Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 9 >> 

Sangkakala yang kelima

1Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya.

2Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu.

3Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi.

4Belalang itu ditegah merosakkan rumput di bumi, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya.

5Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking.

6Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.

7Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia.

8Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa.

9Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi rata-rata kuda mara ke medan perang.

10Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan.

11Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna “Pemusnah”) dalam bahasa Yunani.

12Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.

13Kemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah.

14Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, “Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!”

15Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu.

16Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar.

17Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggang-penunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang.

18Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia.

19Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.

20Manusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan.

21Mereka juga tidak berpaling daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.



 <<  Wahyu 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel