Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 5 >> 

1Engkau, wahai anak manusia, ambillah sebilah pedang yang tajam dan gunakanlah pedang itu sebagai pisau cukur tukang gunting untuk mencukur rambutmu dan janggutmu. Kemudian ambillah neraca timbangan dan bahagi-bahagilah rambut itu.

2Sepertiga harus kaubakar habis di tengah-tengah kota itu setelah genap waktu pengepungannya. Sepertiga harus kauambil dan kautetak dengan pedang sambil mengelilingi kota itu. Sepertiga lagi harus kauhamburkan ke udara, dan Aku akan menghunus pedang di belakang mereka.

3Ambillah beberapa urat daripada rambut itu lalu bungkuskannya dalam punca kainmu.

4Kemudian ambillah lagi sebahagian daripada rambut itu dan campakkannya ke tengah-tengah api supaya hangus di dalamnya. Dari situ, api akan menjalar ke seluruh keturunan kaum Israel.

5Beginilah firman Tuhan ALLAH: Inilah Yerusalem! Aku telah menempatkan ia di tengah-tengah bangsa, dengan negeri-negeri lain di sekelilingnya.

6Namun begitu, dalam kefasiqannya ia telah menderhaka dengan menentang peraturan-peraturan-Ku melebihi bangsa-bangsa lain, dan menentang ketetapan-ketetapan-Ku melebihi negeri-negeri di sekelilingnya. Mereka menolak peraturan-peraturan-Ku dan tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku.

7Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH: Kamu lebih kacau daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu. Kamu tidak hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku, tidak melakukan peraturan-peraturan-Ku, bahkan tidak pula bertindak menurut adat bangsa-bangsa di sekelilingmu.

8Oleh itu, beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku sendiri akan menjadi lawanmu. Aku akan menjalankan penghakiman di tengah-tengahmu di hadapan mata bangsa-bangsa.

9Kerana segala kekejianmu, akan Kulakukan antara kamu apa yang belum pernah Kulakukan dan yang tidak akan Kulakukan lagi.

10Bapa akan memakan anak di tengah-tengahmu dan anak akan memakan bapa. Aku akan menjalankan penghakiman antara kamu dan akan menghamburkan semua saki-baki orangmu ke segala mata angin.

11Oleh sebab itu demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, kerana engkau telah menajiskan tempat suci-Ku dengan segala tuhanmu yang menjijikkan dan dengan segala kekejianmu, maka Aku pun akan menarik diri. Aku tidak akan berasa hiba dan tidak juga akan berbelas kasihan.

12Sepertiga daripada kamu akan mati oleh wabak penyakit dan habis di tengah-tengahmu oleh bencana kebuluran. Sepertiga akan tewas oleh pedang di sekelilingmu. Sepertiga lagi akan Kuhamburkan ke segala mata angin, dan Aku akan menghunus pedang di belakang mereka.

13Demikianlah murka-Ku akan digenapi. Aku akan melampiaskan murka-Ku kepada mereka dan berasa puas. Mereka akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman dalam kecemburuan-Ku ketika Aku melampiaskan murka-Ku kepada mereka.

14Aku akan membuat engkau menjadi reruntuhan dan celaan dalam kalangan bangsa di sekelilingmu, di hadapan mata semua orang yang lalu-lalang.

15Engkau akan menjadi celaan, cercaan, peringatan, dan kengerian bagi bangsa-bangsa di sekelilingmu ketika Aku menjalankan penghakiman terhadap kamu dengan amarah, murka, serta hukuman-hukuman kemurkaan. Aku, TUHAN, telah berfirman.

16Ketika Kulepaskan ke arahmu anak-anak panah bencana kebuluran dahsyat dan mematikan, Aku memang melepaskannya untuk membinasakan kamu. Aku akan memperhebat bencana kebuluran atasmu dan memutuskan pasukan makananmu.

17Akan Kudatangkan atasmu bencana kebuluran dan binatang-binatang buas. Semua itu akan membuat kamu kehilangan anak-anakmu. Penyakit sampar dan penumpahan darah akan melandamu, dan Aku akan mendatangkan pedang atasmu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’



 <<  Yehezkiel 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel