Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 13 >> 

Bertaubat atau binasa

1Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah.

2Isa berkata, ‘Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian?

3Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga.

4Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Baitulmaqdis?

5Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.’

Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah

6Isa menceritakan suatu ibarat. ‘Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai.

7Dia berkata kepada tukang kebun, “Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?”

8‘Tukang kebun menjawab, “Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.

9Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.”’

Isa menyembuhkan seorang perempuan bongkok

10Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah.

11Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak.

12Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, ‘Sembuhlah daripada penyakitmu.’

13Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.

14Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, ‘Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.’

15Junjungan menjawab, ‘Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?

16Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?’

17Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Isa.

Ibarat biji sesawi dan ragi

18Isa berkata, ‘Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya?

19Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya.’

20Isa berkata lagi, ‘Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah?

21Keadaannya umpama ragi dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik.’

Pintu yang sempit

22Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar.

23Seorang bertanya kepada-Nya, ‘Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?’ Isa menjawab,

24‘Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.

25Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, tuan, bukalah pintu.” ‘Tetapi dia akan menjawab, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”

26‘Kemudian kamu akan berkata, “Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.”

27‘Tetapi tuan itu akan berkata, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah, kamu semua yang melakukan kejahatan!”

28‘Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Ibrahim, Ishak dan Yakub bersama semua nabi di dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar.

29Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk menikmati jamuan di dalam kerajaan Allah.

30Sesungguhnya, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’

Keluhan Isa terhadap Baitulmaqdis

31Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan berkata, ‘Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.’

32Isa menjawab, ‘Pergilah beritahu si musang, “Pada hari ini dan esok Aku mengusir roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.”

33Namun, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Baitulmaqdis.

34‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam utusan-utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin menaungi semua pendudukmu seperti seekor ibu ayam melindungi anak-anaknya di bawah kepaknya, tetapi engkau tidak mahu.

35Sekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu bahawa kamu tidak akan melihat Aku sehingga tiba masanya kamu berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!”’



 <<  Lukas 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel