Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 18 >> 

Kejatuhan Babel

1Selepas segala ini, aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga, dengan kekuasaan besar, dan bumi diterangi oleh kemuliaannya.

2Dia berseru dengan suara yang lantang dan hebat, “Babel yang agung telah runtuh, telah runtuh, dan telah menjadi tempat kediaman roh-roh jahat, penjara bagi setiap roh jahat, sangkar bagi setiap burung yang jijik dan dibenci!

3Semua bangsa telah minum air anggur hawa nafsunya yang cabul. Raja-raja dunia telah berzina dengannya, dan saudagar-saudagar dunia telah menjadi kaya-raya dari kemewahannya yang melimpah-limpah.”

4Aku mendengar satu suara lagi dari syurga berkata, “Keluarlah daripadanya, hai kaumku, supaya kamu tidak bersubahat dengan dosanya dan tidak ditimpa wabaknya.

5Segala dosanya telah bertimbun-timbun sampai ke syurga dan Allah ingat akan kejahatannya.

6Perlakukan dia sebagaimana dia telah memperlakukanmu, dan balas perbuatannya dua kali ganda. Dalam cawan yang telah dibancuhnya, bancuh dua kali ganda.

7Sebagaimana dia telah memuliakan dirinya dan hidup mewah, sebanyak itulah diberikan dia kesengsaraan dan kesedihan; kerana dalam hatinya dia berkata, ‘Aku bersemayam sebagai ratu, aku bukan balu, dan tidak akan mengalami kesedihan.’

8Oleh itu, pelbagai bencana akan menimpanya dalam satu hari sahaja, kematian dan ratapan serta kebuluran. Dia akan hangus dibakar dengan api, kerana Tuhan Allah yang menghakiminya amat perkasa.”

9Raja-raja dunia yang telah berbuat cabul dan hidup mewah dengannya akan menangis dan meratapinya apabila mereka melihat asap api yang membakarnya.

10Sambil berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, mereka berkata, “Aduhai, sengsaranya, kota Babel yang agung! Dalam sejam sahaja hukuman telah menimpamu.”

11Saudagar-saudagar dunia akan menangis dan meratapinya, kerana tiada siapa membeli dagangan mereka lagi –

12dagangan emas, perak, permata dan mutiara, kain linen halus, kain ungu, kain sutera dan kain kesumba, setiap jenis kayu yang harum baunya, segala bekas daripada gading, kayu indah, tembaga, besi dan batu marmar,

13juga kayu manis, rempah-ratus, setanggi, minyak wangi, dupa, air anggur, minyak zaitun, tepung halus, gandum, dan lembu, domba, kuda, pedati, abdi, serta nyawa manusia.

14Mereka akan berkata, “Buah-buahan yang diidami oleh hati jiwamu telah lenyap dari matamu, dan segala benda yang mewah serta hebat telah terlepas dari tanganmu, dan kamu tidak akan mendapatkannya lagi.”

15Saudagar-saudagar yang menjual segala dagangan itu, yang telah menjadi kaya-raya kerananya, akan berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, sambil menangis dan meratap.

16Mereka akan berkata, “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang memakai kain linen halus, kain ungu dan kain kesumba, serta dihiasi emas permata dan mutiara!

17Dalam sejam sahaja segala kemewahan itu lenyap sama sekali.” Setiap nakhoda, pelayar, kelasi dan saudagar di laut, berdiri jauh.

18Mereka menangis melihat asap api yang membakarnya, sambil berkata, “Kota manakah yang setanding dengan kota agung ini?”

19Mereka meletakkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru dengan ratap tangisnya, “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang kekayaannya telah memperkaya setiap penduduknya yang memiliki kapal di laut! Dalam sejam sahaja ia telah kehilangan segala-galanya.”

20Bergembiralah melihat keadaannya, wahai syurga dan sekalian orang salih, para rasul serta nabi yang suci, kerana Allah telah menghukumnya kerana perbuatannya terhadapmu!

21Kemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata, “Demikianlah, dengan dahsyatnya, kota Babel yang agung akan dilenyapkan, dan tidak akan ditemukan lagi.

22Bunyi orang bermain kecapi, seruling, serunai dan sangkakala tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan terdapat lagi di dalammu. Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi di dalammu.

23Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu. Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia, kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terperdaya.”

24Di dalamnya telah didapati darah para nabi dan orang salih, serta semua yang telah dibunuh di bumi ini.



 <<  Wahyu 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran