Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 11 >> 

Isa dan Yahya Pengimad

1Setelah Isa memberi petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.

2Yahya Pengimad yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh al-Masih. Yahya pun menyuruh beberapa orang pengikutnya untuk pergi berjumpa Isa.

3Mereka bertanya, ‘Adakah Tuan ini orang yang dijanjikan Allah akan datang, atau perlukah kami menunggu orang lain?’

4Isa menjawab, ‘Pulanglah, beritahu Yahya segala yang kamu dengar dan lihat:

5Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kusta sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan berita baik daripada Allah disampaikan kepada orang miskin.

6Berbahagialah orang yang tidak meragui-Ku!’

7Ketika pengikut-pengikut Yahya beredar dari situ, Isa berkata kepada orang ramai tentang Yahya: ‘Apabila kamu mendapatkan Yahya di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?

8Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana.

9Katakanlah, kamu ke situ untuk melihat apa? Seorang nabi? Benar, malah lebih daripada nabi.

10Tentang orang itulah telah tersurat dalam ayat Kitab Suci: “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”

11‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu bahawa di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yahya. Ketahuilah: Yahya Pengimad lebih utama daripada semua orang yang pernah hidup di dunia. Namun begitu, orang yang paling rendah antara yang menikmati kerajaan syurga lebih utama daripadanya.

12Sejak kedatangan Yahya Pengimad hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan.

13Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yahya.

14Sekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yahya itulah Ilyas yang telah dinubuatkan kedatangannya.

15Jika kamu ada telinga, dengarlah!

16‘Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka ibarat anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:

17“Kami memainkan seruling lagu perkahwinan untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap, tetapi kamu enggan menangis.”

18‘Ketika Yahya datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, “Dia dirasuk roh iblis!”

19Ketika Putera Insan datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, “Lihatlah dia ini: gelojoh, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!” Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.’

Penduduk yang enggan bertaubat

20Isa mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat.

21‘Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Baitsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai kain guni dan membubuh abu di kepala.

22Ketahuilah: Pada hari penghakiman itu kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!

23Kamu juga, hai Kapernaum! Ingin kamu tinggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini!

24Aku berkata kepadamu: Ketahuilah, pada hari itu kelak, hukuman ke atas Sodom lebih ringan daripada hukuman yang akan kamu terima!’

Jemputan Isa

25Selepas itu Isa mengucap syukur, ‘Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil, orang yang tidak terpelajar.

26Ya Bapa, memang inilah kehendak-Mu.’

27‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Putera kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Putera dan orang yang diberitahu oleh Putera tentang Bapa.

28‘Marilah ke sisi-Ku, wahai kamu yang lelah memikul beban berat; Aku akan membebaskanmu daripada bebanmu.

29Ikutlah perintah-Ku dan terima ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan sejahtera.

30Perintah yang Kuberi kepadamu mudah diturut, dan beban yang Kuberi mudah dipikul.’



 <<  Matius 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel