Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 4 >> 

1“Jika engkau mahu kembali, wahai Israel,” demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku!” Jika engkau mahu menyingkirkan berhala-berhalamu yang menjijikkan dari hadirat-Ku dan tidak lari lagi,

2jika engkau bersumpah, ‘Demi TUHAN yang hidup’ dalam kebenaran, keadilan dan ketulusan, maka bangsa-bangsa akan mendapat berkat kerana Dia dan akan bermegah kerana Dia.”

3Beginilah firman TUHAN kepada orang Yehuda dan kepada Yerusalem, “Bajaklah tanahmu yang kosong. Jangan menabur benih di tengah-tengah semak duri.

4Sunatkanlah dirimu bagi TUHAN dan buanglah kulit khatan hatimu, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, supaya murka-Ku tidak memancar seperti api, dan menyala tanpa ada yang memadamkan, kerana segala perbuatanmu yang jahat.”

Ancaman dari Utara terhadap Yehuda

5Canangkanlah di Yehuda dan khabarkanlah di Yerusalem. Katakan, ‘Tiuplah sangkakala di negeri!’ Berserulah kuat-kuat dan katakan, ‘Berkumpullah! Mari kita pergi ke kota-kota yang berkubu!’

6Angkatlah panji-panji ke arah Sion! Bergerak majulah, jangan tinggal diam, kerana Aku mendatangkan malapetaka dari utara dan kehancuran yang besar.

7Singa telah bangkit dari belukar, pemusnah bangsa-bangsa telah berangkat, keluar dari tempatnya untuk menjadikan negerimu tandus. Kota-kotamu akan dijadikan puing-puing sehingga tidak berpenduduk lagi.

8Oleh sebab itu pakailah kain perkabungan, merataplah dan meraung-raung, kerana murka TUHAN yang menyala-nyala itu tidak surut daripada kita.

9“Pada waktu itu,” demikianlah firman TUHAN, “semangat raja dan semangat para pembesar akan patah. Para imam akan tertegun, dan para nabi tercengang-cengang.”

10Lalu kataku, “Aduh, ya Tuhan ALLAH! Sungguh, Engkau telah mengabui bangsa ini dan penduduk Yerusalem dengan berfirman, ‘Kamu akan mendapat kedamaian,’ padahal pedang mengancam jiwa.”

11Pada waktu itu akan dikatakan kepada bangsa ini serta kepada penduduk Yerusalem, “Angin panas dari bukit-bukit gondol di gurun bertiup ke arah puteri umat-Ku, bukan untuk menampi dan bukan untuk membersihkan.

12Angin yang lebih kuat daripada itu akan datang kepada-Ku. Sekarang Aku sendiri akan menyatakan hukuman terhadap mereka.”

13Lihat, dia naik seperti awan dan rata-ratanya seperti angin puting beliung. Kuda-kudanya lebih tangkas daripada burung rajawali. Malangnya kita, kerana kita dibinasakan!

14Basuhlah hatimu daripada kejahatan, wahai Yerusalem, supaya engkau diselamatkan. Berapa lama lagi rancangan-rancanganmu yang jahat itu akan tinggal dalam hatimu?

15Ada suara yang mengumumkan dari Dan, mengkhabarkan fasal bencana dari Pergunungan Efraim.

16“Peringatkanlah bangsa-bangsa, ya, khabarkanlah kepada Yerusalem: ‘Para pengepung datang dari negeri yang jauh, mereka memperdengarkan suara mereka terhadap kota-kota Yehuda.

17Mereka mengelilingi dia seperti orang yang menunggui ladang, sebab Yehuda telah menderhaka terhadap Aku,’ ” demikianlah firman TUHAN.

18Perilakumu dan perbuatanmu telah menimpakan hal-hal ini kepadamu. Itulah nasib burukmu. Sungguh pahit, sungguh menusuk hati!

19Perutku, perutku! Aku kesakitan! Dinding jantungku! Jantungku berdebar-debar, aku tidak dapat berdiam diri, kerana aku mendengar bunyi sangkakala dan semboyan peperangan.

20Kehancuran demi kehancuran diserukan, seluruh negeri dirosakkan. Khemahku dirosakkan dengan tiba-tiba, kain-kain khemahku dalam sejenak sahaja.

21Berapa lama lagi aku akan melihat panji-panji itu dan mendengar bunyi sangkakala?

22“Memang bodoh umat-Ku itu, mereka tidak mengenal Aku. Mereka anak yang tolol dan mereka tidak mempunyai pengertian. Mereka pandai berbuat jahat, tetapi tidak tahu bagaimana harus berbuat baik.”

23Aku melihat bumi, ternyata tidak berbentuk dan kosong, dan melihat langit, tidak ada terangnya.

24Aku melihat gunung-gunung, ternyata bergoncang-goncangan, dan segala bukit juga goyah.

25Aku melihat, ternyata tidak ada manusia, dan semua burung di udara telah lari terbang.

26Aku melihat, ternyata ladang yang subur telah menjadi padang gurun, dan segala kotanya telah roboh di hadapan TUHAN, di hadapan murka-Nya yang menyala-nyala.

27Beginilah firman TUHAN, “Seluruh negeri itu akan menjadi sunyi sepi, tetapi Aku tidak akan memusnahkannya sama sekali.

28Oleh sebab hal ini bumi akan berkabung dan langit di atas akan menggelap, kerana Aku telah berfirman, Aku telah memutuskan. Aku tidak akan menyesal dan tidak akan mundur daripada hal itu.”

29Kerana keriuhan pasukan berkuda dan para pemanah, penduduk setiap kota melarikan diri. Mereka masuk ke dalam semak belukar dan naik ke ceruk-ceruk batu. Setiap kota ditinggalkan, tidak ada seorang pun tinggal di dalamnya.

30Wahai engkau yang dirosakkan, apa yang akan kaulakukan? Sekalipun engkau mengenakan pakaian merah tua, sekalipun engkau menghias diri dengan perhiasan emas, sekalipun engkau menyapukan celak pada matamu, sia-sia sahaja engkau mempercantik diri. Para kekasihmu mencampakkan engkau, mereka berusaha mencabut nyawamu.

31Kudengar suara seperti suara perempuan bersalin, suara kesesakan perempuan yang melahirkan anak pertama. Itulah suara puteri Sion yang terengah-engah, yang menadahkan tangan sambil berkata, “Malangnya aku, kerana aku lesu di hadapan para pembunuh.”



 <<  Yeremia 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel