Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 15 >> 

Kebangkitan Kristus daripada Kematian

1Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu.

2Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia.

3Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab.

4Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.

5Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul.

6Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal.

7Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul.

8Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya.

9Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah.

10Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku.

11Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya.

Kebangkitan Kita daripada Kematian

12Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan?

13Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan.

14Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka.

15Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian.

16Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan.

17Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa.

18Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan.

19Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini!

20Tetapi sebenarnya Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Itulah jaminan bahawa mereka yang sudah mati akan dibangkitkan juga.

21Hal itu demikian kerana sebagaimana kematian datang ke dunia melalui satu orang, begitu juga kebangkitan daripada kematian diberikan melalui satu orang.

22Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus.

23Masing-masing akan dihidupkan semula menurut gilirannya: mula-mula Kristus; kemudian mereka yang menjadi milik-Nya akan dihidupkan semula ketika Kristus datang lagi.

24Kemudian tibalah akhir zaman. Pada waktu itu Kristus akan menaklukkan semua pemerintah, penguasa dan pemimpin, lalu Kristus akan menyerahkan kekuasaan-Nya sebagai raja kepada Allah, Bapa kita.

25Kristus harus terus memerintah sehingga Allah menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus.

26Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.

27Di dalam Alkitab tertulis, "Allah sudah menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan-Nya." Jelaslah bahawa kata "segala sesuatu" itu tidak termasuk Allah sendiri, yang menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan Kristus.

28Tetapi setelah segala sesuatu ditaklukkan di bawah pemerintahan Kristus, maka Dia sendiri sebagai Anak Allah akan meletakkan diri-Nya di bawah kekuasaan Allah, yang menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. Demikianlah pada akhirnya Allah sendiri akan memerintah semuanya.

29Bagaimana halnya dengan mereka yang dibaptis untuk orang mati? Apakah yang diharapkan oleh mereka? Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati?

30Jika tidak ada kebangkitan daripada kematian, mengapa kami mahu menghadapi bahaya setiap saat?

31Saudara-saudaraku, setiap hari aku menghadapi maut! Aku berkata demikian kerana aku bangga akan kamu, dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan kita.

32Dari segi kemanusiaan, apa gunanya berjuang seolah-olah melawan binatang buas di kota Efesus ini? Jika memang orang mati tidak dihidupkan semula, maka lebih baik kita hidup seperti pepatah ini, "Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati."

33Janganlah kamu tertipu! "Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik."

34Hendaklah kamu insaf dan jangan berdosa lagi. Kamu seharusnya malu, kerana beberapa orang antara kamu masih belum mengenal Allah.

Tubuh Manusia Setelah Dihidupkan Semula

35Mungkin orang bertanya, "Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?"

36Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu.

37Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata -- mungkin benih gandum ataupun benih lain -- bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak.

38Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri.

39Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza.

40Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi.

41Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan.

42Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya.

43Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat.

44Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga.

45Di dalam Alkitab tertulis, "Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup," tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup.

46Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani.

47Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga.

48Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga.

49Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu.

50Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi.

51Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah.

52(15:51)

53Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati.

54Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, "Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!"

55"Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?"

56Sengat maut itu dosa, dan dosa mendapat kuasa daripada Taurat.

57Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita!

58Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan kukuh. Hendaklah kamu rajin bekerja untuk Tuhan, kerana kamu tahu bahawa semua yang kamu lakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.



Download Audio MP3 (1 Korintus 15):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  1 Korintus 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel