Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 15 >> 

Pokok anggur yang benar

1‘Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur.

2Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya bersih dan berbuah lebih lebat lagi.

3Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu.

4Tetaplah dalam-Ku seperti Aku dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap dalam-Ku.

5‘Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap dalam-Ku dan Aku dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa.

6Sesiapa yang tidak tetap dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar.

7Sekiranya kamu tetap dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan.

8Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar pengikut-Ku.

Perintah supaya saling mengasihi

9‘Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku.

10Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.

11Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu.

12Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu.

13Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.

14Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan.

15Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.

16Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka Bapa akan mengabulkan apa sahaja permohonanmu dalam nama-Ku.

17Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.

Dunia membenci Isa dan pengikut-Nya

18‘Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu.

19Andainya kamu milik dunia, dunia akan mengasihimu seperti anak-anaknya sendiri. Tetapi aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu.

20Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, “Seorang hamba tidaklah lebih besar daripada tuannya.” Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga.

21Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku.

22Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka.

23Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga.

24Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku.

25Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Taurat mereka: “Mereka membenci-Ku tanpa alasan.”

26‘Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku.

27Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.



 <<  Yohanes 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel