Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Yohanes 5 >> 

Beriman pada al-Masih

1Sesiapa percaya bahawa Isa iaitu al-Masih, maka ia telah menerima hidup baru dari Allah, dan siapa mengasihi Allah sebagai pemberi hidup baru itu, maka ia juga mengasihi orang yang telah menerima hidup baru daripada-Nya.

2Dengan cara demikianlah kita mengetahui bahawa kita mengasihi orang-orang yang telah menerima hidup baru dari Allah, yaitu apabila kita mengasihi Allah dan mentaati perintah-Nya.

3Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya,

4kerana setiap anak Allah dapat menewaskan dunia. Inilah kemenangan yang mengalahkan dunia, iaitu iman kita.

5Siapakah yang dapat menewaskan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Isa Putera Allah.

6Isa al-Masih telah datang ke dunia dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja tetapi dengan air dan darah. Roh adalah saksi dan Roh adalah benar.

7Ada tiga yang memberi kesaksian:

8Roh Suci, air dan darah, ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama.

9Jika kita percaya akan kesaksian manusia, maka kesaksian Allah lebih kuat lagi kerana inilah kesaksian yang diberikan Allah tentang Putera-Nya.

10Oleh yang demikian, sesiapa yang percaya kepada Putera Allah menyimpan kesaksian itu di dalam dirinya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, maka dia menuduh Allah itu pendusta kerana dia tidak percaya akan kesaksian-Nya tentang Putera-Nya.

11Kesaksian itu ialah: Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Putera-Nya.

12Sesiapa yang memperoleh Putera itu, memperoleh hidup itu. Dan sesiapa yang tidak memperoleh Putera Allah, tidak memperoleh hidup itu.

Pengetahuan tentang hidup yang kekal

13Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada nama Putera Allah agar kamu mengetahui bahawa kamu memperoleh hidup yang kekal.

14Kita dapat menghadap Allah dengan keyakinan bahawa Dia mengabulkan segala doa kita yang selaras dengan kehendak-Nya.

15Kita tahu bahawa dia sentiasa mendengar permohonan kita ke hadirat-Nya. Kita tahu juga bahawa Dia mengurniakan apa yang kita minta daripada-Nya.

16Sekiranya kamu melihat saudara seimanmu melakukan dosa, dan dosa itu tidaklah mengakibatkan kematian, berdoalah semoga Allah memberinya hidup. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan kematian. Aku tidak mengatakan bahawa dia harus berdoa tentang hal itu.

17Setiap perbuatan salah itu dosa, tetapi sesetengah dosa tidaklah mengakibatkan kematian.

18Kita tahu bahawa anak-anak Allah tidak melakukan dosa berterusan; Dia yang datang daripada Allah melindungi dirinya lantas Iblis tidak berupaya menyesatkannya.

19Kita tahu bahawa kita milik Allah walaupun dunia diperintah oleh Iblis.

20Kita tahu bahawa Putera Allah telah datang dan memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Dia yang benar. Kita ada di dalam Dia yang benar bahkan di dalam Putera-Nya, Isa al-Masih. Inilah Allah, Tuhan yang benar dan hidup yang kekal.

21Anak-anakku, jauhkanlah dirimu daripada berhala.



 <<  1 Yohanes 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel