Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 11 >> 

Perjanjian Allah diingkari

1Demikianlah firman yang datang daripada TUHAN kepada Yeremia,

2“Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan sampaikannya kepada orang Yehuda serta kepada penduduk Yerusalem.

3Katakan kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Terkutuklah orang yang tidak mahu mendengar kata-kata dalam perjanjian ini,

4yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, negeri bak relau peleburan besi. Firman-Ku: Patuhilah Aku dan bertindaklah menurut segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu, maka kamu akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu.

5Dengan begitu Aku akan menepati sumpah yang telah Kuberikan kepada nenek moyangmu untuk mengurniakan sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu kepada mereka, sebagaimana nyata pada hari ini.’ ” Lalu aku menjawab, “Amin, ya TUHAN!”

6Firman TUHAN kepadaku, “Serukanlah semua kata ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Katakan, ‘Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini dan lakukannya!

7Aku sungguh-sungguh mengingatkan nenek moyangmu pada waktu Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Sampai hari ini pun Aku terus-menerus mengingatkan mereka demikian, “Patuhilah Aku.”

8Tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memasang telinga. Sebaliknya, setiap orang mengikuti kedegilan hatinya yang jahat. Oleh sebab itu Aku mendatangi mereka segala kata perjanjian ini, yang telah Kuperintahkan untuk dilakukan tetapi tidak dilakukan mereka.’ ”

9TUHAN berfirman kepadaku, “Ada suatu persekongkolan antara orang Yehuda dan penduduk Yerusalem.

10Mereka telah berpaling kepada kesalahan nenek moyang mereka yang tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka mengikuti tuhan lain untuk beribadat kepada tuhan-tuhan itu. Keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda telah mengingkari perjanjian-Ku, yang telah Kuikat dengan nenek moyang mereka.”

11Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, “Ketahuilah, Aku akan mendatangkan atas mereka malapetaka yang tidak dapat dielakkan oleh mereka. Mereka akan berseru kepada-Ku, tetapi Aku tidak akan mendengar mereka.

12Kota-kota Yehuda dan penduduk Yerusalem akan pergi dan berseru kepada tuhan-tuhan yang disembah mereka dengan membakar dupa, tetapi semua itu sama sekali tidak dapat menyelamatkan mereka pada masa kesusahan mereka.

13Sebanyak jumlah kotamu, demikianlah banyaknya tuhanmu, wahai Yehuda. Sebanyak jalan di Yerusalem, demikianlah banyaknya mazbah yang kamu dirikan bagi berhala kehinaan itu, iaitu mazbah dupa bagi Baal.

14Mengenai engkau, jangan berdoa bagi bangsa ini. Jangan panjatkan permohonan atau doa bagi mereka, kerana Aku tidak mahu mendengar pada waktu mereka berseru kepada-Ku dalam kesusahan mereka.

15Apakah urusan dia yang Kukasihi di dalam Bait-Ku, sedangkan dia mengerjakan muslihat dengan ramai orang dan daging yang suci sudah hilang daripadanya? Apabila engkau berbuat jahat, barulah engkau bersuka ria.

16TUHAN pernah memberimu nama: ‘Pokok zaitun rimbun yang elok rupa buahnya.’ Tetapi dengan bunyi keriuhan yang besar Dia akan menyalakannya dengan api, dan ranting-rantingnya pun akan patah.

17TUHAN alam semesta, yang menanam engkau, telah menentukan malapetaka terhadapmu kerana kejahatan yang dilakukan keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda; mereka membangkitkan murka-Ku dengan membakar dupa kepada Baal.”

Nyawa Yeremia terancam di Anatot

18TUHAN telah memberitahukan hal itu kepadaku, sehingga aku mengetahuinya. Pada waktu itu Engkau, ya Allah, menunjukkan perbuatan mereka kepadaku.

19Tetapi aku ini seperti anak domba jinak yang dibawa untuk disembelih. Aku tidak tahu bahawa mereka membuat rancangan untuk menentang aku. Kata mereka, “Mari kita musnahkan pokok itu dengan buahnya! Mari kita lenyapkan dia dari negeri orang yang hidup, supaya namanya tidak diingat lagi!”

20Ya TUHAN alam semesta, yang menghakimi dengan benar, yang menguji batin dan hati, biarlah kulihat pembalasan-Mu terhadap mereka, kerana kepada-Mulah kunyatakan perkaraku.

21“Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN tentang orang Anatot yang mengancam nyawamu dengan berkata, ‘Jangan bernubuat atas nama TUHAN, supaya jangan engkau mati oleh tangan kami’ –

22sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sesungguhnya, Aku akan menghukum mereka. Orang muda akan mati oleh pedang, anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan akan mati oleh bencana kebuluran.

23Tidak akan ada yang tersisa daripada mereka, kerana Aku akan mendatangkan malapetaka kepada orang Anatot pada tahun penghukuman mereka.’ ”



 <<  Yeremia 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel