Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 11 >> 

Kematian dan kebangkitan Lazarus

1Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta.

2Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya.

3Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit.”

4Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Anak Allah akan dimuliakan.”

5Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus.

6Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.

7Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.”

8Para murid-Nya menjawab, “Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?”

9Yesus berkata, “Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.

10Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.”

11Kemudian Yesus menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.”

12Para murid Yesus berkata, “Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.”

13Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa.

14Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal.

15Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.”

16Tomas yang disebut Didimus berkata kepada murid Yesus yang lain. “Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!”

17Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.

18Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem.

19Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.

20Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah.

21Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!

22Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.”

23Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.”

24Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.”

25Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.

26Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?”

27Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.”

28Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.”

29Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus.

30Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.

31Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.

32Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!”

33Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu.

34Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.”

35Yesus menangis.

36Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.”

37Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?”

38Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.

39Yesus berkata, “Alihkan batu itu.” Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.”

40Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?”

41Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.

42Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.”

43Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!”

44Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.”

45Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya.

46Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus.

Pakatan untuk membunuh Yesus

47Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!

48Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Romawi akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!”

49Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, “Kamu semua tidak tahu suatu apa pun.

50Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?”

51Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi.

52Sebenarnya Yesus mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat.

53Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus.

54Yesus tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama murid-murid-Nya.

55Menjelang Perayaan Paskah, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu.

56Mereka mencari Yesus. Ketika di Bait Suci, mereka bertanya sesama sendiri, “Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?”

57Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Yesus berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.



 <<  Yohanes 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel