Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 18 >> 

Yudas mengkhianati Isa

1Setelah berdoa demikian, Isa pergi diiringi para pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Isa dan para pengikut-Nya masuk ke taman itu.

2Yudas, yang mengkhianati Isa, mengetahui tempat itu juga kerana Isa kerap ke situ dengan para pengikut-Nya.

3Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh.

4Isa mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, ‘Siapakah yang kamu cari?’

5Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia.’ Yudas, yang mengkhianati Isa, berdiri bersama mereka di situ.

6Apabila Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia,’ mereka semua undur lalu rebah ke tanah.

7Isa bertanya lagi kepada mereka, ‘Siapakah yang kamu cari?’ Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’

8Isa berkata, ‘Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.’

9(Dengan demikian berlakulah apa yang pernah dikatakan-Nya, ‘Tidak seorang pun yang Kauserahkan pada-Ku sesat.’)

10Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar itu sehingga putus. Nama hamba itu Malkus.

11Isa berkata kepada Petrus, ‘Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum dari cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?’

Isa di hadapan imam

12Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Isa.

13Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, Imam Besar pada tahun itu.

14Kayafaslah yang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.

15Simon Petrus dan seorang pengikut lain ikut serta apabila Isa dibawa pergi. Oleh sebab pengikut lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Isa ke halaman rumah imam besar.

16Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, pengikut lain itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk.

17Kemudian hamba perempuan itu berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’ Petrus menjawab, ‘Bukan.’

18Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri disitu dan berdiang bersama mereka.

19Imam besar menyoal Isa tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya.

20Isa menjawab, ‘Aku sentiasa bercakap terang-terangan di hadapan orang ramai. Aku sering mengajar di saumaah dan di rumah ibadat, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia.

21Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.’

22Seorang pegawai di situ menampar Isa sambil berkata, ‘Begitukah kamu bercakap kepada seorang imam besar?’

23Isa berkata kepadanya, ‘Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?’

24Selepas itu Hanas menyuruh orang membawa Isa yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.

Petrus menyangkal Isa

25Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’ Petrus menjawab, ‘Bukan!’

26Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?’

27Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu ayam berkokok.

Isa di hadapan Pilatus

28Kemudian mereka membawa Isa dari rumah Kayafas ke istana pemerintah Rom. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paska.

29Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, ‘Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?’

30Mereka menjawab, ‘Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.’

31Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, ‘Ambillah Dia, adili mengikut undang-undangmu.’ Orang Yahudi menjawab, ‘Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.’

32Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Isa tentang cara kematian-Nya.

33Selepas itu Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Isa lalu bertanya, ‘Adakah kamu Raja orang Yahudi?’

34Isa menjawab, ‘Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?’

35Pilatus menjawab, ‘Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?’

36Isa menjawab, ‘Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para pengikut-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.’

37Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, ‘Jadi, adakah kamu seorang raja?’ Isa menjawab, ‘Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberi kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.’

38Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Apakah itu kebenaran?’ Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, ‘Aku mendapatinya tidak bersalah sama sekali.

39Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada perayaan Paska. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?’

40Mereka semua berteriak lagi, ‘Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.’ Barabas itu seorang perompak.



 <<  Yohanes 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel