Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Korintus 6 >> 

1Sebagai rakan-rakan sekerja, kami meminta kepadamu, janganlah sia-siakan kasih kurnia Allah yang telah kamu terima,

2kerana demikianlah firman-Nya, ‘Aku telah mendengar kata-katamu ketika Aku berkenan dan pada hari penyelamatan, Aku telah menolongmu.’ Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu.

Penderitaan Paulus

3Dalam hal apa jua, kami tidak menyebabkan orang tersandung, supaya pengabdian kami tidak dicela.

4Sebaliknya, dalam semua hal, kami telah membuktikan bahawa kami bersikap secara yang wajar bagi hamba-hamba Allah. Kami cukup tabah menghadapi kesusahan, kesulitan dan kesempitan,

5sebatan, pemenjaraan, huru-hara, penat lelah, bercekang mata, dan keadaan lapar.

6Kami hidup dalam kesucian, pengetahuan, kesabaran, baik budi, dalam Roh Suci, dan dalam kasih sejati.

7Kami menyampaikan kebenaran, dan hidup dalam kuasa Allah. Kami bersenjatakan kebenaran, di tangan kanan dan kiri.

8Kami dimuliakan dan dihina, dikeji dan dipuji. Kami dipanggil penipu sedangkan kami benar.

9Kami dianggap tidak dikenali, padahal terkenal. Kami disangka sudah hampir mati, tetapi ternyata masih hidup. Kami dibelasah, namun tidak dibunuh.

10Kami disedihkan, tetapi sentiasa gembira. Kami miskin, namun ramai yang kami perkaya. Kami tidak memiliki apa-apa, tetapi kami mempunyai segala-galanya.

11Wahai orang Korintus! Kami telah bercakap terus-terang kepadamu, hati kami terbuka luas.

12Kamu terbatas bukanlah oleh kami tetapi oleh perasaanmu sendiri.

Jangan berpasangan dengan orang yang tidak beriman.

13Oleh itu aku berkata seperti kepada anak-anak, bukalah hatimu supaya antara kita saling berterus-terang.

14Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang baik dengan yang jahat? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?

15Adakah muafakat antara al-Masih dengan Belial? Adakah kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman?

16Adakah hubungan antara rumah Allah dengan berhala-berhala? Kita adalah rumah Allah Yang Hidup, seperti dalam firman-Nya, ‘Aku akan tinggal dalam mereka dan berjalan di antara mereka. Aku akan menjadi Allah Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.’

17Oleh itu, ‘Keluarlah dari kalangan mereka, dan asingkanlah dirimu daripada mereka,’ demikianlah firman Tuhan. ‘Jangan sentuh yang najis, maka Aku akan menerimamu’

18‘Aku akan menjadi Bapamu, dan kamu, anak-anak-Ku lelaki perempuan,’demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.



 <<  2 Korintus 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran