Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 17 >> 

Lambang ketidaksetiaan Raja Zedekia

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, ajukanlah suatu teka-teki dan sampaikanlah suatu ibarat bagi keturunan kaum Israel.

3Katakan: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Ada seekor burung helang besar yang lebar sayapnya, panjang kepaknya, dan penuh dengan bulu berwarna-warni. Burung itu datang ke Lebanon lalu mengambil pucuk paling atas sebuah pokok araz.

4Dipetiknya pucuk di puncak, dibawanya ke negeri perdagangan, lalu ditaruhnya di kota pedagang.

5Diambilnya pula sebahagian daripada benih negeri itu lalu ditempatkannya di ladang yang subur. Benih itu ditanamnya di tepi air yang berlimpahan, seperti pokok gandarusa.

6Lalu tumbuhlah benih itu menjadi pokok anggur yang merambat rendah. Carang-carangnya berbalik ke arah burung itu sedangkan akar-akarnya tetap di bawahnya. Benih itu menjadi pokok anggur lalu mengeluarkan ranting dan menjulurkan dahan.

7Ada pula seekor burung helang besar lainnya yang lebar sayapnya dan banyak bulunya. Tiba-tiba pokok anggur itu mengarahkan akarnya kepada burung itu dan menjulurkan carang-carangnya kepada burung itu dari petak tempat ia ditanam, supaya diairi.

8Padahal, ia telah pun ditanam di ladang yang baik serta di tepi air yang berlimpahan supaya ia mengeluarkan cabang, menghasilkan buah, dan menjadi pokok anggur yang elok.”

9Katakanlah: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Adakah pokok anggur itu akan berkembang subur? Bukankah burung helang yang pertama akan mencabut akar-akarnya dan mengerat buahnya supaya ia layu? Semua daunnya yang baru bertunas akan layu. Tidak perlu tangan yang kuat atau ramai orang untuk mencabutnya dengan akar-akarnya.

10Sekalipun ia ditanam, adakah ia akan berjaya? Bukankah apabila terkena angin timur ia akan layu kering? Dia akan layu di petak ia tumbuh.” ’

11Datanglah lagi firman TUHAN kepadaku demikian,

12‘Katakanlah kepada keturunan kaum yang derhaka itu, “Tidakkah kamu tahu apa ertinya ini?” Katakan pula, “Ketahuilah, raja Babel datang ke Yerusalem. Dia mengambil rajanya dan para pembesarnya serta membawa mereka ke Babel untuk menghadapnya.

13Kemudian dia memilih seorang daripada keturunan raja, mengikat perjanjian dengannya, dan membebankan sumpah setia kepadanya. Dia juga mengambil golongan orang yang berkuasa di negeri itu

14supaya kerajaan itu menjadi lemah, tidak dapat bangkit lagi, dan dapat bertahan hanya dengan berpegang teguh pada perjanjian itu.

15Tetapi raja Yehuda memberontak melawannya dan mengirim utusannya ke Mesir supaya dia diberi kuda serta pasukan yang besar. Adakah dia akan berjaya? Adakah orang yang berbuat demikian dapat menyelamatkan diri? Adakah dia yang mengingkari perjanjian dapat menyelamatkan diri?

16Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya di Babel dia akan mati di tempat raja Babel yang mengangkat dia menjadi raja, kerana dia meremehkan sumpah yang diminta raja Babel itu daripada dirinya dan mengingkari perjanjian raja itu dengannya.

17Firaun dengan pasukan yang besar serta sejumlah besar orang tentu tidak akan membantunya dalam peperangan ketika tanggul pengepung ditimbunkan dan tembok pengepung dibangunkan untuk melenyapkan banyak jiwa.

18Dia telah meremehkan sumpah dengan mengingkari perjanjian. Sekalipun dia meneguhkan segala hal itu dengan berjabat tangan, dia tetap melakukan hal-hal ini, dan dia tidak akan selamat.

19Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH: Demi Aku yang hidup, Aku pasti membalas kepadanya sumpah-Ku yang diremehkannya dan perjanjian-Ku yang diingkarinya.

20Aku akan membentangkan jaring-Ku ke atasnya dan dia akan tertangkap di dalam jala-Ku. Aku akan membawa dia ke Babel dan menghukumnya di sana kerana kemungkaran yang dilakukannya terhadap Aku.

21Semua pelarian daripada seluruh pasukannya akan tewas oleh pedang dan saki-baki orangnya akan dicerai-beraikan ke segala mata angin. Maka kamu akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman.”

22Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan mengambil pucuk paling atas daripada pokok araz yang tinggi dan menanamnya. Aku akan memetik pucuk muda daripada pucuk-pucuknya di puncak dan Aku akan menanamnya di atas sebuah gunung yang menjulang tinggi.

23Di atas gunung Israel yang tinggi Aku akan menanamnya. Dia akan mengeluarkan cabang, menghasilkan buah, dan menjadi pokok araz yang hebat. Semua burung, iaitu segala yang bersayap, akan berdiam di bawahnya. Mereka akan berdiam di naungan carang-carangnya.

24Segala pokok di padang akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah merendahkan pokok yang tinggi dan meninggikan pokok yang rendah, mengeringkan pokok yang segar dan membuat pokok yang kering bertunas kembali. Aku, TUHAN, telah berfirman dan akan melaksanakannya.” ’



 <<  Yehezkiel 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel