allahmu, tidak mahu mendengar Bileam. TUHAN, Allahmu, mengubah kutukan itu menjadi berkat bagimu kerana TUHAN, Allahmu, mengasihi kamu.

6Seumur hidupmu, bahkan untuk selama-lamanya, jangan usahakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka.

7Jangan kamu pandang keji orang Edom kerana mereka ialah saudaramu, dan jangan kamu pandang keji orang Mesir kerana kamu pernah menjadi pendatang di negeri mereka.

8Anak-anak yang lahir bagi mereka daripada keturunan ketiga boleh masuk dalam jemaah TUHAN.

Kesucian dalam hal kebersihan diri

9Apabila kamu mara dengan pasukanmu untuk melawan musuh-musuhmu, jagalah dirimu daripada segala hal yang jahat.

10Jika seorang lelaki di antaramu menjadi najis disebabkan oleh sesuatu yang terjadi pada malam hari, maka hendaklah dia pergi ke luar perkhemahan dan tidak boleh dia masuk ke dalam perkhemahan itu.

11Menjelang senja hendaklah dia membasuh dirinya dengan air lalu dengan terbenamnya matahari, barulah dia boleh masuk kembali ke dalam perkhemahan.

12Hendaklah kamu mempunyai suatu tempat di luar perkhemahan yang dapat kamu pergi,

13dan hendaklah ada alat penggali antara segala peralatan kamu. Setelah kamu bercangkung membuang hajat, hendaklah kamu menggali lubang dengan alat itu lalu menutupi najis kamu pula.

14Sebabnya TUHAN, Allahmu, hadir menyertai kamu di tengah-tengah perkhemahanmu untuk menolongmu dan menyerahkan musuh-musuhmu kepadamu. Oleh itu, perkhemahanmu hendaklah suci supaya jangan Dia melihat hal yang tidak bersih di antaramu lalu berpaling daripada kamu.

Menolong hamba yang melarikan diri

15Janganlah kamu serahkan kepada tuannya seorang hamba yang lari kepadamu daripada tuannya.

16Biarkanlah dia tinggal bersama-samamu, di tengah-tengahmu, iaitu di tempat yang dipilih dan disukainya di salah sebuah kotamu. Jangan engkau menindas dia.

Menentang pelacuran di tempat suci

17Jangan ada seorang pun yang menjadi pelacur di tempat suci, baik antara anak perempuan Israel mahupun antara anak lelaki Israel.

18Jangan bawa masuk upah pelacur atau upah perbuatan pelacur lelaki ke dalam Bait TUHAN, Allahmu, untuk membayar nazar apa-apa pun, kerana kedua-duanya itu kekejian bagi TUHAN, Allahmu.

Larangan memungut bunga daripada saudara sebangsa

19Jangan kenakan faedah iaitu bunga ke atas pinjaman kepada saudaramu, baik berbentuk wang, makanan, mahupun segala sesuatu yang menjadi bunga.

20Kamu boleh mengenakan bunga ke atas pinjaman kepada orang asing, tetapi kamu tidak boleh mengenakan bunga kepada saudaramu. Dengan demikian TUHAN, Allahmu, akan memberkati kamu dalam segala usahamu di negeri yang akan kaumasuki untuk mendudukinya.

Hal tentang nazar

21Apabila kamu bernazar kepada TUHAN, Allahmu, janganlah menunda-nunda untuk menunaikannya kerana TUHAN, Allahmu, pasti menuntutnya daripada kamu, dan kamu berdosa jika tidak menunaikannya.

22Padahal kamu tidak berdosa jika kamu tidak bernazar.

23Apa yang kauucapkan sebagai janji harus kaulaksanakan, seperti juga nazar yang kauucapkan secara sukarela dengan mulutmu sendiri kepada TUHAN, Allahmu.

Menghormati harta benda orang lain

24Apabila kamu memasuki kebun anggur jiranmu, kamu boleh makan buah anggur sesuka hatimu sampai kenyang, tetapi jangan kamu masukkan satu pun ke dalam uncangmu.

25Apabila kamu memasuki ladang gandum jiranmu yang belum dituai, kamu boleh memetik bulir-bulirnya dengan tanganmu, tetapi janganlah potong gandum itu dengan sabit.



 <<  Ulangan 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel