Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 5 >> 

Yang diberkati

1Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah para pengikut-Nya kepada-Nya.

2Dia pun mula mengajar mereka:

3‘Diberkatilah mereka yang miskin, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.

4Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.

5Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini.

6Diberkatilah mereka yang dahagakan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan.

7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga.

8Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.

9Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.’

10Diberkatilah mereka yang dianiaya kerana menegakkan kebenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.

11‘Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu kerana mengikut-Ku.

12Bersukacita dan bergembiralah, kerana ganjaran besar telah disediakan untukmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.

Garam dan cahaya

13‘Kamu ialah garam bumi ini. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.

14‘Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi.

15Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah bekas; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah.

16Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.

Isa dan hukum Taurat

17‘Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya.

18Ingatlah: Selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.

19Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga.

20Oleh itu ingatlah: Untuk memasuki kerajaan syurga, kamu mestilah melaksanakan kehendak Allah lebih daripada guru Taurat dan orang Farisi.

21‘Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: “Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh orang akan dihakimi.”

22Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya “bodoh” akan dihumbankan ke dalam api neraka.

23‘Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu,

24tinggalkanlah persembahanmu, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.

25‘Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai berkenaan, yang akan memenjarakanmu.

26Sudah pasti kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.

Berzina

27‘Kamu telah mendengar ajaran ini: “Jangan berzina.”

28Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati.

29Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka.

30Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.

Perceraian

31‘Ada ajaran demikian: “Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.”

32Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana zina, orang itu menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu berzina juga.

Membuat sumpah

33‘Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: “Jangan melanggar sumpah. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.”

34Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah.

35Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Baitulmaqdis, kerana itu kota Raja Agung iaitu Allah.

36Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai.

37Katakan saja “Ya” atau “Tidak” dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.

Mata diganti mata

38‘Kamu telah mendengar ajaran begini: “Mata diganti dengan mata, gigi diganti dengan gigi.”

39Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya.

40Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga.

41Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya.

42Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.

Mengasihi musuhmu

43‘Kamu telah mendengar ajaran berikut: “Kasihilah sahabatmu dan bencilah musuhmu.”

44Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu.

45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari yang dicipta-Nya untuk orang yang benar dan orang yang mungkar. Dia menurunkan hujan untuk orang yang taat mahupun yang ingkar akan kehendak-Nya.

46Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihimu, layakkah kamu mendapat ganjaran daripada Allah? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian?

47Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun melakukannya.

48Kamu haruslah mengasihi semua orang sebagaimana Bapamu yang di syurga mengasihi semua orang. Dengan demikian kamu sempurna seperti Dia.



 <<  Matius 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel