Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 25 >> 

Ibarat sepuluh anak dara

1‘Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.

2Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.

3Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.

4Yang bijak membawa bekalan minyak bersama lampu.

5Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.

6‘Pada waktu tengah malam terdengar seruan, “Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!”

7‘Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.

8Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, “Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.”

9‘Tetapi yang bijak menjawab, “Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.”

10‘Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.

11‘Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, “Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!”

12‘Tetapi pengantin lelaki berkata, “Sesungguhnya aku tidak mengenalmu.”

13‘Oleh itu berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya Putera Insan datang.

Ibarat tentang wang emas

14‘Kerajaan syurga boleh juga diibaratkan demikian: Seorang lelaki hendak pergi ke tanah asing yang jauh, lalu memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.

15Kepada yang seorang dia memberi lima keping wang emas, kepada seorang lagi dua keping, kepada yang seorang lagi sekeping, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu dia pun bertolak.

16Hamba yang menerima lima keping emas itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima keping emas lagi.

17Demikian juga yang menerima dua keping emas, dia mendapat laba dua keping lagi.

18Tetapi yang menerima sekeping itu menggali lubang dan menyembunyikan wang tuannya di situ.

19‘Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.

20Hamba yang menerima lima keping wang emas dahulu membawakan lima keping lagi sambil berkata, “Tuan, tuan telah memberiku lima keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima keping lagi dengannya.”

21‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”

22‘Yang telah menerima dua keping wang emas pula datang lalu berkata, “Tuan, tuan telah memberiku dua keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua keping lagi dengannya.”

23‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”

24‘Kemudian hamba yang menerima sekeping wang emas itu datang lalu berkata, “Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

25Jadi aku takut, lalu kusorokkan wang emas tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.”

26‘Tetapi tuannya menjawab, “Hai hamba yang jahat dan pemalas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.

27Oleh itu sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam bank, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.

28‘“Sekarang, wang sekeping itu kusuruh ambil daripadamu dan berikan kepada yang mempunyai sepuluh keping wang emas.

29Demikianlah, kepada setiap orang yang ada, akan diberi lebih lagi, menjadikan dia penuh dengan kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak ada, apa yang ada padanya pun akan diambil.

30Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”

Hukuman

31‘Apabila Putera Insan datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.

32Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.

33Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.

34‘Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, “Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.

35Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;

36Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.”

37‘Orang yang benar itu pun bertanya, “Junjungan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?

38Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?

39Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?”

40‘Raja akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.”

41‘Selepas itu Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, “Nyahlah dari sisiku, kamu yang terlaknat, ke dalam api abadi yang telah disediakan untuk Iblis dan para penyokongnya;

42kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.

43Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.”

44‘Mereka akan berkata, “Junjungan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?”

45‘Dia akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.”

46‘Mereka itu akan menanggung azab hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.’



 <<  Matius 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel